Friday, 13 March 2015

SEDEKAH MENJADIKAN KITA MAKIN 'KAYA'

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan salam kemesraan buat semua.

Di pagi Jumaat yang mulia ini, tiba-tiba diri ini rasa terpanggil untuk berkongsi tentang kebaikan bersedekah. Kebetulan pula awal-awal pagi ni leader Shaklee kami ada kongsikan video tentang kebaikan bersedekah dalam group Shaklee iReach. Dan sementelaah pula malam tadi saya ada memberi tazkirah berkenaan tajuk kelebihan bersedekah sewaktu program bacaan Yaasin bersama sahabat-sahabat muslimat Bintulu di rumah seorang penduduk tempatan di sini.

Mungkin kebanyakan daripada kita pernah mengalami situasi bilamana hendak menghulurkan sedekah atau derma, pasti kita akan membuka dompet dan membelek-belek jumlah wang yang ada sambil berkira-kira berapa RM yang akan kita hulurkan. Dan akhirnya, tangan kita dengan segala susah payahnya (kerana berperang dengan hati dalam membuat pilihan) mengambil wang yang paling sedikit nilainya dalam dompet itu. Jika ada wang RM100, RM50, RM10 dan RM5, pasti RM5 yang kita hulurkan. Dan jikapun ada yang menghulurkan RM100, selepas dah hulurkan sumbangan itu, syaitan mula berbisik-bisik..'kenapa la aku beri RM100 tu..kalau tak macam-macam dah dapat aku beli dengan wang sebanyak itu.." dan macam-macam bisikan lagi.

Begitu lumrah hidup manusia, kita sentiasa akan digoda oleh syaitan saat kita melakukan amal kebajikan. Kadang-kadang kita terdetik, 'macam mana aku nak bersedekah sedangkan duit aku pun cukup-cukup makan'. Kenapa pula agama kita menyarakan agar kita sentiasa bersedekah supaya rezeki kita makin bertambah? Pelik, makin memberi makin banyak kita dapat! Sedangkan secara logiknya lagi kita memberi, lagi berkuranglah harta yang kita ada!

Ya, itulah keberkatan SEDEKAH! Makin banyak kita memberi, makin KAYA kita jadinya! "KAYA" membawa pelbagai dimensi. Kaya harta, kaya jiwa, kaya rohani, kaya ilmu, kaya adab sopan, kaya anak-anak dan pelbagai lagi bentuk kekayaan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

" Perumpamaan orang yang menginfaqkan (menderma) hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui.."

Sedekah umpama sebiji benih yang ditanam mengeluarkan 7 tangkai dan setiap satunya terbit 100 cabang..


Maksud ayat ini jelas menunjukkan ganjaran berlipat ganda yang Allah akan kurniakan bagi mereka yang bersedekah pada jalan Allah. Umpamanya, satu yang diberi, kita akan dapat balik dalam gandaan tujuh dan setiap satunya pula ada lagi 100 cabangnya.  Ini menunjukkan kepada kita bahawa dengan bersedekah kita akan menjadi semakin 'kaya'.

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: "apabila matinya anak adam itu, maka terputuslah segala amalannya di dunia ini melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.." Jika kita banyak bersedekah sewaktu hayat kita, bukan sahaja ganjarannya akan kita perolehi sewaktu di dunia bahkan ia akan berpanjangan sehingga ke akhirat kelak.

Sedekah menjadikan kita makin 'kaya'


Antara kelebihan bersedekah:

1) Dapat mensucikan diri dan jiwa kita dari sifat-sifat mazmumah seperti tamak, haloba, sombong, kedekut dan sebagainya lagi. Dengan bersedekah secara tak langsung menggambarkan seseorang itu jiwanya kaya dengan sifat-sifat mahmudah seperti rendah diri, suka memberi, tidak sombong, pemurah dan seumpamanya.

2) Dapat mensucikan harta kita kerana setiap harta dan kekayaan yang kita dapat sebenarnya terselit hak-hak dan bahagian untuk orang-orang tertentu juga. Dengan cara bersedekahlah kita dapat membersihkan harta kita daripada segala kotoran yang kadangkala tidak kita sedari.

3) Bersedekah dapat menanam sifat kehambaan kita kepadaa Allah SWT kerana kita harus sedar bahawa segala apa yang ada dimuka bumi ini adalah milik Allah. Walau sekaya mana pun kita, semua harta itu tidak akan di bawa mati..kecualilah 3 perkara seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Allah SWT menjanjikan bahawa, sesiapa yang meringankan kesulitan saudaranya ketika di dunia, insyaAllah Allah akan memudahkan urusannya di akhirat kelak. Jadi perbanyakkanlah sedekah sewaktu hayat kita di dunia ini, mudah-mudah ganjarannya akan kita peroleh di akhirat sana. Jika kita menghadapi masalah ketika hidup kita yang tidak terungkai sekian lama, cubalah bersedekah dari harta yang kita ada kerana mungkin segala kesulitan itu berlaku akibat daripada hak-hak oang lain dalam harta kita yang belum kita tunaikan.

Begitu juga sekiranya kita rasakan rezeki kita serti tersekat-sekat, tak masuk dengan lancar..ada saja musibah yang melanda..cubalah perbanyakkan sedekah. Kerana janji Allah itu pasti. Allah akan ganjarkan sesuatu yang berlipat ganda buat kita. Lagi kita memberi, lagi banyak kita akan mendapat ganjaran daripada Allah..dan makin 'KAYA' kita di sisi Allah SWT. Jom sama-sama tonton video ini sebagai satu peringatan baik buat kita tentang amalan bersedekah.


Kenapa Sedekah, Infaq & Zakat itu Wajib? from iReach HD on Vimeo.


Wallahua'lam. Setakat ini dulu perkongsian saya kali ini. Moga bermanfaat buat diri saya dan anda semua. Jumpa lagi.