Tuesday 18 March 2014

RESEPI KEK CAWAN COKLAT

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib



Sudah agak lama saya bertangguh untuk kongsikan resepi kek cawan coklat yang biasa saya buat untuk anak-anak. Ramai yang minta resepi daripada saya tapi disebabkan kekangan masa, lambat pula nak menaip resepi ni. asyik bertangguh-tangguh je. Sebenarnya, resepi ini adalah pemberian bekas pelajar saya yang sekarang ini mengambil tempahan pelbagai jenis kek dan biskut.

Bahan A
2 cawan gula castor 1 cawan minyak masak 1 cawan susu cair 3 biji telur
Bahan B
2 cawan tepung gandum 1 cawan serbuk koko secubit garam 1 sudu kecil baking soda 1 sudu kecil baking powder
Bahan C ¾ cwn air panas mendidih
Cara-cara membuatnya:
1) Ayak bahan B, ketepikan.
2) Campurkan bahan A sampai gula larut.
3) Satukan bahan A dan B. Caranya, bahan B yg sudah diayak tadi, dibuat lubang di bahagian tengah, kemudian masukkan bahan A sedikit demi sedikit sambi kacau di bahagian tengah. Ini untuk mengelak adunan dari berketul.
4) Setelah itu, masukkan pula air panas tadi dlm bahan A+B dan kacau sebati.
5) Masukkan dalam cup sebanyak 2/3 bahagian kerana adunan akan naik dan mengembang.
6) Sementara itu, panaskan oven dengan suhu 170-180 darjah celsius selama 10 minit. Bakar cupcake selama 20-25 min dengan suhu di atas (suhu bergantung kepada jenis oven anda)!

# Resepi ini tidak perlu gunakan mixer.
# Adunan ini memang agak cair.
# Boleh juga gunakan tepung naik sendiri, dan tidak perlu letak serbuk penaik lagi.
# Boleh juga kukus kek ini, lagi lembab jadinya jika kukus. Kukus selama 15-20 minit jika membuat kek cawan, dan selama 40-45 minit jika membuat kek besar.

Selamat mencuba!





DIMANA ADA KEMAHUAN DISITU ADA JALAN

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Alhamdulillah, hari Sabtu lepas bersamaan 15 Mac 2014 saya telah dijemput oleh Olivia bagi pihak Shaklee Malaysia (Sabah/Sarawak) untuk memberikan sedikit perkongsian mengenai kisah saya sejak mula menyertai Shaklee sehingga saya berada di pangkat sekarang iaitu Senior Coordinator pada Majlis yang dinamakan "Shaklee Motivation and Recognition Rally", bertempat di Park City Everly Hotel Miri. Sejujurnya, saya merasa agak 'segan' untuk membuat perkongsian tersebut apatah lagi kalangan yang hadir terdiri daripada 'orang-orang kuat' Shaklee sendiri dan juga Master-Master Coordinator Shaklee serta 'leaders' dan pengedar-pengedar Shaklee lain seramai lebih kurang 300 orang. Namun, setelah dipujuk dan selepas berfikir beberapa ketika, saya dengan berbesar hati menerima permintaan pihak penganjur untuk memberikan sedikit perkongsian dalam majlis tersebut.

Majlis tersebut dianjurkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada semua pengedar Shaklee di Sarawak khasnya yang berada pada pangkat 'supervisor' sehingga pangkat 'senior coordinator'. Selain itu, majlis ini juga mempunyai objektif untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pengedar-pengedar Shaklee yang lain supaya terus maju dan berjaya dalam bisnes Shaklee.

Antara perkongsian yang saya titipkan dalam majlis tersebut:

1) Mesti ada matlamat yang jelas. Dalam melaksanakan apa-apa pekerjaan  pun, kita mesti mempunyai matlamat yang jelas, apa yang ingin kita capai dalam tempoh tertentu. Bila kita sudah mempunyai matlamat, kita mesti bertindak proaktif untuk mencapai matlamat tersebut. Perancangan kita perlu selari dengan matlamat yang kita sudah tetapkan dari awal.

2) Jangan asyik mencipta alasan, sebaliknya kita mesti bijak mencari peluang yang terbentang luas di hadapan kita. Jika kita hanya nampak alasan sahaja, sampai bila-bila kita tak akan berjumpa dengan 'peluang' yang sentiasa ada di sekeliling kita.

3) Bijak menggunakan masa. Ramai orang menjadikan masa sebagai alasan untuk tidak melaksanakan sesuatu pekerjaan. Bagi saya, sekiranya kita asyik menggunakan alasan 'tak cukup masa', sampai bila-bila pun kita akan merasa tidak cukup. Semua kita diberi masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Kita mesti belajar untuk melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa. Kerana dicelah-celah masa yang kita ada itu sebenarnya masih terselit masa yang kosong. Atau dengan kata lain, kita laksanakan kerja dua @ tiga dalam satu masa. Contohnya, sewaktu menonton televisyen, kita boleh melipat kain baju, melayan anak-anak makan atau lain-lain tugas yang sesuai.

4) Mesti ada kemahuan dan kehendak. Jika kita ada kemahuan, insyaAllah sebarang alasan, halangan atau rintangan pasti kita dapat tempuh dengan baik sekali. Kerana kita amat berkehendak kepadanya. Jadi, jika hendak melakukan sesuatu, mesti ada kehendak dan kemahuan dahulu, pasti setelah itu akan ada ruang dan peluang serta jalan untuk kita menuju kejayaan. Bak kata pepatah " Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan".

Selepas sesi perkongsian tersebut, saya berasa sangat terharu apabila beberapa orang pengedar Shaklee terutamanya kaum ibu yang datang mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana saya sudi berkongsi kisah saya pada hari tersebut, yang sangat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengorak langkah dalam bisnes Shaklee. Mungkin juga status saya sebagai seorang ibu berkerjaya dengan 5 orang anak dan telah berada pada pangkat ke-4 dalam Shaklee telah membuka mata pengedar lain yang kebanyakannya masih muda dan mempunyai anak 1-3 orang.

Tersentuh hati saya seketika apabila kisah yang saya kongsikan itu telah dapat memberi sedikit sebanyak motivasi kepada pengedar-pengedar Shaklee yang lain. Saya juga menerima mesej daripada Olivia (Shaklee Sabah Sarawak) malam tadi yang mengucapkan terima kasih kepada saya dan memaklumkan bahawa kisah saya sangat memberi inspirasi kepada pengedar Shaklee yang hadir. Sangat gembira apabila apa yang kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh para pendengar. Jangan lokek untuk terus memberi dan memberi kerana insyaAllah kita akan menerima 'balasannya' pada saat yang tak terduga. Dalam majlis tersebut, selain daripada saya yang memberikan perkongsian, ada dua orang lagi yang turut berkongsi kisah kejayaan mereka, yang amat memberikan inspirasi kepada saya dan hadirin yang lain.

Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Semoga berjumpa lagi.

Ketika sesi perkongsian
Masa rehearsal punya lah gementar, bila majlis sebenar alhamdulillah ok pula.
Bergambar kenangan bersama Mr. Victor & Mr. Ethan dari Shaklee Malaysia
Para Senior Coordinator bergambar bersama para master.
 Semua penerima sijil supervisor hingga senior coordinator
Bersama Master Norita

Tuesday 4 March 2014

RESEPI ROTI MANIS

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Sejak kecil saya memang suka membantu ibu saya memasak di dapur. Saya suka memerhati setiap satu langkah ibu memasak dan akan bertanya itu dan ini. Sehingga pernah berlaku peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sewaktu beria-ia membantu ibu memasak suatu waktu dahulu iaitu muka saya tersimbah dengan minyak panas ketika menggoreng 'cucur' pada usia 6 tahun. Semua itu gara-gara kedegilan saya untuk membantu ibu walaupun telah ditegah beberapa kali. Parut peristiwa tersebut masih kekal sehingga kini di wajah saya.

Mungkin kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti memasak ini, suatu ketika saya pernah terfikir kalau saya tidak belajar tinggi-tinggi, pasti saya akan pergi ke kelas belajar membuat dan mendeko kek, pastry dan kelas membuat roti dan bun. Dan saya juga pernah berangan-angan Mat Jenin untuk membuka kedai kek dan roti!

Begitulah betapa obsesnya saya dengan aktiviti ini. Walaupun bekerja seharian, akan tetapi saya pasti akan merasa bertenaga jika saya melakukan aktiviti ini. Saya rasa seronok dan seolah-olah melupai sekejab masalah-masalah di pejabat dan sebagainya. Dan sememangnya, salah satu aktiviti yang dapat mengurangkan 'stress' seseorang wanita adalah dengan menjalankan aktiviti memasak. Jadi, kawan-kawan yang sentiasa rasa tertekan dengan masalah-masalah seharian, jom cuba buat aktiviti ini, memasak!

Beberapa minggu lepas, hajat saya untuk belajar membuat bun dan roti telah tercapai. Dan selepas ke kelas meroti tempohari, sudah beberapa kali saya membuat roti untuk anak-anak di rumah, kebetulan pula sejak tahun lepas saya sudah memiliki 'Noxxa Bread Maker' yang menjadikan kerja-kerja meroti saya semakin mudah. Bukan saya tidak pernah membuat roti sebelum ini, pernah, tetapi resepi dan langkah-langkahnya saya hanya dapat daripada internet sahaja. Alhamdulillah, saya merasa sangat puas apabila dapat melihat sendiri cara-cara membuat bun dengan cikgu roti saya tempohari.

Memandangkan ramai rakan-rakan yang meminta saya kongsikan resepi roti dan bun yang saya belajar bulan lepas, saya telah menghubungi Cikgu Shaziah memohon kebenaran untuk kongsikan resepi rotinya dengan kawan-kawan semua. Terima kasih cikgu atas keizinan yang diberi. Semoga ilmu meroti yang dikongsikan ini akan memberi manfaat kepada rakan-rakan semua.

Resepi Roti Manis:

375 gm tepung 'high protein @ superfine'.
125 gm tepung gandum.
150 gm gula halus (boleh kurangkan, saya guna 100-110 gm gula sahaja).
1 sudu besar susu tepung.
125 gm tang zhong** (sila lihat resepi di bawah).
25 gm shortening.
25 gm marjerin.

[Bahan bancuhan Yis]
11 gm yis (saya guna 12gm sebab dah beli peket 12gm).
1bj telur.
1/2 sudu teh garam.
1 sudu gula.
Air secukupnya (sila rujuk bhgn cara bancuhan yis).

[Bahan bancuhan 'egg wash'*]
1-2 sudu besar susu pekar @ susu cair.
1 biji kuning telur.
*bancuhan ini untuk disapu atas bun sebelum dibakar, boleh tambah susu jika bancuhan nampak pekat.

Tepung gandum 'extra' untuk.menguli doh (perlu juga walaupun menggunakan bread maker)
Marjerin untuk disapu pada roti ketika masih panas.

Langkah 1: penyediaan tang zhong (water roux)*gantikan pelembut roti.
50gm tepung gandum.
250gm air.
(Sukatan ini akan menghasilkan 250gm tang zhong dan boleh digunakan untuk doh 1 kg tepung)

- Kacau sebati kedua-duanya dalam periuk. Pastikan tiada tepung yang berketul-ketul.
- Masak atas api perlahan sehingga adunan menjadi pekat seperti gam. Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk (seeloknya semalaman) sebelum digunakan untuk mendapatkan hasil optimum (roti menjadi lembut dan gebu walaupun selepas 2 hari dibuat).
- Setiap 1/2 kg tepung hanya perlu gunakan 125gm tang zhong sahaja, lebihan tang zhong boleh disimpan dalam peti sejuk untuk dibuat doh seterusnya.
- tang zhong akan rosak selepas beberapa hari disimpan atah selepas warna bertukar kekuningan.
-adunan tang zhong ini boleh dikurangkan atau digandakan, asalkan mengikut nisbah 1:5 (dalam gram).

Langkah 2: bancuhan yis.
1. Sukat air 100ml, ketepikan (air untuk mencuci bekas bancuhan yis).
2. Pecahkan telur ke dalam bekas penyukat, tambahkan garam dan gula.
3. Tambahkan air sehingga sukatan menjadi 125ml, kacau rata sehingga gula agak larut.
4. Tambahkan yis, kacau rata dan biarkan yis mengembang sekejab.
(Pastikan bahan-bahan kering dalam Langkah 3 sudah tersedia sebelum menambah yis ke dalam bekas sukatan, jika tidak yis akan cepat mengembang dan melimpah).

Langkah 3: Doh Roti.
A. Uli dengan tangan.
1. Masukkan bahan-bahan kering (tepung, gula halus dan susu tepung)ke dalam mangkuk adunan, gaul rata bahan tersebut.
2. Buatkan satu lubang di tengah mangkuk.
3. Tuangkan bancuhan yis (dari Langkah 2) dan tang zhong (dari Langkah 1) ke tengah mangkuk dan gaul perlahan-lahan dari tengah dengan mengambil sedikit-demi sedikit tepung ke tengah mangkuk. Jangan lupa masukkan sekali air yang diguna untuk mencuci bekas bancuhan yis tadi.
4. Uli sehingga semua tepung menjadi dan tidak melekit di dinding mangkuk dan jari. Sekiranya doh masih lembut, tambahkan tepung gandum 'extra' sedikit demi sedikit.
5. Akhirnya, masukkan marjerin dan shortening ke dalam doh, uli ladi sehingga doh lembut, licin dan elastik. (10-15 minit).

B. Uli dengan mixer.
1. Masukkan semua bahan kering dalam mangkuk adunan, gaul dengan speed perlahan.
2. Tambahkan bancuhan yis, air untuk "mencuci" bekas dan tang zhong, putar perlahan hingga sebati.
3. Tambahkan kelajuan mixer ke medium setelah adunan yis dan tepung bergaul dengan agak sebati. Sekiranya doh masih lembut, tambah lebihan tepung gandum tadi.
4. Apabila doh dah terbentuk dan ridak melekat di dinding mangkuk, tambah marjerin dan shortening, putar lagi sehingga adunan sebati dan elastik.
*tips cek dok elastik: tarik tepung tidak putus.

C. Uli dengan bread maker(saya gunakan noxxa BM)
1. Masukkan bahan cair (bancuhan yis).
2. Masukkan campuran tepung.
3. Akhir sekali masukkan shortening, marjerin dan tang zhong.
*hentak bekas 3 kali sebelum masukkan dalam BM dan BM menjalankan tugasnya.

Langkah 4: Memerap doh dan membuat bun (jika uli secara manual).
1. Sediakan satu mangkuk besar dan minyakkan mangkuk tersebut di seluruh permukaannya.
2. Masukkan doh ke dalam mangkuk tersebut, letakkan juga sedikit minyak di permukaan doh.
3. Tutup dengan tuala lembab/cling film dan biarkan doh mengembang 2 kali ganda (perapan pertama).
*Anggaran masa: 1-1 1/2 jam.

*tips perap doh di rumah: boleh masukkan dalam oven.

*tips cek cukup kembang ke belum: cucuk dengan jari, doh akan naik semula/tidak berlubang.

4. Bila doh sudah kembang, tumbuk-tumbukkan doh untuk keluarkan angin.
5. Timbang doh mengikut berat yang dikehendaki (40/50/60 gm).
6. Bulatkan doh-doh kecil tersebut dan rehatkan selama 10 minit (perapan kedua) sebelum dibentuk menjadi bun.
7. Setelah siap bentukkan bun, biarkan doh mengembang sekali ganda (perapan ketiga) barulah boleh dibakar dalam oven.
8. Pastikan loyang disapu dengan marjerin dan sapukan bun dengan 'egg wash' sebelum dimasukkan ke dalam oven.
9. Sebelum itu, panaskan oven dengan api atas bawah pada suhu 170°c. Masukkan bun dan tukar api bawah sahaja, setkan masa 10-12 min. Kemudian tukar ke api atas sahaja dengan suhu 180°c selama 5-8 min.

*suhu dan masa adalah bergantung kepada jenis oven - KENALI OVEN ANDA.

10. Setelah bun masak, keluarkan dari oven dan cepat-cepat sapukan marjerin di atasnya ketika masih panas supaya bun menjadi cantik, berkilat dan lembut.
11. Biarkan bun sejuk sebelum dimasukkan dalam plastik atau bekas kedap udara.

SELAMAT MENCUBA!



Sunday 2 March 2014

LIBATKAN ANAK-ANAK DENGAN AKTIVITI BERMANFAAT

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Hari ini anakanda berempat, Hakim 5 tahun, Husna dan Husni 8 tahun dan juga Haziq 10 tahun menghadiri sesi 'upgrading' Taekwondo WTF yang mereka ikuti kelas dan latihannya sejak tahun lepas. Sebenarnya sudah lama anak-anak saya memohon kebenaran untuk menyertai kelas taekwondo pada hujung minggu bagi mengisi masa terluang mereka. Akan tetapi, akibat kesibukan saya dan suami asyik menangguhkan hasrat untuk bertemu dengan pemilik kelas taekwondo di Bintulu ini.

Alhamdulillah, akhirnya hajat anak-anak saya tercapai tahun lepas di mana pada ketika itu Hakim berusia 4 tahun membolehkannya turut serta menghadiri kelas taekwondo tersebut bersama abang-abang serta kakaknya. Sepanjang tahun lepas mereka telah menyertai beberapa sesi 'upgrading' dan beberapa siri pertandingan taekwondo peringkat bahagian Bintulu dan peringkat negeri Sarawak. Dalam setiap pertandingan tersebut, alhamdulillah pasti ada pingat yang mereka menangi.

Pada hari ini, sesi 'upgrading' ini melibatkan Hakim untuk betukar ke tali pinggang hijau belang biru dan abang dan kakaknya bertukar ke tali pinggang biru. Melihatkan semangat dan kesungguhan mereka menghadiri latihan tanpa ada rasa penat atau mengeluh, hati keibuan saya rasa amat bahagia dan gembira.

Antara kebaikan atau faedah yang saya lihat pada diri anak-anak saya selepas menghadiri kelas taekwondo ini, mereka dapat belajar untuk berifikiran positif, berani, rajin, berdisiplin, pandai membawa diri dalam kelompok kawan-kawan baru, pandai berkawan, berani dan yakin untuk berhadapan dengan orang ramai dan banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini. Selain dapat mengisi masa terluang mereka dan mereka pula menyukainya. Tetapi ingin saya kongsikan di sini, jika anak-anak tidak menyukai sesuatu perkara, tidak perlu kita memaksa mereka untuk melakukannya. Keadaan ini hanya akan menjadikan mereka 'moody' atau merasa tidak dihargai atau tidak punya kebebasan untuk memilih. Sebagai ibu bapa kita boleh memberikan peranan kepada anak-anak untuk memilih tetapi mesti di bawah pengawasan kita.

Anakanda Husna dan Haziq bersama rakan-rakan.
Hakim dan pelajar lain ketika sesi 'upgrading'.
Hakim sedang menunggu giliran.
Anakanda Haziq, Husna dan Husni semasa sesi 'upgrading' petang tadi.