Sunday, 8 March 2015

KALAH MENANG ADAT PERTANDINGAN

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum..didoakan anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Alhamdulillah, selesai sudah aktiviti anak-anak sepanjang hari, kelmarin. Dan seperti biasa, ummi pun kena join juga aktiviti anak-anak sebagai tanda sokongan buat mereka. Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memberikan sokongan terhadap kecenderungan dan minat anak-anak supaya mereka terus bersemangat dan merasa dihargai atas segala usaha mereka.

Anak-anak kembar saya Husna dan Husni terlibat sebagai wakil sekolah dalam acara Action Song dan Nasyid peringkat bahagian Bintulu. Kedua-dua acara berlangsung di tempat yang berbeza sementara anak saya yang belajar di Pasti Bintulu juga terlibat dengan lawatan sekolah. Kiranya pagi kelmarin agak kelam kabut uruskan anak-anak mengalahkan hari sekolah. Alhamdulillah juga tempat lawatan Pasti dengan tempat pertandingan Action Song tidak jauh antara keduanya.

Akhirnya, anak sulung Haziq yang berusia 11 tahun tolong temankan adiknya Hakim ke lawatan Pasti, ummi dan Hanis ke Dewan Suarah beri sokongan untuk Husna dan kawan-kawan dalam pertandingan Action Song. Sementara Husni ditemani oleh babanya untuk hadir ke Majlis Tilawah Quran dan Festival Nasyid untuk sekolah rendah dan menengah.

Kebetulan pula, lepas je tamat acara action song, ummi terpaksa bergegas ke acara nasyid sebab babanya terlibat pula dengan urusan jenazah kenalan baik di Bintulu ni yang baru meninggal pagi kelmarin. Alhamdulillah, setibanya di Martabat tempat acara nasyid berlangsung ummi terus bergegas masuk dewan, gembira rasa hati kerana kumpulan nasyid SK Agama yang diwakili Husni baru nak memulakan persembahan. Sempat juga ummi tengok anak ummi jadi pemain shaker dan tambourine kat belakang tu.

Husni, duduk 2 dari kiri bersama guru dan rakan-rakan

Untuk acara Action Song, kumpulan SK Agama hanya mendapat tempat saguhati. Wajah Husna dan kawan-kawan agak kecewa tapi para ibu bapa dan guru saling memberi kata-kata semangat dan peransang supaya anak-anak dapat menerima hakikat bahawa dalam pertandingan semestinya ada kalah dan menang. Yang penting usaha gigih dan semangat berpasukan yang mereka tunjukkan.

Sementara Husni dan kawan-kawan pula mendapat tempat ketiga acara nasyid walaupun mereka target untuk mendapat tempat pertama. Sebagai ibu, saya merasakan mereka sudah buat yang terbaik. Para guru juga dah beri komitmen yang sangat tinggi untuk melatih anak-anak murid mereka. Mudah-mudahan anak-anak dapat belajar sesuatu dengan menyertai pertandingan dan mewakili sekolah dalam acara-acara terbabit.

Husna berdiri 4 dari kanan.

Pembelajaran bukan hanya tertumpu kepada pelajaran dalam kelas semata-mata tetapi juga melibatkan unsur-unsur luaran kelas yang banyak mengajar anak-anak kemahiran-kemahiran lain yang tidak terdapat dalam buku. Umpamanya seperti kerja berpasukan, keyakinan diri, keberanian, semangat juang yang tinggi, berani mencuba sesuatu yang baru dan sebagainya lagi. Saya amat mengharapkan agar apa sahaja ilmu yang anak-anak dapat di dalam dan luar kelas dapat membentuk mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, babgsa dan negara suatu hari nanti.

Sekian dulu coretan saya untuk kali ini. Sehingga bertemu lagi pada masa lain. Bye bye..