Monday, 2 February 2015

RESEPI BROWNIES COKLAT BADAM DISALUTI SOS KARAMEL

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Didoakan semoga anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Sudah agak lama saya tak berkongsi cerita di ruangan ini. Bukan terus melupakan, niat dan keinginan tu ada tapi disebabkan kekangan masa meyebabkan rencana awal ingin menulis terus terbengkalai. Alhamdulillah, malam ini saya gagahi juga untuk berkongsi coretan dengan anda semua.

Hari-hari saya pada tahun 2015 ini diteruskan seperti biasa. Sekejab je rasanya sudah berlalu sebulan pertama untuk tahun baru ini. Dan saya masih lagi meneruskan tugas-tugas hakiki saya sebagai seorang pensyarah dan menjadi Pengedar Sah Shaklee yang menjalankan bisnes secara sambilan. Dalam pada itu saya juga tetap menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri kepada seorang suami yang amat bertanggungjawab dan ibu kepada 5 orang cahaya mata yang masih memerlukan banyak perhatian.

Di rumah saya membuat kerja-kerja rumah tanpa pembantu rumah, hanya dibantu oleh suami dan anak-anak dalam kerja-kerja tertentu. Sementelaah pula saya sekarang ini sedang hamil 5 bulan membuatkan suami dan anak-anak rasa lebih terpanggil untuk meringankan kerja-kerja rumah bersama-sama. Namun, untuk urusan masak-memasak memang saya yang banyak 'kontrol' bahagian itu.

Bila anak-anak suka makan apa yang di masak, memang seronok si ibu nak memasak. Ditambah pula hobi ibu memang suka memasak dan mencuba resepi-resepi baru, memang kena sangat 'buku dan ruas'nya. Petang kelmarin saya berjanji nak buatkan brownies untuk anak-anak tetapi disebabkan sibuk dengan 'closing Shaklee' untuk bulan Januari menyebabkan janji saya tak dapat ditunaikan.

Jadi, awal-awal pagi lepas subuh saya dah bertukang di dapur demi untuk tunaikan janji kepada anak-anak. Resepi brownies yang saya buat ini diambil daripada buku resepi karangan Chef Lynn Hassan bertajuk 'Baking'. Saya baru je membelinya minggu lepas. Ini buku resepi kedua Lynn Hassan yang saya beli. Cuma saya ada olah sedikit resepinya ikut kesesuaian dan citarasa saya. Saya kongsikan resepi yang saya buat pertama kali ini dengan anda semua. Rasanya sedap dan anak-anak pun suka.
Buku Resepi "Baking" oleh Chef Lynn Hassan

BAHAN-BAHANNYA:

250 gm mentega
1 cawan serbuk koko
3/4 cawan susu cair
2 cawan gulan castor (boleh kurangkan kepada 1 3/4 cawan jika nak kurang manis)
3 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
Badam cincang (jika suka)

Bahan yang diayak bersama:
1 1/2 cawan tepung gandum (saya guna tepung kek)
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat

Bahan untuk hiasan:
Sos Karamel
Kepingan badam

Bahan untuk sos karamel:
125gm gula kastor (boleh kurangkan jika ingin kurng manis)
3 sudu besar mentega
125 gm krim putar (whipping cream)



CARA-CARA MEMBUATNYA:

Adunan A: Cairkan mentega, kemudian masukkan serbuk koko dan kaca hingga sebati. Kemudian masukkan susu cair dan kacau. Ketepikan.

Pukul telur, esen vanilla dan gula hingga kembang menggunakan mixer.

Kemudian masukkan adunan A tadi dan pukul hingga sebati.

Masukkan tepung yang diayak dan badam cincang, gaul hingga sebati.

Sementara itu, panaskan oven dengan suhu 170 darjah celcius selama 10 minit.

Tuangkan adunan ke dalam loyang yang telah dialas dengan kertas minyak. Jika anda menggunakan non-stick, tak perlu alas lagi.

Bakar selama 50 minit pada suhu 170 darjah atau sehingga masak.

Sos Karamel: Panaskan gula hingga perang, masukkan mentega dan biarkan cair. Tutup Api.

Masukkan krim putar dan kacau hingga sebati dan tuang pada permukaan brownies yang telah dipotong.

Akhir sekali masukkan hirisan badam dan tabur diatasnya. Sebelum itu, hirisan badam tu saya bakar seketika dalam oven supaya ia lebih rangup dalam 5-8 min.

Rehatkan seketika brownies anda sebelum ia boleh dimakan.

Brownies yang saya buat.



Ok semua, selamat mencuba!


Wednesday, 14 January 2015

RESEPI WAFFLE UMMI

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.
Agak lama saya tak kongsikan catatan saya di blog ini..memandangkan kesibukan tugas seharian yang amat membataskan masa saya untuk melakukan pelbagai kerja dalam sehari. Jadi di kesempatan yang ada ini, saya ingin kongsikan resepi waffle yang selalu saya buat untuk anak-anak saya di rumah. Moga resepi ini sedikit sebanyak dapat membantu anda menyediakan makanan yang menyelerakan buat suami dan anak-anak.

Bahan-Bahan:
2 cawan tepung gandum (tepung serbaguna)
1 sudu besar baking powder
3 sudu besar gula pasir/gula halus
1/2 sudu kecil garam
1 3/4 cawan susu cair
2 biji telur
sedikit air kosong (jika perlu sekiranya adunan agak pekat)


Cara-Caranya;

Masukkan kesemuanya ke dalam blender. Putar adunan sehingga sebati dan halus. Biarkan adunan tadi lebih kurang 5 - 10 minit. Setelah itu masukkan ke dalam acuan @ waffle maker dan masak sehingga garing atau setakat mana yang kita inginkan. Saya biasa letak sapuan Nutella atau mentega kacang coklat dan jem strawberi kesukaan anak-anak.

Selamat Mencuba!

Saturday, 13 December 2014

RESEPI DURIAN CREPE SEDAP

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Alhamdulillah..syukur pada Allah kerana diberi kelapangan masa untuk kongsikan dengan para pengunjung semua resepi Durian Crepe yang saya baru buat beberapa hari lepas. Walaupun sebenarnya resepi DC ni dah lama famous tapi baru sekarang tergerak untuk membuatnya.

Sebelum ni saya hanya membeli DC ni dari seorang rakan kat Bintulu ni. Tahun lepas rasanya, terasa untuk membelinya bila saya tengok DC ni dah jadi macam satu fenomena. Sana sini orang pakat cakap sedap. Dan bila saya beli dari kawan tu, terdetik dalam hati; "memang sedap rupanya Durian Crepe ni..".

Tapi sebenarnya rasa dan keenakan DC ni juga bergantung kepada penjual dan orang yang membuatnya. Mungkin juga resepi berlainan yang digunakan menyebabkan rasanya tidak sama. Kadang-kadang kulit terlampau tebal dan durian yang lama mungkin digunakan..menyebabkan rasanya jadi tidak sedap. Saya pernah beli DC tapi bila makan tak sedap pula macam yang kawan saya buat tu. Jadi hati-hati juga waktu nak membeli tu ya sebab takut-takut terkena yang tak sedap.

Baru-baru ni tergerak hati nak mencuba buat sendiri DC dan alhamdulillah resepinya saya dapat dari kawan yang memang pakar buat DC ni. Kalau buat betul-betul ikut resepi ni insyaAllah menjadi dan sedap. Jom kita tengok bahan-bahan dan cara membuatnya.

BAHAN-BAHAN:

(Kulit)

Bahan A
15 gm Tepung Gandum (resepi asal tepung hongkong)
25 gm Tepung Jagung
7 gm Tepung Kastad
12 gm Tepung Ubi Kayu
12 gm Tepung Ubi Kentang
20 gm Gula aising
(Kesemua bahan ini disatukan)

Bahan B
6 biji telur ayam
250 gm air
15 gm Minyak masak
1 sd esen vanilla
Sedikit pewarna kuning

(Inti)
2 cawan Whipping Cream
Isi durian (dilenyekkan)

CARA MEMBUATNYA:

1. Satukan kesemua bahan A.
2. Satukan bahan B dan kacau biar sebati.
3. Campurkan kedua-dua bahan A dan B dan kacau hingga sebati, kemuadian tapiskan bahan tadi.
4. Panaskan non-stick fry pan saiz 16 cm. Untuk pertama kali, sapukan sedikit minyak.
5. Masukkan sesenduk kecil (boleh tengok gambar saiz senduk kecil tu) dan gunakan pemegang fry pan tadi untuk leperkan adunan tadi (seperti dalam gambar).
6. Gunakan api kecil sahaja dan angkat bila dah masak. Sekejab je boleh angkat kulit DC ni. Hati-hati jangan sampai hangus.
7. Buatlah adunan tadi sampai habis. Adunan di atas boleh dapat 45-50 keping kulit DC.
8. Sementara menunggu kulit ni sejuk, keluarkan whipping cream dari peti sejuk. Pastikan whipping cream sentiasa berada dalam peti sejuk.
9. Putar menggunakan mixer dengan kelajuan tinggi sehingga cream tadi mengeras. Untuk tahu cream dah sedia untuk digunakan ialah dengan cara terbalikkan bekas cream dan cream tu tak jatuh. Awas, jangan terlebih putar lak nanti cream mencair.
10. Sedia untuk membalut DC, letakkan cream ikut kesukaan  anda di tengah-tengah kulit tadi. Kemudian letakkan isi durian di atasnya (seperti dalam gambar).
11. Balutlah DC dan susun dalam bekas, kemudian simpan dalam peti sejuk. Rasa Durian Crepe lebih sedap jika dimakan ketika sejuk.

Mungkin nampak rumit sikit untuk buat kulit DC ni. Tapi ia akan jadi mudah jika kita gunakan fry pan yang kena dengan saiz supaya senang nak melenggang / meleperkan kulit. Dan mungkin bagi yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia masakan akan rasa malas nak membuat kulit dan membalut inti pula. Tapi, bila buat sendiri ni rasa puas dan boleh makan banyak mana pun kita nak. Kalau beli faham-faham je lah kan. Harganya pun boleh tahan juga. Bagi suri yang dah biasa memasak, insyaAllah ini tak jadi masalah.

Ok setakat ini dulu perkongsian saya kali ni. Selamat mencuba ya. Jumpa lagi!

Inilah hasil Durian Crepe saya..!
Langkah demi langkah
Whipping Cream yang saya guna
Fry Pan saiz 16cm dan senduk kecil

Friday, 12 December 2014

INDAHNYA MERAIKAN SEBUAH KEJAYAAN

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam bahagia buat semua pengunjung blog ini. Didoakan semoga kalian sentiasa berada di bawah payungan Rahmat dan Rahim Allah SWT.

Di hari Jumaat yang indah ini, tergerak hati untuk kongsikan saat-saat manis meraikan kejayaan saya menyelesaikan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah walaupun hari konvokesyennya telah lebih sebulan berlalu. Sesungguhnya setiap kejayaan itu pasti akan terasa amat manis kerana jalan untuk sampai ke destinasi itu penuh dengan cabaran, liku, pengorbanan dan perjuangan serta linangan air mata duka dan gembira.

Bak kata pepatah Melayu, "Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Begitulah kita dalam menempuh apa jua kejayaan dan kebahagiaan. Pasti akan melalui pelbagai episod pahit, duka, ujian dan cabaran yang mendatang. Sekiranya kita tak dapat menempuhnya dengan sabar dan semangat, pasti kita akan kecundang sebelum tiba ke garisan penamat.

Seperti saya suatu ketika dahulu, dalam tempoh menyiapkan pengajian PHD saya yang mengambil masa lebih 7 tahun sehingga hari konvokesyen pada 1 November 2014 yang lalu, pernah terdetik di hati bahawa saya mungkin tidak dapat meraikan kejayaan seperti kawan-kawan yang lain setiap kali melihat mereka bergembira pada hari konvekesyen masing-masing. Saya pernah mengalami zaman 'kejatuhan' dalam tempoh tersebut dek kerana penat dan lelah nak menyiapkan tesis dalam masa yang sama bertugas sebagai pensyarah dan menguruskan anak-anak seramai 5 orang.

Untuk pengetahuan semua, saya mendapat cuti belajar selama 3 tahun 9 bulan, tetapi saya tidak dapat menyiapakan pengajian saya dalam tempoh tersebut. Mungkin juga atas kelemahan saya dan pelbagai masalah, cabaran dan dugaan yang mendatang. InsyaAllah jika berkelapangan, saya akan kongsikan kisah liku perjalanan saya selama lebih 7 tahun menyiapkan pengajian ini. Bukan untuk berbangga atau menunjuk-nunjuk tetapi sebagai satu semangat buat semua dalam menempuh apa jua cabaran dalam hidup.

Dan alhamdulillah, setelah mendapat kekuatan selepas fasa-fasa 'kejatuhan' itu, saya terus bangkit hasil doa yang tak putus-putus daripada kedua ibu bapa saya, suami, ahli keluarga dan atas semangat saya sendiri, akhirnya saya berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah pada Januari 2014. Indahnya kejayaan ini apabila dapat saya raikannya bersama kedua ibu bapa tercinta, suami dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain pada hari Konvokesyen UKM yang ke-42, pada 1 November 2014 yang lepas.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa foto sewaktu meraikan hari bahagia yang amat bermakna buat saya ini. Semoga ada manfaatnya buat anda semua yang membaca coretan saya ini. Sehingga bertemu di coretan lain. Jumpa lagi!  

Gambar Keluarga di Studio

Sewaktu menerima ijazah
Bersama rakan dalam dewan
Bersama keluarga yang datang meraikan
Bersama abah dan mak
Suami dan anak-anak

Thursday, 11 December 2014

RESEPI LAKSA KEDAH

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Kali ini saya nak kongsikan resepi kuah laksa yang biasa saya buat untuk keluarga. Sedari kecil saya suka melihat mak saya masak di dapur dan dalam diam saya dapat mengambil petua-petua dan belajar cara memasak dari beliau. Resepi kuah laksa ini adalah salah satu di antaranya.

Kebetulan keluarga mertua juga amat kerap buat menu ni dan sedap pula rasa kuahnya. Sebelah mertua memang tinggal berdekatan kampung nelayan dan ada ahli keluarga yang ke laut menangkap ikan. Jadi, memang kalau buat kuah laksa mesti ikan segar yang digunakan. Memang sedap lah! Ok jom kita tengok bahan-bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya:

(Untuk kuah)

5-7 ekor ikan kembong (saya biasa guna ikan kembung, ikan lain pun boleh maca sardin dan sebagainya) saiz ikut besar ikan. Kalau kecil tambah jadi 10 ekor. Sebolehnya mesti ikan segar.
5-10 biji cili kering (ikut tahap kepedasan yang digemari)
1 biji bawang besar saiz sederhana hingga besar.
5 ulas bawang merah.
1-2 cm belacan.
5-6 keping asam gelugur (asam keping).
Daun kesum / bunga kantan.
Garam / Serbuk perasa (jika suka)
Air kosong ikut kesesuaian.

(Bahan Laksa dan tabur)

1-2 bungkus laksa (dicelur sehingga lembut)
Daun selom / daun putat / pucuk gajus / ulam raja.
Bawang besar.
Limau nipis.
Telur rebus.
Cili padi.
Semua bahan-bahan ni di potong halus dan mengikut kesukaan anda. Kalau di Kedah, selalunya laksa tak di makan dengan daun salad. Lain rasanya.

Cara Membuat Kuah Laksa:

1. Rebus ikan, masukkan 2 keping asam jawa dan sedikit garam dalam air rebusan. Setelah masak, asing isi ikan dengan tulang-tulangnya dalam bekas yang berlainan. Air rebusan jangan dibuang, boleh digunakan untuk membuat kuah. Biasanya saya gunakan periuk yang sama untuk merebus ikan dan membuat kuah.

2. Masukkan isi ikan ke dalam blender dan kisar seketika dengan sedikit air. Jangan terlampau halus isi ikan itu. Biarkan isinya agak kasar. Tuangkan isi ikan yang telah dikisar ke dalam periuk yang ada lebihan air kukusan tadi.

3. Mesin pula tulang dan kepala ikan bersama air sehingga halus. Kemudian tapis airnya dan masukkan dalam periuk tadi. Ulang tapis sehingga 2 hingga 3 kali.

4. Cili kering tadi direbus dan dikisar bersama-sama bawang besar, bawang merah dan belacan sehingga halus. Kemudian masukkan kedalam periuk kuah tadi.

5. Dalam masa yang sama, masakkan kuah tadi dengan api sederhana.

6. Masukkan daun kesum, bunga kantan yang telah di potong, garam dan serbuk perasa serta asam keping.

7. Masaklah sehingga mendidih dan rasakan kuah anda biar secukup rasa. Jika terlampau pekat, sila tambahkan air mengikut kesukaan anda.

8. Biarkan mendidih atas dapur buat buat seketika.

9. Sedia untuk dihidang bersama-sama laksa dan bahan-bahan tabur tadi. Juga sedap ditambah otak udang.

Selamat mencuba dan jumpa lagi.

Friday, 5 December 2014

RESEPI KEK LAPIS CHEESE

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Suatu ketika dahulu, saya sangat rajin buat kek lapis cheese ni. Taip-tiap kali raya pasti saya akan buat dan poskan ke kampung mak dan mertua kalau saya tak dapat pulang beraya. Sehinggakan ramai juga pelajar saya yang menempah kek lapis cheese ni untuk di bawa pulang ke kampung halaman.

Tapi, itu cerita beberapa tahun lepas. Masa tu saya sangat suka dan amat teruja membuatnya dan amat gigih menyiapkan tempahan. Lagi pula ketika itu saya mempunyai pembantu rumah. Resepi ini sebenarnya saya dapat daripada seorang kenalan ketika mula-mula sampai ke Bintulu dulu. Mungkin sekitar tahun 2003. Mulanya saya makan kek ni ketika beraya ke rumah beliau dan disebabkan jatuh cinta dengan rasanya, terus saya minta resepi daripada beliau.

Tempahan Kek Lapis Cheese yang dah siap..suatu ketika dulu..


Caranya amat mudah. Tak perlu bakar atau kukus. Hanya masukkan dalam peti sejuk semalaman.

Bahan-bahannya:

350 gm Philadelphia @ Tatura cream cheese
1 tin kecil (tin paling kecil) susu pekat manis
3 packet biskut Saltcheese
Cheddar cheese parut (pilihan~utk hiasan)

Biskut Saltcheese


Cara membuatnya:

1. Putar cream cheese, kemudian masukkan susu pekat. Putar lagi hingga sebati.
2. Lapiskan adunan cheese (+-1 sudu besar) dalam loyang @ bekas..ratakan.
3. Kemudian susun biskut Saltcheese rapat-rapat hingga menutupi adunan cheese.
4. Lapiskan lagi dengan adunan cheese dan selang seli dengan susunan biskut saltcheese.
5. Buat macamni sehingga habis adunan..akhirnya adalah lapisan adunan cheese ya..
6. Akhir sekali, jika suka boleh tabur parutan cheddar cheese atasnya..
7. Masukkan dalam peti sejuk (bahagian atas/beku)..biarkan semalaman dan keluarkan dari tempat beku & biarkan seketikan sebelem dipotong nipis (seperti memotong kek lapis ..kalau nak simpan, letak dalam peti bahagian bawah je, tak perlu simpan di tempat beku lagi

Mudah kan caranya? Ok, setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Anda mesti cuba resepi ini ya, peminat cheese pasti menggemarinya.

Sekian, jumpa lagi.


Thursday, 4 December 2014

RESEPI EGG MUFFINS

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam ceria.

Alhamdulillah, hari ni saya diberi kelapangan masa untuk kongsikan dengan anda semua satu lagi resepi yang saya ambil dari fb minggu lepas. Kebetulan gambar dan resepi egg muffins ni lalu di newsfeed saya, nampak macam sedap dan amat mudah untuk dibuat. Bila saya cek semua bahan-bahan ada di dapur saya, apa lagi petang tu juga saya buat egg muffins ni.

Tapi disebabkan acuan muffin saya tak pasti di mana saya letak gara-gara berpindah rumah baru-baru ni, jadi saya buat menggunakan acuan pizza saiz S. Dan hasil..nyaman gilak bak kata orang Sarawak. Jom kita tengok apa bahan-bahannya.

Egg muffin versi saya
Egg muffins resepi dari fb signaturewedding


BAHAN-BAHANNYA:

(A)
Daun sup/saderi
Bawang besar
Buah tomato
Cili merah @ cili benggala
Cili hijau
Carrot
Daging @ ayam cincang / sosej (jika suka)

(B)
4 biji telur ayam
1/2 cawan susu cair
Mayonaise (jika suka)
Cheese parut
Garam /serbuk lada / serbuk perasa (jika suka)

CARA MEMBUATNYA:

1. Panaskan oven dengan suhu 160 darjaj celsius selama 10 minit.
2. Bahan (A) dipotong dadu atau halus mengikut kesukaan anda.
3. Campurkan semua bahan (B) dan pukul sehingga sebati.
4. Masukkan bahan (A) dalam acuan muffin.
5. Tuangkan adunan (B) telur tadi dalam acuan yang telah diisi bahan-bahan (A) tadi dan tabur cheese di atasnya.
6. Masak dengan api bawah lebih kurang 8 minit dengan suhu 150-160 darjah. Kemudian tukar ke api atas sahaja dengan suhu dan masa yang sama. ( suhu dan masa memasak mengikut keadaan oven masing-masing).
7. Setelah masak, biarkan sejuk seketika..keluarkan dari acuan dan sedia untuk dihidangkan. Boleh juga dimakan dengan sos cili @ sos cili thai.

Tambahan: anda boleh menggunakan apa-apa sahaja bahan yang anda suka sebagai intinya. Boleh juga masukkan mee segera yang telah direbus dan dipotong-potong mengikut citarasa anda.

Mudah kan? Anda mesti cuba buat resepi egg muffin ni. InsyaAllah pasti anak-anak menyukainya. 

Selamat mencuba dan jumpa lagi.