Thursday 11 December 2014

RESEPI LAKSA KEDAH

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Kali ini saya nak kongsikan resepi kuah laksa yang biasa saya buat untuk keluarga. Sedari kecil saya suka melihat mak saya masak di dapur dan dalam diam saya dapat mengambil petua-petua dan belajar cara memasak dari beliau. Resepi kuah laksa ini adalah salah satu di antaranya.

Kebetulan keluarga mertua juga amat kerap buat menu ni dan sedap pula rasa kuahnya. Sebelah mertua memang tinggal berdekatan kampung nelayan dan ada ahli keluarga yang ke laut menangkap ikan. Jadi, memang kalau buat kuah laksa mesti ikan segar yang digunakan. Memang sedap lah! Ok jom kita tengok bahan-bahan dan cara membuatnya.

Bahan-bahannya:

(Untuk kuah)

5-7 ekor ikan kembong (saya biasa guna ikan kembung, ikan lain pun boleh maca sardin dan sebagainya) saiz ikut besar ikan. Kalau kecil tambah jadi 10 ekor. Sebolehnya mesti ikan segar.
5-10 biji cili kering (ikut tahap kepedasan yang digemari)
1 biji bawang besar saiz sederhana hingga besar.
5 ulas bawang merah.
1-2 cm belacan.
5-6 keping asam gelugur (asam keping).
Daun kesum / bunga kantan.
Garam / Serbuk perasa (jika suka)
Air kosong ikut kesesuaian.

(Bahan Laksa dan tabur)

1-2 bungkus laksa (dicelur sehingga lembut)
Daun selom / daun putat / pucuk gajus / ulam raja.
Bawang besar.
Limau nipis.
Telur rebus.
Cili padi.
Semua bahan-bahan ni di potong halus dan mengikut kesukaan anda. Kalau di Kedah, selalunya laksa tak di makan dengan daun salad. Lain rasanya.

Cara Membuat Kuah Laksa:

1. Rebus ikan, masukkan 2 keping asam jawa dan sedikit garam dalam air rebusan. Setelah masak, asing isi ikan dengan tulang-tulangnya dalam bekas yang berlainan. Air rebusan jangan dibuang, boleh digunakan untuk membuat kuah. Biasanya saya gunakan periuk yang sama untuk merebus ikan dan membuat kuah.

2. Masukkan isi ikan ke dalam blender dan kisar seketika dengan sedikit air. Jangan terlampau halus isi ikan itu. Biarkan isinya agak kasar. Tuangkan isi ikan yang telah dikisar ke dalam periuk yang ada lebihan air kukusan tadi.

3. Mesin pula tulang dan kepala ikan bersama air sehingga halus. Kemudian tapis airnya dan masukkan dalam periuk tadi. Ulang tapis sehingga 2 hingga 3 kali.

4. Cili kering tadi direbus dan dikisar bersama-sama bawang besar, bawang merah dan belacan sehingga halus. Kemudian masukkan kedalam periuk kuah tadi.

5. Dalam masa yang sama, masakkan kuah tadi dengan api sederhana.

6. Masukkan daun kesum, bunga kantan yang telah di potong, garam dan serbuk perasa serta asam keping.

7. Masaklah sehingga mendidih dan rasakan kuah anda biar secukup rasa. Jika terlampau pekat, sila tambahkan air mengikut kesukaan anda.

8. Biarkan mendidih atas dapur buat buat seketika.

9. Sedia untuk dihidang bersama-sama laksa dan bahan-bahan tabur tadi. Juga sedap ditambah otak udang.

Selamat mencuba dan jumpa lagi.

2 comments:

  1. Slm sis..
    Nampak sgt mengiurkn laksa kedah ni.Nanti nak try resepi sis plk,original from org kedah..hihii.tqvm ya..sy amik resepinya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. silakan..selamat mencuba ya zainah..moga2 memenuhi selera zai sekeluarga..

      Delete