Friday, 17 April 2015

TIPS MENAIKI PESAWAT DENGAN ANAK-ANAK KECIL

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Saat saya mula menulis entri ni, kami sekeluarga sedang bercuti-cuti Malaysia di Johor Bharu, Malaysia. Memang dah lama plan nak bawa anak-anak ke Legoland, alhamdulillah cuti sekolah kali ni Allah beri keizinan buat kami untuk sampai sini. Anak-anak sangat excited bila dapat tahu mereka akan ke Legoland cuti sekolah kali ni. Memandangkan cuti sekolah bulan 12 tahun lepas anak-anak kami hantar ke pondok (mengaji dan menghafaz al-Quran) jadi kali ni kami suami iseri berjanji akan bawa mereka jalan-jalan pada cuti sek bulan Mac.

Pengangkutan udara sebenarnya memang sesuatu yang biasa bagi kami sekeluarga. Memandangkan inilah satu-satunya pengangkutan yang boleh kami naiki untuk pulang ke kampung halaman di Kedah, sekurang-kurangnya setahun dua kali memang kami akan naik pesawat dari Bintulu ke KL dan dari KL ke Alor Setar. Sejak anak-anak baru lahir mereka dah biasa naik kapal terbang. Dan saya sendiri sejak anak seorang hinggalah sekarang anak  5 dan tak lama lagi bakal lahir anak keenam. Usia anak-anak saya kini adalah antara 11 tahun hingga 2 tahun 9 bulan. Mungkin disebabkan kebiasaan ini, jadi tak berlaku sebarang masalah sepanjang perjalanan kami terutamanya ketika berada dalam pesawat.

Walau bagaimanapun, ingin saya kongsikan beberapa tips yang mungkin anda boleh ikuti terutamanya bagi mereka yang pertama kali ingin travel menggunakan kapal terbang. Cumanya, perjalanan kami dengan anak-anak hanyalah dalam negara yang memakan masa 2 jam 5 minit untuk destinasi KL-Bintulu. Berikut adalah beberapa tips yang boleh saya kongsikan untuk mengurangkan 'kebosanan' atau mengelakkan mereka daripada 'buat perangai' dan sebagainya sewaktu dalam pesawat.

  • Sebolehnya elakkan anak-anak tidur sebelum ke lapangan terbang atau sebelum menaiki pesawat. Kebiasaannya saya dan suami akan biarkan anak-anak leka bermain bagi mengelakkan mereka tidur terutamanya ketika 'masa' tidur mereka seperti waktu tengahari. Ini adalah kerana, bila mereka berasa agak letih dan mengantuk, pastinya setelah naik pesawat mereka akan terus tidur. Jadi ia dapat mengelakkan mereka dari 'membuat perangai' sewaktu dalam pesawat. Anak kecil saya sekarang iaitu Hanis yang berusia 2 tahun 9 bulan, selalunya bila naik je pesawat, selepas 30 minit pertama dia pasti akan tidur dan selalunya dia hanya akan bangun apabila pesawat mendarat.
  • Pilih menu makanan untuk kanak-kanak sewaktu menempah tiket. Kebiasannya menu untuk kanak-kanak ini hanya disediakan untuk perjalanan yang memakan masa 2 jam atau 1 jam 50 minit ke atas jika menaiki MAS. Jika penerbangan hanya 1 jam, makanan tidak disediakan. Hanya minuman dan makan ringan sahaja seperti kacang. Bila kita memilih menu kanak-kanak, sekurang-kurangnya mereka akan leka dengan makanan tersebut. Dan kotak makanan itu juga boleh dijadikan model kapal terbang untuk menceriakan mereka.
Gelagat Hanis waktu dalam pesawat. Menyanyi lagu kesukaannya..
  • Biarkan anak-anak membawa apa-apa permainan, buku dan sebagainya supaya mereka dapat bermain ketika dalam pesawat. Anak-anak saya biasanya akan membawa buku atau 'game' yang boleh mereka  baca atau main bagi mengisi masa sewaktu berada dalam pesawat sepanjang perjalanan. Bagi anak-anak kecil, mungkin kita sebagai ibu boleh bacakan kepada mereka buku cerita atau lain-lainnya.
  • Boleh juga bawa makanan (biskut dan sebagainya) dan minuman kegemaran anak-anak. Jika mereka mula meragam, terutamanya anak-anak bawah 2 tahun, boleh kita berikan mereka makanan atau minuman yang mereka sukai.
  • Susukan anak jika anak masih menyusu badan. Sewaktu anak-anak saya masih kecil, jika anak mula nak menangis, saya akan terus susukan mereka. Bagi ibu yang menyusu secara eksklusif, cara ini amat mudah sekali untuk menidurkan anak dan mengelakkan mereka daripada terus menangis dan sebagainya.
  • Ajak anak bersembang-sembang atau bercerita. Jika anak-anak tidak mahu makan atau bermain, cuba ajak mereka bersembang atau bercerita apa sahaja dengan mereka. Ini salah satu tips lagi yang dapat melekakan mereka dan mengelakkan mereka bosan sewaktu berada dalam pesawat.

Kak Ngah Husna leka munlis diarinya..
Demikianlah beberapa tips yang boleh saya kongsikan dengan anda terutamanya bagi mereka yang pertama kali menaiki pesawat. Walau apapun keadaan anak-anak kita, elakkan daripada memarahi mereka jika mereka mula 'buat perangai' kerana itu hanya akan menjadikan mereka lebih agresif. Sebolehnya turutkan saja permintaan mereka terutama bagi anak-anak yang masih kecil (2 tahun ke bawah) kerana mereka masih tidak faham apa-apa. Usah risaukan penumpang lain tetapi cuba elakkan anak-anak daripada 'mengamuk' keterlauan dengan memujuk mereka dengan cara yang baik.

Selamat tiba di KLIA

Dan bagi anda dan kita semua yang menaiki pesawat tanpa anak-ana kecil, usahlah terlalu memandang sinis pada ibu bapa yang membawa anak-anak jika anak-anak itu menangis atau 'buat hal'. Sama-samalah kita memahami situasi kanak-kanak yang sememangnya tidak dijangkakan,

Sekian saja coretan saya kali ini. Semoga bertemu lagi di lain waktu. 

Tuesday, 14 April 2015

RESEPI PULUT KUNING PALING SEDAP

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum.

Kali ini saya nak kongsikan resepi dan cara saya buat pulut kuning yang paling sedap. Resepi berasaskan pulut ni memang antara kegemaran saya sekeluarga. Dan bagi saya sendiri memang dah lama saya biasa buat pulut kuning atau pulut lemak yang dimakan dengan durian, cempedak mahupun mangga.

Dulu saya selalu tengok mak buat dan adun atau orang Kedah sebut 'eron' pulut dengan santan. Lepas tu baru saya tahu kaedahnya dan setiap kali buat mesti menjadi..lembut, lemak dan sekata teksturnya. Maksudnya tak ada yang tak terkena santan..semuanya lembut dan lemak. Sebab kadangkala terkena pulut kuning yang tak sekata adunannya.



BAHAN-BAHANNYA:

5 cawan beras pulut (saya gunakan sukatan cawan rice cooker). Kalau nak lagi lembut guna beras pulut susu.
3-4 sudu besar serbuk kunyit
Sedikit garam.
2 helai daun pandan.
2-3 cawan santan pekat (saya biasa anggarkan sahaja).

CARA MEMBUATNYA:

1) Rendam beras pulut bersama-sama kunyit selama 4 jam.
2) Selepas 4 jam, toskan beras pulut seketika.
3) Panaskan periuk kukusan, kukus beras pulut tadi selama lebih kurang 30 hingga 45 minit atau sehingga masak. Pastikan selepas 15 minit anda kacau dan alihkan pulut dalam periuk kukusan tadi agar ia masak dengan sekata.
4) Sementara itu, masak santan pekat tadi dengan api perlahan. Tambahkan sedikit air jika terlalu pekat.
5) Masukkan sedikit garam dan pastikan anda kacau santan sambil memasak agar tidak 'pecah minyak'. Setelah santan agak panas, tutup api.
6) Antara tujuan santan dimasak seketika adalah supaya pulut kuning tahan lama dan tidak mudah basi.
7) Setelah itu, masukkan pulut yang telah masak tadi dalam bekas dan masukkan santan tadi. Pastikan santan meliputi keseluruhan pulut.
8) Biarkan seketika dalam anggaran 5 minit agar santan tadi menyerap ke dalam pulut kuning kita tadi.
9) Setelah itu, adun pulut dan santan tadi hingga sebati dan nampak seolah-olah berminyak. Sila pastikan tiada pulut yang berketul. Jika anda rasa kurang santan, boleh tambah santan dan adun lagi hingga sebati.
10) Pastikan proses mengadun dilakukan ketika pulut dan santan masih panas. Jika dah sejuk, kurang menjadi dan pulut anda mungkin keras.
Mudah je kan? Pulut kuning boleh di makan dengan kari ayam / telur atau mengikut kegemaran anda. Juga boleh dimakan dengan ayam masak merah atau serunding.

Sebelum saya mengundur diri, saya nak belanja video testimoni saya sendiri menggunakan Set Kehamilan dan Set Berpantang Shaklee. Sudi-sudikanlah menonton dan klik LIKE jika suka video ini ya...



Setakat ini dulu perkongsian resepi saya kali ini. Selamat mencuba!

Friday, 10 April 2015

HEALTH AND WELLNESS TALK SHAKLEE

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Alhamdulillah, pada malam Selasa lepas (7 April 2015), Shaklee telah berjaya anjurkan Health and Wellness Talk di Park City Everly Hotel, Bintulu. Setiap bulan pasti ada kelas-kelas nutrisi mahupun ceramah kesihatan yang dianjurkan oleh Shaklee di tempat-tempat tertentu mengikut zon. Alhamdulillah, kali ni saya berkesempatan menghadiri ceramah tersebut yang disampaikan oleh pakar nutrisi Shaklee untuk Sabah Sarawak. Ceramah bulan ini bertajuk "Kesihatan Minda".

Sebenarnya, ceramah kesihatan sebegini adalah terbuka kepada semu pengedar Shaklee dan juga para prospek bukan ahli yang berminat untuk menambah ilmu. Ceramah ini adalah percuma dan sememangnya amat banyak ilmu baru yang saya pelajari pada malam tersebut. Sebagai Pengedar Sah Shaklee (SID) yang aktif berkongsi kebaikan Shaklee dengan orang ramai, amat perlu bagi saya untuk sentiasa meng'upgrade' diri dengan ilmu-ilmu berkaitan supaya dapat memberi konsultasi yang terbaik kepada pelanggan dan juga anak cucu Shaklee saya. 

Pada malam itu, ada 3 orang anak Shaklee saya yang turut sama serta ceramah tersebut. Alhamdulillah, disamping dapat ilmu, kami juga dapat berkenal-kenalan dengan lebih mendalam sebab ada antara anak-anak Shaklee saya yang baru sertai Shaklee. Dan yang bestnya, kelas-kelas Shaklee ni selalunya tidak formal sangat dan boleh bawa anak-anak jika tiada yang dapat menjaga anak-anak. Cuma mesti pastikan anak-anak kita tidak mengganggu kelas atau ceramah yang sedang berlangsung.

Ok, setakat ini dulu perongsian saya kali ini. Semoga bermanfaat buat semua. Sehingga bertemu lagi. Di sini saya kongsikan beberapa keping gambar sewaktu ceramah kesihatan tersebut untuk tatapan anda semua.


Bergambar beramai-ramai usai ceramah.

Saya dan anak-anak Shaklee bergambar dengan pegawai nutrisi Shaklee.
Kami bersama anak-anak.
>>> JIKA ANDA INGIN SERTAI SAYA MENJANA PENDAPATAN DENGAN SHAKLEE SAMA ADA SECARA SAMBILAN ATAU SEPENUH MASA, BOLEH BERHUBUNG DENGAN SAYA DI TALIAN 013-457098 (PN. NAJIHAH) MELALUI SMS @ WASSAP.

Monday, 6 April 2015

RESEPI BREAD PIZZA YANG RINGKAS DAN PALING MUDAH

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum...

Dah agak lama saya bertangguh nak kongsikan resepi bread pizza yang ringkas dan paling mudah ni. Bukan saja bahan-bahan dia mudah didapati, cara dan masa nak membuatnya pun amat ringkas. Puan-puan yang sesekali ke dapur pun pasti boleh buat resepi ni. Anak-anak saya pun amat sukakan bread pizza ni. Jom kita tengok resepi dan cara membuatnya.

Bahan-Bahannya:

1) Roti putih potong.
2) Kepingan cheese.
3) Inti sardin @ ayam @ sambal bilis.
4) Cheddar cheese parut.
5) Bawang / cili untuk tabur (jika suka).

Cara Membuatnya:

1) Ambil beberapa keping roti putih.
2) Susun atas dulang pembakar.
3) Susun kepingan cheese atas roti tadi.
4) Sapukan inti atas cheese.
5) Tabur cheese parut dan bahan hiasan.
6) Sebelum tu, panaskan oven pada suhu 175 - 180 darjah celcius selama 10 minit.
7) Masukkan bread pizza dan bakar selama 10-15 minit @ sehingga masak.
8) Sedap dimakan ketika masih panas.


Macamana, mudah kan? Cubalah resepi bread pizza yang mudah dan ringkas ni. InsyaAllah pasti anak-anak anda sukakannya. Anda boleh mengolah resepi ini ikut kreativiti anda.

Selamat mencuba! Jumpa lagi..

>>> JOM TONTON VIDEO MOTIVASI UNTUK PARA IBU <<<



Kenapa Emak Yg Sibuk Jaga Anak Pun Mampu Buat Bisnes. from iReach HD on Vimeo.

Sunday, 5 April 2015

SEHARIAN BERSAMA MASYARAKAT DI SG. PLAN DALAM PROGRAM "BINTULU MOMMIES CHIT CHAT 2.0"

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam ceria buat semua. Didoakan semoga anda sentiasa sihat dan bahagia hendaknya.

Alhamdulillah, sepanjang hari ni telah berlangsung program bersama masyarakat terutamanya kaum ibu dan anak-anak di Sg. Plan Bintulu anjuran Nisa' Bintulu dengan kerjasama Bintulu Mama Support Group. Program yang dinamakan "Bintulu Mommies Chit Chat 2.0" telah berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program itu berlangsung adalah pertandingan mewarna kanak-kanak, ceramah kesihatan dan keibubapaan, sukaneka keluarga, demo dan pertandingan mendeko cupcakes, demo dan pertandingan menghias bento, pemeriksaan kesihatan oleh pihak Hospital Bintulu, cabutan bertuah dan sebagainya lagi. Saya turut terlibat dalam program tersebut dan dijemput oleh pihak penganjur untuk membuat demo mendeko cupcakes dan menjadi hakim kepada pertandingan tersebut.

Sepanjang berada dalam program tersebut, saya dapat rasakan suasana yang meriah dengan gelagat para peserta yang terdiri daripada anak-anak, para ibu dan kaum bapa juga. Masing-masing menunjukkan bakat tersendiri dan gembira dengan hasil yang mereka capai. Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan ukhuwwah masyarakat pelbagai kaum, tetapi juga dapat memperkenalkan Pertubuhan Nisa' dan Bintulu Mama Support Group sebagai sebuah NGO kepada masayarakat di sana. Dan saya amat bersyukur kerana turut terlibat dengan program tersebut. 

Berikut saya kongsikan gambar-gambar yang sempat diambil sepanjang program tersebut berlangsung. Semoga program sebegini akan dijalankan lagi pada masa akan datang.

Penulis sedang mendemo deko cupcakes

Antara cupcakes yang siap dideko oleh para peserta
Pertandingan bento
Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak paling mendapat sambutan

>>>> JOM TONTON VIDEO TIPS NAK JADI ORANG BERBAKAT<<<<


Cara Nak Jadi Orang Yg BERBAKAT from iReach HD on Vimeo.

Saturday, 4 April 2015

TERIMA KASIH DR. AZIZAN OSMAN

Assalamualaikum..

Entri ini sekadar ingin melahirkan rasa terharu dan terima kasih saya terhadap Mentor Kejayaan Asia #1, Dr. Azizan Osman atas kesudian beliau membaca perkongsian saya tentang pengalaman pertama saya menyertai Seminar Intensif Kekayaan dan Kejayaan pada Februari 2015 yang lalu. Atas perkongsian DAO tersebut, menyebabkan pengunjung blog ini melonjak naik dan entri mengenainya telah di kongsi oleh ribuan pengunjung blog.

Tujuan saya menulis entri tersebut hanyalah ingin melahirkan rasa hati saya tentang IMKK kendalian DAO. Saya amat-amat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana membuka hati saya dan memudahlan urusan saya ke IMKK lepas. InsyaAllah saya amat berharap untuk berada lagi dalam IMKK pada masa akan datang.

Kepada anda semua, saya amat sarankan anda menyertai IMKK kerana ia dapat merawat kolam jiwa kita yang penuh dengan keladak. Dan dapat membersihkan hati-hati kita daripada pelbagai kotoran yang menempek di sana sini. Sehingga kini, saya masih merindui suasana di IMKK.

5 ASPEK UTAMA PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK MENURUT IMAM AL-GHAZALI

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Carian Google

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Sudah agak lama rasanya saya tak berkongsi cerita di blog ini. Maklumlah kekangan tugas yang amat rencam membuatkan hasrat untuk menukilkan sesuatu di ruangan maya ini tergendala akhirnya. Alhamdulillah lewat malam ini, Allah berikan kesempatan kepada saya untuk mencoret sedikit perkongsian dengan anda semua.

Beberapa hari lepas saya dijemput untuk memberi sedikit perkongsian berkaitan pendidikan awal kanak-kanak menurut Islam. Alhamdulillah hasil pembacaan dan pengalaman yang agak terbatas yang saya miliki ini, saya telah kongsikan pada sesi tersebut dan kini ingin saya coratkan sedikit di sini untuk manfaat kita semua.

Pendidikan awal kanak-kanak adalah satu proses yang amat penting dan perlu diberi perhatian oleh para ibu bapa dan juga guru. Ini adalah kerana pada peringkat umur 0 - 6 tahun, proses pembelajaran yang berlaku terhadap anak-anak kita berjalan dengan begitu pantas. Para pakar psikologi menyatakan bahawa, separuh daripada perkembangan intelektual anak-anak berlaku pada usia 0 hingga 4 tahun manakala 1/3 lagi sempurna perkembangannya sehingga umur anak-anak mencecah 8 tahun. Ini menunjukkan bahawa peringkat awal usia anak-anak kita amatlah penting dan amat perlu diberi perhatian. Dapatan kajian terkini yang dijalankan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80-85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh 6 tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah peringkat terawal berbanding tahap-tahap lainnya.  

Image result for muslim parents and children
Didiklah anak-anak sejak dari kecil lagi

Jika kita lihat perkataan kanak-kanak dalam bahasa Arab yang disebut sebagai 'at-tiflu', yang berasal daripada perkataan 'tafula', ia membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Berdasarkan makna perkataan 'tafula' itu sendiri menunjukkan bahawa seorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat semulajadinya yang amat mudah terdedah kepada persekitaran.

Mendidik anak-anak merupakan satu kesenian yang datang dari jiwa yang halus dan kreatif. Ini bererti, sudah tentunya kesenian ini tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar serta dipenuhi dengan perasaan amarah yang yang meluap-luap. Ditambah pula yang berhadapan dengan situasi ini adalah anak kecil yang diibaratkan umpama kain putih..suci dan lembut jiwanya. Dan anak-anak ini akan mengikut apa sahaja yang mereka lihat melalui pemerhatian apa sahaja yang dilakukan oleh orang dewasa, jika tiada bimbingan yang sewajarnya.

Menurut tokoh ilmuan Islam, Imam al-Ghazali yang telah mengupas dan membicarakan isu pendidikan awal kanak-kanak dalam kitab karyanya yang agung iaiu Ihya' Ulumuddin telah mengemukakan 5 elemen asas yang perlu dititikberatkan terutamanya pada peringkat awal perkembangan anak-anak. 5 elemen tersebut adalah:

1) Qudwah (Role Model).
Ibu bapa patut menjadi role model buat anak-anak mereka. Tunjuk dan pamerkan perlakuan, percakapan, tingkah laku, adab dan segalanya yang kita zahirkan dalam kehidupan kita dengan baik. Kerana anak-anak kecil kebiasaannya akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai hero dan contoh ikutan mereka.

2) Mulahazah dan Mutaba'ah (Memerhati dan Mengikut).
Setiap masa anak-anak akan sentiasa memerhati tindak tanduk kedua ibubapa atau orang dewasa yang berada di sekeliling mereka. Daripada pemerhatian itulah, sedikit demi sedikit mereka akan mula mengikut apa yang dilakukan oleh orang dewasa terutama orang dewasa yang rapat dengan mereka seperti ibu bapa, abang kakak, guru dan sebagainya.

3) I'tiyad (Kelaziman / Kebiasaan).
Sekiranya situasi ini tidak dikawal dan diawasi, ia akan menjadi satu kelaziman bagi anak-anak yang akhirnya mereka beranggapan bahawa perbuatan orang dewasa itu adalah baik walaupun sebenarnya tidak.

4) al-Thawab wal Iqab (Reward & Punishment)
Setiap tindakan dan perlakuan anak-anak, sekiranya ia baik harus mendapat reward atau ganjaran. ganjaran boleh diberikan dalam pelbagai bentuk seperti kata-kata pujian, hadiah-hadiah tertentu dan sebagainya lagi. hadiah itu tak semestinya sesuatu yang mahal, memadai sesuatu yang dapat menaikkan semangat anak-anak untuk terus berbuat sesuatu yang baik. Dan sekiranya anak-anak melakukan kesalah, boleh dikenakan hukuman ringan atau denda yang seidkit sebanyak dapat engajar anak-anak agar tidak mengulangi kesilapan mereka.

5) Nasihat
Cara terbaik yang wajib dilakukan oleh para ibu bapa ialah sentiasa menasihati anak-anak. Bercakap dengan nada yang bersesuaian dengan usia anak kecil dan mengajar mereka dari sehari ke sehari dalam keadaan tidak formal mahupun sebaliknya. Imam al-Ghazali pernah menukilkan dalam kitabnya 'ayyuha al-aulad', jiwa hendaklah dididik dengan jiwa juga.

Demikianlah 5 elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada peringkat awal perkembangan mereka. 5 elemen asas ini dikemukakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab karangannya yang terkenal iaitu Ihya Ulumuddin. Berkenaan teknik didikan anak-anak di peringkat awal ini, Ibn Khaldun mengingatkan para pendidik termasuk ibu bapa dan para guru dalam kitabnya al-Muqaddimah: "Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik ana-anak akan memberi kesan yang buruk kepada anak-anak. Keadaan ini akan menjadikan mereka berfikiran dan mempunyai jiwa yang sempit, hilang kecerdasan, malas, terbawa-bawa kepada kepada kelakuan negatif seperti berbohong, berkelakuan jahat dan sebagainya.

Mudah-mudah artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi ilmu dan panduan buat ibu bapa dalam mendidik anak-anak kalian. Akhirnya sekali, marilah kita sama-sama menonton video ini, yang mengajar kita tentang tips untuk menguruskan anak-anak kecil sambil kita berniaga online atau melakukan kerja-kerja harian yang lain. Bagaimanakah cara untuk kita membiarkan mereka leka dalam dunia mereka tanpa mengganggu urusan dan kerja kita. Jom sama-sama kita tonton!





Tips Urus Anak Sambil Berniaga Online from iReach HD on Vimeo.