Friday, 16 May 2014

GURU PROFESION MULIA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Carian Google

Assalamualaikum..

Tiap kali tiba tarikh 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan bagi meraikan para guru di Malaysia. Sesungguhnya, profesion perguruan merupakan salah satu profesion yang mulia di sisi agama dan masyarakat.

Guru yang paling utama bagi kita ialah ibu bapa kita. Kerana apabila kita dilahirkan, mereka lah insan yang bertanggungjawab mengajar kita sejak kecil. Bahkan, sejak dlm kandungan lagi, si ibu dan ayah di sarankan agar sentiasa bercakap-cakap perkara baik kerana anak dalam kandungan turut merasai dan mendengar kata-kata ibu bapanya. Sebab itu dikatakan, sikap anak-anak adalah cerminan sikap ibu bapanya. Betapa pengaruh ajaran dan didikan ibu bapa di rumah sangat dominan terhadap diri anak-anak mereka.

Bila anak-anak mula melangkah ke alam persekolahan, orang yang turut memainkan peranan penting kepada anak-anak ialah guru. Guru sangat banyak baktinya kepada kita. Dengan didikan daripada gurulah maka kita semua dapat berjaya seperti sekarang. Oleh sebab itu, jasa dan pengorbanan seorang guru akan diingat oleh anak-anak muridnya sehingga dewasa. Dan profesion perguruan itu sendiri sangat besar pahalanya kerana ilmu yang diajarkan, sekiranya terus memberi manfaat dan dimanfaatkan oleh murid terbabit, sentiasa akan mengalir pahalanya selama mana ia memberi kebaikan kepada orang lain.

Jadi, bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada hari ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat kedua ibu bapa saya, yang telah mendidik saya sejak kecil sehingga sekarang dan kepada adik beradik saya yang kebanyakannya bertugas sebagai guru, juga kepada para guru saya sejak di Tadika Kemas Singkir Darat, Sekolah Kebangsaan Singkir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Mergong. Juga buat para pensyarah saya di Pra Akademi Islam UM Nilam Puri, Akademi Pengajian Islam UMKL, Pusat Pengajian Peradaban UMKL dan Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi. Juga buat semua individu yang bertanggungjawab memberi ilmu kepada saya sehingga saya berjaya seperti hari ini. Juga kepada para mentor saya dalam Shaklee.