Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib
Sejak kecil saya memang suka membantu ibu saya memasak di dapur. Saya suka memerhati setiap satu langkah ibu memasak dan akan bertanya itu dan ini. Sehingga pernah berlaku peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sewaktu beria-ia membantu ibu memasak suatu waktu dahulu iaitu muka saya tersimbah dengan minyak panas ketika menggoreng 'cucur' pada usia 6 tahun. Semua itu gara-gara kedegilan saya untuk membantu ibu walaupun telah ditegah beberapa kali. Parut peristiwa tersebut masih kekal sehingga kini di wajah saya.
Mungkin kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti memasak ini, suatu ketika saya pernah terfikir kalau saya tidak belajar tinggi-tinggi, pasti saya akan pergi ke kelas belajar membuat dan mendeko kek, pastry dan kelas membuat roti dan bun. Dan saya juga pernah berangan-angan Mat Jenin untuk membuka kedai kek dan roti!
Begitulah betapa obsesnya saya dengan aktiviti ini. Walaupun bekerja seharian, akan tetapi saya pasti akan merasa bertenaga jika saya melakukan aktiviti ini. Saya rasa seronok dan seolah-olah melupai sekejab masalah-masalah di pejabat dan sebagainya. Dan sememangnya, salah satu aktiviti yang dapat mengurangkan 'stress' seseorang wanita adalah dengan menjalankan aktiviti memasak. Jadi, kawan-kawan yang sentiasa rasa tertekan dengan masalah-masalah seharian, jom cuba buat aktiviti ini, memasak!
Beberapa minggu lepas, hajat saya untuk belajar membuat bun dan roti telah tercapai. Dan selepas ke kelas meroti tempohari, sudah beberapa kali saya membuat roti untuk anak-anak di rumah, kebetulan pula sejak tahun lepas saya sudah memiliki 'Noxxa Bread Maker' yang menjadikan kerja-kerja meroti saya semakin mudah. Bukan saya tidak pernah membuat roti sebelum ini, pernah, tetapi resepi dan langkah-langkahnya saya hanya dapat daripada internet sahaja. Alhamdulillah, saya merasa sangat puas apabila dapat melihat sendiri cara-cara membuat bun dengan cikgu roti saya tempohari.
Memandangkan ramai rakan-rakan yang meminta saya kongsikan resepi roti dan bun yang saya belajar bulan lepas, saya telah menghubungi Cikgu Shaziah memohon kebenaran untuk kongsikan resepi rotinya dengan kawan-kawan semua. Terima kasih cikgu atas keizinan yang diberi. Semoga ilmu meroti yang dikongsikan ini akan memberi manfaat kepada rakan-rakan semua.
Resepi Roti Manis:
375 gm tepung 'high protein @ superfine'.
125 gm tepung gandum.
150 gm gula halus (boleh kurangkan, saya guna 100-110 gm gula sahaja).
1 sudu besar susu tepung.
125 gm tang zhong** (sila lihat resepi di bawah).
25 gm shortening.
25 gm marjerin.
[Bahan bancuhan Yis]
11 gm yis (saya guna 12gm sebab dah beli peket 12gm).
1bj telur.
1/2 sudu teh garam.
1 sudu gula.
Air secukupnya (sila rujuk bhgn cara bancuhan yis).
[Bahan bancuhan 'egg wash'*]
1-2 sudu besar susu pekar @ susu cair.
1 biji kuning telur.
*bancuhan ini untuk disapu atas bun sebelum dibakar, boleh tambah susu jika bancuhan nampak pekat.
Tepung gandum 'extra' untuk.menguli doh (perlu juga walaupun menggunakan bread maker)
Marjerin untuk disapu pada roti ketika masih panas.
Langkah 1: penyediaan tang zhong (water roux)*gantikan pelembut roti.
50gm tepung gandum.
250gm air.
(Sukatan ini akan menghasilkan 250gm tang zhong dan boleh digunakan untuk doh 1 kg tepung)
- Kacau sebati kedua-duanya dalam periuk. Pastikan tiada tepung yang berketul-ketul.
- Masak atas api perlahan sehingga adunan menjadi pekat seperti gam. Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk (seeloknya semalaman) sebelum digunakan untuk mendapatkan hasil optimum (roti menjadi lembut dan gebu walaupun selepas 2 hari dibuat).
- Setiap 1/2 kg tepung hanya perlu gunakan 125gm tang zhong sahaja, lebihan tang zhong boleh disimpan dalam peti sejuk untuk dibuat doh seterusnya.
- tang zhong akan rosak selepas beberapa hari disimpan atah selepas warna bertukar kekuningan.
-adunan tang zhong ini boleh dikurangkan atau digandakan, asalkan mengikut nisbah 1:5 (dalam gram).
Langkah 2: bancuhan yis.
1. Sukat air 100ml, ketepikan (air untuk mencuci bekas bancuhan yis).
2. Pecahkan telur ke dalam bekas penyukat, tambahkan garam dan gula.
3. Tambahkan air sehingga sukatan menjadi 125ml, kacau rata sehingga gula agak larut.
4. Tambahkan yis, kacau rata dan biarkan yis mengembang sekejab.
(Pastikan bahan-bahan kering dalam Langkah 3 sudah tersedia sebelum menambah yis ke dalam bekas sukatan, jika tidak yis akan cepat mengembang dan melimpah).
Langkah 3: Doh Roti.
A. Uli dengan tangan.
1. Masukkan bahan-bahan kering (tepung, gula halus dan susu tepung)ke dalam mangkuk adunan, gaul rata bahan tersebut.
2. Buatkan satu lubang di tengah mangkuk.
3. Tuangkan bancuhan yis (dari Langkah 2) dan tang zhong (dari Langkah 1) ke tengah mangkuk dan gaul perlahan-lahan dari tengah dengan mengambil sedikit-demi sedikit tepung ke tengah mangkuk. Jangan lupa masukkan sekali air yang diguna untuk mencuci bekas bancuhan yis tadi.
4. Uli sehingga semua tepung menjadi dan tidak melekit di dinding mangkuk dan jari. Sekiranya doh masih lembut, tambahkan tepung gandum 'extra' sedikit demi sedikit.
5. Akhirnya, masukkan marjerin dan shortening ke dalam doh, uli ladi sehingga doh lembut, licin dan elastik. (10-15 minit).
B. Uli dengan mixer.
1. Masukkan semua bahan kering dalam mangkuk adunan, gaul dengan speed perlahan.
2. Tambahkan bancuhan yis, air untuk "mencuci" bekas dan tang zhong, putar perlahan hingga sebati.
3. Tambahkan kelajuan mixer ke medium setelah adunan yis dan tepung bergaul dengan agak sebati. Sekiranya doh masih lembut, tambah lebihan tepung gandum tadi.
4. Apabila doh dah terbentuk dan ridak melekat di dinding mangkuk, tambah marjerin dan shortening, putar lagi sehingga adunan sebati dan elastik.
*tips cek dok elastik: tarik tepung tidak putus.
C. Uli dengan bread maker(saya gunakan noxxa BM)
1. Masukkan bahan cair (bancuhan yis).
2. Masukkan campuran tepung.
3. Akhir sekali masukkan shortening, marjerin dan tang zhong.
*hentak bekas 3 kali sebelum masukkan dalam BM dan BM menjalankan tugasnya.
Langkah 4: Memerap doh dan membuat bun (jika uli secara manual).
1. Sediakan satu mangkuk besar dan minyakkan mangkuk tersebut di seluruh permukaannya.
2. Masukkan doh ke dalam mangkuk tersebut, letakkan juga sedikit minyak di permukaan doh.
3. Tutup dengan tuala lembab/cling film dan biarkan doh mengembang 2 kali ganda (perapan pertama).
*Anggaran masa: 1-1 1/2 jam.
*tips perap doh di rumah: boleh masukkan dalam oven.
*tips cek cukup kembang ke belum: cucuk dengan jari, doh akan naik semula/tidak berlubang.
4. Bila doh sudah kembang, tumbuk-tumbukkan doh untuk keluarkan angin.
5. Timbang doh mengikut berat yang dikehendaki (40/50/60 gm).
6. Bulatkan doh-doh kecil tersebut dan rehatkan selama 10 minit (perapan kedua) sebelum dibentuk menjadi bun.
7. Setelah siap bentukkan bun, biarkan doh mengembang sekali ganda (perapan ketiga) barulah boleh dibakar dalam oven.
8. Pastikan loyang disapu dengan marjerin dan sapukan bun dengan 'egg wash' sebelum dimasukkan ke dalam oven.
9. Sebelum itu, panaskan oven dengan api atas bawah pada suhu 170°c. Masukkan bun dan tukar api bawah sahaja, setkan masa 10-12 min. Kemudian tukar ke api atas sahaja dengan suhu 180°c selama 5-8 min.
*suhu dan masa adalah bergantung kepada jenis oven - KENALI OVEN ANDA.
10. Setelah bun masak, keluarkan dari oven dan cepat-cepat sapukan marjerin di atasnya ketika masih panas supaya bun menjadi cantik, berkilat dan lembut.
11. Biarkan bun sejuk sebelum dimasukkan dalam plastik atau bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA!