Sunday, 2 March 2014

LIBATKAN ANAK-ANAK DENGAN AKTIVITI BERMANFAAT

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Hari ini anakanda berempat, Hakim 5 tahun, Husna dan Husni 8 tahun dan juga Haziq 10 tahun menghadiri sesi 'upgrading' Taekwondo WTF yang mereka ikuti kelas dan latihannya sejak tahun lepas. Sebenarnya sudah lama anak-anak saya memohon kebenaran untuk menyertai kelas taekwondo pada hujung minggu bagi mengisi masa terluang mereka. Akan tetapi, akibat kesibukan saya dan suami asyik menangguhkan hasrat untuk bertemu dengan pemilik kelas taekwondo di Bintulu ini.

Alhamdulillah, akhirnya hajat anak-anak saya tercapai tahun lepas di mana pada ketika itu Hakim berusia 4 tahun membolehkannya turut serta menghadiri kelas taekwondo tersebut bersama abang-abang serta kakaknya. Sepanjang tahun lepas mereka telah menyertai beberapa sesi 'upgrading' dan beberapa siri pertandingan taekwondo peringkat bahagian Bintulu dan peringkat negeri Sarawak. Dalam setiap pertandingan tersebut, alhamdulillah pasti ada pingat yang mereka menangi.

Pada hari ini, sesi 'upgrading' ini melibatkan Hakim untuk betukar ke tali pinggang hijau belang biru dan abang dan kakaknya bertukar ke tali pinggang biru. Melihatkan semangat dan kesungguhan mereka menghadiri latihan tanpa ada rasa penat atau mengeluh, hati keibuan saya rasa amat bahagia dan gembira.

Antara kebaikan atau faedah yang saya lihat pada diri anak-anak saya selepas menghadiri kelas taekwondo ini, mereka dapat belajar untuk berifikiran positif, berani, rajin, berdisiplin, pandai membawa diri dalam kelompok kawan-kawan baru, pandai berkawan, berani dan yakin untuk berhadapan dengan orang ramai dan banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini. Selain dapat mengisi masa terluang mereka dan mereka pula menyukainya. Tetapi ingin saya kongsikan di sini, jika anak-anak tidak menyukai sesuatu perkara, tidak perlu kita memaksa mereka untuk melakukannya. Keadaan ini hanya akan menjadikan mereka 'moody' atau merasa tidak dihargai atau tidak punya kebebasan untuk memilih. Sebagai ibu bapa kita boleh memberikan peranan kepada anak-anak untuk memilih tetapi mesti di bawah pengawasan kita.

Anakanda Husna dan Haziq bersama rakan-rakan.
Hakim dan pelajar lain ketika sesi 'upgrading'.
Hakim sedang menunggu giliran.
Anakanda Haziq, Husna dan Husni semasa sesi 'upgrading' petang tadi.