Friday 17 April 2015

TIPS MENAIKI PESAWAT DENGAN ANAK-ANAK KECIL

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Saat saya mula menulis entri ni, kami sekeluarga sedang bercuti-cuti Malaysia di Johor Bharu, Malaysia. Memang dah lama plan nak bawa anak-anak ke Legoland, alhamdulillah cuti sekolah kali ni Allah beri keizinan buat kami untuk sampai sini. Anak-anak sangat excited bila dapat tahu mereka akan ke Legoland cuti sekolah kali ni. Memandangkan cuti sekolah bulan 12 tahun lepas anak-anak kami hantar ke pondok (mengaji dan menghafaz al-Quran) jadi kali ni kami suami iseri berjanji akan bawa mereka jalan-jalan pada cuti sek bulan Mac.

Pengangkutan udara sebenarnya memang sesuatu yang biasa bagi kami sekeluarga. Memandangkan inilah satu-satunya pengangkutan yang boleh kami naiki untuk pulang ke kampung halaman di Kedah, sekurang-kurangnya setahun dua kali memang kami akan naik pesawat dari Bintulu ke KL dan dari KL ke Alor Setar. Sejak anak-anak baru lahir mereka dah biasa naik kapal terbang. Dan saya sendiri sejak anak seorang hinggalah sekarang anak  5 dan tak lama lagi bakal lahir anak keenam. Usia anak-anak saya kini adalah antara 11 tahun hingga 2 tahun 9 bulan. Mungkin disebabkan kebiasaan ini, jadi tak berlaku sebarang masalah sepanjang perjalanan kami terutamanya ketika berada dalam pesawat.

Walau bagaimanapun, ingin saya kongsikan beberapa tips yang mungkin anda boleh ikuti terutamanya bagi mereka yang pertama kali ingin travel menggunakan kapal terbang. Cumanya, perjalanan kami dengan anak-anak hanyalah dalam negara yang memakan masa 2 jam 5 minit untuk destinasi KL-Bintulu. Berikut adalah beberapa tips yang boleh saya kongsikan untuk mengurangkan 'kebosanan' atau mengelakkan mereka daripada 'buat perangai' dan sebagainya sewaktu dalam pesawat.

  • Sebolehnya elakkan anak-anak tidur sebelum ke lapangan terbang atau sebelum menaiki pesawat. Kebiasaannya saya dan suami akan biarkan anak-anak leka bermain bagi mengelakkan mereka tidur terutamanya ketika 'masa' tidur mereka seperti waktu tengahari. Ini adalah kerana, bila mereka berasa agak letih dan mengantuk, pastinya setelah naik pesawat mereka akan terus tidur. Jadi ia dapat mengelakkan mereka dari 'membuat perangai' sewaktu dalam pesawat. Anak kecil saya sekarang iaitu Hanis yang berusia 2 tahun 9 bulan, selalunya bila naik je pesawat, selepas 30 minit pertama dia pasti akan tidur dan selalunya dia hanya akan bangun apabila pesawat mendarat.
  • Pilih menu makanan untuk kanak-kanak sewaktu menempah tiket. Kebiasannya menu untuk kanak-kanak ini hanya disediakan untuk perjalanan yang memakan masa 2 jam atau 1 jam 50 minit ke atas jika menaiki MAS. Jika penerbangan hanya 1 jam, makanan tidak disediakan. Hanya minuman dan makan ringan sahaja seperti kacang. Bila kita memilih menu kanak-kanak, sekurang-kurangnya mereka akan leka dengan makanan tersebut. Dan kotak makanan itu juga boleh dijadikan model kapal terbang untuk menceriakan mereka.
Gelagat Hanis waktu dalam pesawat. Menyanyi lagu kesukaannya..
  • Biarkan anak-anak membawa apa-apa permainan, buku dan sebagainya supaya mereka dapat bermain ketika dalam pesawat. Anak-anak saya biasanya akan membawa buku atau 'game' yang boleh mereka  baca atau main bagi mengisi masa sewaktu berada dalam pesawat sepanjang perjalanan. Bagi anak-anak kecil, mungkin kita sebagai ibu boleh bacakan kepada mereka buku cerita atau lain-lainnya.
  • Boleh juga bawa makanan (biskut dan sebagainya) dan minuman kegemaran anak-anak. Jika mereka mula meragam, terutamanya anak-anak bawah 2 tahun, boleh kita berikan mereka makanan atau minuman yang mereka sukai.
  • Susukan anak jika anak masih menyusu badan. Sewaktu anak-anak saya masih kecil, jika anak mula nak menangis, saya akan terus susukan mereka. Bagi ibu yang menyusu secara eksklusif, cara ini amat mudah sekali untuk menidurkan anak dan mengelakkan mereka daripada terus menangis dan sebagainya.
  • Ajak anak bersembang-sembang atau bercerita. Jika anak-anak tidak mahu makan atau bermain, cuba ajak mereka bersembang atau bercerita apa sahaja dengan mereka. Ini salah satu tips lagi yang dapat melekakan mereka dan mengelakkan mereka bosan sewaktu berada dalam pesawat.

Kak Ngah Husna leka munlis diarinya..
Demikianlah beberapa tips yang boleh saya kongsikan dengan anda terutamanya bagi mereka yang pertama kali menaiki pesawat. Walau apapun keadaan anak-anak kita, elakkan daripada memarahi mereka jika mereka mula 'buat perangai' kerana itu hanya akan menjadikan mereka lebih agresif. Sebolehnya turutkan saja permintaan mereka terutama bagi anak-anak yang masih kecil (2 tahun ke bawah) kerana mereka masih tidak faham apa-apa. Usah risaukan penumpang lain tetapi cuba elakkan anak-anak daripada 'mengamuk' keterlauan dengan memujuk mereka dengan cara yang baik.

Selamat tiba di KLIA

Dan bagi anda dan kita semua yang menaiki pesawat tanpa anak-ana kecil, usahlah terlalu memandang sinis pada ibu bapa yang membawa anak-anak jika anak-anak itu menangis atau 'buat hal'. Sama-samalah kita memahami situasi kanak-kanak yang sememangnya tidak dijangkakan,

Sekian saja coretan saya kali ini. Semoga bertemu lagi di lain waktu.