Saturday, 27 September 2014

RESEPI PAU INTI KRIM MENTEGA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum semua. Didoakan semoga anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah. Kali ini saya ingin kongsikan resepi pau yang saya sering sediakan untuk anak-anak. Resepi ini hasil olahan dan 'try and error' daripada pelbagai resepi yang sedia ada.

Sebelum ini saya selalu juga sediakan pau untuk anak-anak, kadang-kadang saya menggunakan resepi yang berbeza-beza untuk melihat hasil mana yang terbaik. Malam kelmarin saya dah buat satu adunan dan malam tadi pula, anak-anak minta saya sediakan pau macam malam kelmarin lagi. Anak sulung saya yang paling beria-ia minta ummi buatkan. Selalunya saya bila masak sesuatu, saya kerap main agak-agak je sukatannya..kecuali kalau buat kek memang kena ikut sukatan yang betul. Jadi, untuk resepi pau ini, saya cuba ikut sukatan cawan. Harap anda semua akan dapat idea dari resepi pau saya ini.


BAHAN-BAHAN DOH


  • 500gm Tepung Pau (jika inginkan pau yang putih). Boleh juga gunakan tepung gandum @ tepung serbaguna. Malam tadi saya hanya gunakan tepung gandum. Sebab itu warnanya kurang cantik.
  • 200ml air suam-suam sejuk (lebihkan 50 ml untuk ditambah dalam adunan jika adunan agak keras)
  • 3 sudu besar gula pasir.
  • Secubit garam.
  • 2 sudu besar yis Mauripan (atau jenama lain pun boleh). Jika anda membeli tepung pau dalam kotak, memang dah disertakan 1 peket yis.
  • 1/3 cawan minyak sayuran atau minyak masak.
  • 25 gram shortening
  • 2 sudu besar double action baking powder @ baking powder biasa. (Jika tak nak masukkan baking power pun boleh, malam tadi saya tak masukkan baking powder ni)
  • Sedikit tepung untuk menguli.
  • Kertas minyak atau daun pisang untuk alas pau.

Antara jenama yis yang biasa saya guna selain Mauripan

BAHAN-BAHAN INTI KRIM MENTEGA


  • 4 sudu besar gula pasir @ gula kastor lagi bagus.
  • 2 1/2 sudu besar mentega (saya guna mentega dalam tin).
  • 2 1/2 sudu besar tepung gandum (tepung ini anda boleh kurangkan atau tambah ikut kepekatan inti yang anda kehendaki. 


Langkah Demi Langkah Penyediaan Pau

CARA CARA MEMBUATNYA


  • Masukkan air suam-suam sejuk (jangan suam-suam panas) dalam bekas yang ada ruang untuk yis mengembang. Masukkan gula dan kacau sebati.
  • Masukkan yis dan kacau lagi. Tutup bekas dan biarkan seketika (5-10 minit). Masa ni lepas 5 minit cuba tengok yis dah naik atau belum. Jika dah naik, buka menutup bekas dan boleh mulakan langkah seterusnya.
  • Satukan tepung, garam dan baking powder (jika ada) dalam bekas untuk menguli. Petua untuk mudah menguli doh jika guna tangan, jika anda mempunyai tupperware "serving serve" seperti dalam gambar 1 di atas, lagi memudahkan kerja-kerja menguli anda kerana ia mempunyai biji-biji pada bahagian bawah yang membantu mempercepatkan kerja menguli.
  • Tuangkan adunan air, gula dan yis (cara 1 di atas) ke dalam bekas berisi tepung tadi. Masukkan minyak dan uli doh sehingga sebati, akhir sekali masukkan shortening dan uli lagi sehingga menjadi seperti dalam langkah 1 dalam gambar. Jika lembut atau keras adunan tu, boleh tambah air atau tepung. Biarkan seketika. Sementara itu, potong kertas minyak @ daun pisang untuk alas pau.
  • Bulat-bulatkan doh seperti langkah kedua dalam gambar sehingga habis. Sementara itu, bahan-bahan untuk inti krim mentega tadi, masukkan dalam bekas dan adun menggunakan sudu sahaja hingga sebati. Anda juga boleh gunakan lain-lain inti seperti kaya atau kacang.
  • Leperkan doh yang dibulatkan tadi, masukkan inti dan tutup serta bulatkan kembali doh itu. Alaskan dengan kertas minyak atau daun pisang. Terus masukkan dalam loyang pengukus. Dah penuh satu loyang, tutup loyang untuk rehatkan doh  selama lebih kurang 10 minit atau sehingga doh mengembang agak besar.
  • Sementara itu air kukusan dipanaskan. Masukkan doh pau yang sudah mengembang tadi dan kukuslah selama 12-15 minit. Tips untuk elakkan air kukusan menitis atas pau yang sudah masak, balut penutup periuk kukus dengan kain. 
Pau ini sedap dimakan ketika panas. Untuk resepi yang saya sediakan malam tadi, walaupun sejuk, paunya masih lembut. Semoga perkongsian resepi ini dapat membantu ibu-ibu semuanya menyediakan menu air tangan sendiri untuk suami dan anak-anak. 

Sehingga bertemu lagi..SELAMAT MENCUBA!