Ada segelintir manusia yang
sering mengeluh dan menyalahkan takdir apabila ditimpa sesuatu musibah atau
ujian dalam hidup mereka. Manusia sebegini sering menyalahkan orang lain
walaupun hakikatnya diri mereka sendiri tiada inisiatif, usaha atau ikhtiar
untuk memperbaiki keadaan. Contohnya jika mereka ditimpa kemiskinan, tiada
usaha yang mereka lakukan untuk mengatasi kemiskinan tersebut. Mereka lebih
suka merintih dan menyalahkan takdir kenapa mereka dilahirkan demikian. Manusia
sebegini lebih suka meminta-minta daripada orang lain, bahkan ada juga yang
hanya duduk menunggu bantuan tiba.
sumber: carian google |
Begitu juga keadaannya jika
seseorang itu diberi ujian oleh Allah dengan penyakit yang sukar untuk sembuh
seperti kanser, SLE, leukemia dan seumpamannya. Bagi mereka yang tiada
semangat, mereka mungkin hanya duduk terbaring dan merintih dengan keadaan yang
mereka alami. Hanya menunggu dan terus menunggu takdir dan berdoa memohon
kesembuhan daripada Allah, tanpa sebarang usaha untuk berubat kerana kononnya
penyakit ini tiada ubatnya. Tak perlu bersusah payah kerana akhirnya akan
‘sampai ajal’ juga.
Konsep dan fahaman sebegini
adalah salah sebenarnya di sisi Islam. Pepatah Arab ada menyebut “man jadda wa jada” yang bermaksud
sesiapa yang bersungguh-sungguh (yakni berusaha) pasti akan dapat. Dalam satu
hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “..ikatlah untamu,
kemudian bertawakkallah..”. “Ikatlah untamu” dalam hadis ini membawa maksud
bahawa kita mestilah berusaha atau melakukan sesuatu sebelum bertawakkal atau
menyerah kepada Allah.
Dalam al-Quran, ada
merakamkan kisah tentang Nabi Ayyub yang diuji oleh Allah dengan penyakit
kronik yang terlalu lama sehingga menjangkau 100 tahun. Menurut kitab Durratun
Nasihin menceritakan bagaimana Nabi Ayyub adalah seorang kaya yang pemurah,
dikurniakan rezeki dan zuriat yang ramai. Dalam masa yang sama baginda sentiasa
mensyukuri nikmat Allah. Namun, Allah telah menguji kesabaran Nabi Ayyub
apabila hartanya habis dibakar oleh iblis, kemudian baginda menderita pula
penyakit kronik sehingga masyarakat sekeliling termasuk isteri dan ahli
keluarga baginda sendiri menjauhi dan meninggalkannya. Nabi Ayyub berusaha
mengubati penyakitnya dengan pelbagai ikhtiar namun masih tiada bertemu
penawarnya.
Salinan buku HT3S |
Sehinggalah pada suatu hari
baginda berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah
sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani..”,
surah al-Anbiya ayat 83. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hambaNya.
Allah memakbulkan permintaan Nabi Ayyub dan tidak membiarkan nabi-Nya menderita
lagi. Allah memerintahkan Nabi Ayyub supaya menghentakkan kaki ke tanah lalu
keluarlah air yang sejuk dan dingin sebagai penawar kepada penyakit yang
baginda alami. Kisah ini ada dirakamkan dalam surah al-Anbiya ayat 84. Dengan
izin Allah, penyakit Nabi Ayyub telah pulih bahkan baginda dilimpahkan rezeki
yang berlipat ganda, ahli keluarga dan masyarakat turut kembali kepada baginda.
Daripada kisah Nabi Ayyub
ni, menyaksikan kepada kita bagaimana seorang nabi pun turut melakukan usaha
dan ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit dengan pelbagai cara walaupun pada
hakikatnya, baginda boleh saja duduk berdoa sepanjang masa memohon bantuan
daripada Allah. Dan analogi daripada perintah Allah yang meminta baginda
menghentak kaki ke tanah adalah satu usaha juga untuk mencari penawar kepada penyakit
yang baginda alami.
Namun begitu, harus saya
tekankan di sini bahawa sebagai umat Islam kita hendaklah bergantung kepada
Allah 100% tanpa ada rasa ragu-ragu. Mohon dan berdoalah kepada Allah secara
berterusan dan istiqamah sama ada pada waktu senang mahupun susah. Hadis
riwayat Hakim ada menyebut: “Ingatlah Allah di waktu senangmu, maka Allah akan
mengingatimu ketika susah..” Jangan pula kita terus melupakan peranan Allah
sebagai Yang Maha Menyembuhkan tatkala ditimpa kesakitan, tanpa memohon secebis
doa pun daripada-Nya. Sehinggalah saat kritikal baru kita nak mengingati Allah
seolah-olah kita membelakangi kekuasaan-Nya. Sewajarnya, memohon, berdoa dan
ingatlah Allah terlebih dahulu sebelum kita melakukan sebarang usaha dan
ikhtiar dan setelah itu berdoalah lagi dan lagi sehingga akhirnya kita berserah
dan bertawakkal kepada Allah Azza Wa Jalla.
Untuk dapatkan buku ini, boleh hubungi akak 013.4517098 |
Kesimpulannya, sebagai umat
Islam beberapa perkara berikut perlu kita amalkan dalam kehidupan kita tatkala
ditimpa ujian mahupun musibah:
1)
Meletakkan
pergantungan sepenuhnya kepada Allah.
2)
Sentiasa
mengingati Allah dan berdoa kepadaNya SEBELUM dan SESUDAH berusaha atau
berikhtiar.
3)
Sentiasa
SABAR dan REDHA dengan ketentuan Allah.
4)
Melakukan
USAHA dan IKHTIAR dengan YAKIN, JUJUR dan IKHLAS.
5)
Sentiasa
BERSYUKUR atas apa sahaja hasil atau keputusan yang diperoleh.
6)
Sentiasa
MUHASABAH diri sendiri, tanpa menyalahkan orang lain, menyalahkan takdir atau
bersangka buruk dengan Allah dan manusia lainnya.
Wallahua’lam
bissawab.
Ditulis Oleh:
Dr. Najihah binti Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan
Jabatan Kenegaraan dan Peradaban
Pusat Pendidikan Asas dan Liberal
Universiti Malaysia Terengganu.
Nota kaki: Artikel ini telah disiarkan dalam buku Himpunan Testimoni Supermom Shaklee Story yang diusahakan oleh Group Shaklee Supermom.