Sunday, 30 August 2015

Menghadiri Kelas Jahitan di Bintulu

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamulaikum...alhamdulillah dan syukur atas kesempatan masa yang diberi oleh Allah untuk saya menulis lagi di ruangan ini.

Hujung minggu ini saya berkesempatan menghadiri kelas jahitan selama satu setengah hari bermula petang Sabtu dan berakhir petang Ahad. Sebenarnya sudah lama saya menanam impian untuk menghadiri kelas menjahit dan belajar dengan seorang guru tentang ilmu jahitan ini. Tapi kalau ada pun di kampung halaman memang tak sempat nak belajar sebab baliknya sekejab-sekejab.

Minggu lepas ada rakan dalam group wassap beritahu tentang Kelas Jahitan Bintulu (KJB) ni. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya pun menghubungi no telefon yang tertera di fb page KJB ini. Setelah berbalas mesej selama 2 hari dan dengan izin suami saya pun mengambil keputusan untuk join kelas jahitan ini.

Terdapat beberapa modul yang disediakan iaitu Modul Baju Kurung, Baju Kurung Pahang, Baju Kurung Moden, Jubah A Cut, Jubah Empire Cut dan Jubah Princess. Menurut guru kelas jahitan ini iaitu Pn. Norhamizah, kelas jahitan ini baru je beliau mulakan pada awal Ogos yang lalu. Setiap modul mengambil masa satu setengah hari untuk disiapkan dan yurannya adalah berbeza bagi setiap modul. Kiranya ini adalah kelas ringkas atau pendek untuk siapkan jenis baju berdasarkan modul yang dipilih.

Buat masa sekarang, Puan Nor Hamizah hanya dapat mengambil dua orang pelajar setiap minggu. Pada kelas kelmarin dan hari ini, saya belajar membuat jubah princess manakala seorang lagi pelajar yang belajar dengan saya minggu ini mengambil modul Kurung Pahang.

Alhamdulillah selesai juga kelas jahitan pendek yang telah saya sertai minggu ini. Sesiapa yang berminat boleh hubungi Puan Nor Hamizah di talian 013-5725238 atau terus ke fb page Kelas Jahitan Bintulu.

Berikut saya kongsikan gambar-gambar yang sempat diambil waktu saya menghadiri kelas jahitan tersebut. Sehingga bertemu lagi. 

Wassalam.


Rakan sekelas..hehe

Bawa baby Huda bersama..

Tekun menjahit


Dah siap Jubah Princess saya..ada zip 2 untuk nursing

Cantik tak?

Sunday, 23 August 2015

Tamat Sudah Cuti Bersalin 3 Bulan

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum.

Esok saya akan memulakan tugas setelah bercuti 3 bulan selepas melahirkan anak ke-6 yang diberi nama Nurul Huda Imaani, pada 25 Mei yang lalu. Pelbagai perasaan yang menyelubungi lubuk hati ini..macam-macam perkara yang difikirkan terutamanya keadaan Huda yang bakal ditinggalkan di rumah pengasuh mulai esok. Alhamdulillah juga saya sudah mula menghantar anak ke-5 saya (Nurul Hanis Sofiyya) yang berusia 3 tahun ke taska sejak awal Ogos memandangkan sepanjang saya berpantang Hanis setia menemani saya di rumah. Bukannya apa, risau juga lama-lama tinggal degan ummi, taknak pula dia ke taska. Tapi, masa saya hantarnya ke taska awal Ogos lalu, bagus pula dia. Tak menangis pun waktu ditinggalkan ummi.

Hanis & Huda
Bab kakak dah selesai, sekarang ni risaukan adik. Maklumlah tak pernah lagi tinggalkan dengan orang lain, susu pun pernah sekali dua je beri susu perahan dalam botol sebab nak cuba puting susu serasi tak dengan Huda. Alhamdulillah setelah 4 kali bertukar botol dan puting akhirnya Huda serasi dengan botol dan puting susu MAM. Dan sebagai persediaan, saya sudah mengepam susu ibu sebagai stok untuk Huda sejak sebulan berpantang lagi. Kerana saya berazam untuk menyusukan Huda dengan susu ibu sehingga berusia 2 tahun, sebagaimana kakak dan abangnya sebelum ini.

Walaupun berpantang bersendirian setelah seminggu lebih dijaga mak dan mak mertua, alhamdulillah proses berpantang saya berjalan dengan lancar. Badan pun rasa cepat sihat dan luka akibat pembedahan cepat sembuh. Setelah mak dan mak mertua pulang, saya mula memasak dan membuat kerja-kerja ringan dengan bantuan suami dan anak-anak. Sementelaah pula berpantang dalam bulan puasa, kena lah masak juadah untuk suami dan anak-anak berbuka dan bersahur. Tapi saya sangat bersyukur kerana suami terutamanya amat membantu saya dalam melakukan kerja-kerja rumah dan uruskan hal anak-anak.

Berpantang kali ini, saya masih setia mengamalkan Set Berpantang Shaklee sebagaimana ketika berpantangkan Hanis dulu. Begitu juga dengan Set Kehamilan. Alhamdulillah vitamin-vitamin Shaklee amat serasi dengan saya. Maklumlah saya ni dah banyak kali bersalin dan pernah merasa berpantang dengan set berpatang lain tapi Shaklee memang terbaik. Luka saya cepat sembuh dan badan terasa sihat serta susu ibu pun banyak. Sehinggakan ramai kawan-kawan tidak percaya bahawa saya ni bersalin secara pembedahan. Kepada ibu-ibu yang bakal hamil dan melahirkan, saya sangat sarankan anda mengambil Set Kehamilan dan Berpantang Shaklee. Jika nak tahu lebih lanjut, anda boleh hubungi saya di talian 013-4517098.

Nurul Huda Imaani

Saya amat berharap Huda akan baik-baik saja dan serasi dengan pengasuh serta botol susu yang akan diberikan padanya esok. Sungguhpun begitu, saya taklah terlalu risau sangat sebab rumah pengasuh masih dalam kawasan kampus UPM Bintulu, jadi jika ada apa-apa kecemasan saya dapat bersegera ke sana. Memang inilah antara dilema ibu-ibu bekerjaya setelah habis tempoh berpantang kan? Namun, walaupun apa pun, kita mesti kuat dan banyakkan berdoa semoga Allah memelihara anak dan ahli keluarga kita dalam pada kita sedang bekerja demi mencari rezeki yang halal.

Sekian dulu perkongsian saya kali ini. Sehingga bertemu lagi. Wassalam. 

Cara Membuat Karipap Pusing Rangup dan Sedap Langkah Demi Langkah

Foto: Najihah Abdul Mutalib
Teks: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum. Didoakan semoga anda semua berada dalam rahmat Allah.

Saya pernah beberapa kali cuba buat karipap pusing tapi tak menjadi. Beberapa tahun dulu saya ada tengok kawan buat kat rumah dia dan tunjukkan caranya tapi resepi dia main agak-agak saja. Dan bila saya balik buat kat rumah tak menjadi pula. Rasa masa tengok tu macam senang dah. 

Lepas tu saya ada buat lagi, saya tak ingat mana saya ambik resepinya. Pun masih tak menjadi karipap pusing saya. Alhamdulillah, beberapa hari lepas saya terasa nak buat lagi karipap pusing. Kali ni memang bertekad kalau buat mesti jadi. Saya pun google resepi karipap pusing ni. Memang jumpa banyak blog yang kongsikan resepi ni tapi saya ambik resepi di blog Azlita Masam Manis. Alhamdulillah menjadi juga akhirnya. Ok, ini saya kongsikan resepi dan langkah membuatnya ya.

Bahan-bahan Inti:

Inti Sardin (Ini resepi saya - anda boleh buat apa-apa inti ya)

1 biji bawang besar (dipotong dadu)

2 biji kentang (di potong dadu)

1 sudu cili kering kisar (kalau tak nak pedas tak letak pun ok)

Sedikit sos cili thai atau sos cili biasa

1 tin kecil Sardin 

Gula/garam secukup rasa

Sedikit air dan minyak 


Cara Membuat Inti:

1) Panaskan minyak, tumis bawang besar dan kacau seketika.

2) Kemudian masukkan kentang yang dipotong dadu, kacau seketika.

3) Masukkan pula cili kering yang dah dikisar bersama sos cili dan kacau lagi.

4) Seterusnya masukkan sedikit sahaja air, kacau dan biarkan merenih seketika. Tujuannya adalah untuk melembutkan sedikit kentang tadi.

5) Masukkan sardin yang telah dilenyekkan ikannya, bersama gula dan garam secukup rasa.

6) Kacau dan biarkan seketika sebelum dimatikan api. pastikan air jangan terlalu banyak sebab nanti berair pula inti karipap ni.


Bahan-Bahan Doh:

Doh A:

1 cawan tepung gandum

1 sudu besar tepung jagung

2 sudu besar shortening

2 sudu besar margerin

Doh A

Caranya:

Satukan semua bahan untuk doh A dalam satu bekas. Adun sebati sehingga menjadi seperti dalam gambar. Bahagikan doh kepada 4 bahagian yang sama banyak. Boleh gunakan penimbang jika nakkan sukatan yang sama dan bulatkan doh A tersebut.


Doh B:

2 cawan tepung gandum

1/4 cawan minyak jagung (minyak biasa pun boleh)

Garam secukup rasa (1 sudu kecil je)

1/2 - 1 cawan air (saya guna dalam 1/2 cawan je), tuang sikit-sikit waktu nak adun doh.

Doh B


Caranya:

Masukkan tepung ke dalam bekas yang tahan panas. Buatkan lubang di tengah-tengah seperti dalam gambar. Panaskan minyak tadi, setelah panas tuang ke dalam bekas berisi tepung tadi di bahagian tengah yang di lubangkan. AWAS SEWAKTU MENGANGKAT DAN MENUANG MINYAK SEBAB IA PANAS. Gaul adunan dengan menggunakan senduk hingga sebati dan rata. Kemudian gunakan tangan dan gaul lagi hingga menjadi seperti serbuk roti. 

Sementara itu, sebatikan garam dalam air, tuangkan air sedikit dahulu ke dalam campuran tepung dan minyak tadi. Uli kesemuanya hingga tidak melekat di tangan. Kemudian bahagikan adunan kepada 4 bahagian yang sama banyak.

Cara satukan doh A dan doh B

CARA MEMBENTUK KARIPAP PUSING:

Ambil 1 bahagian Doh B, canai dan leperkan.Kemudian ambil 1 bahagian doh A dan letakkan di bahagian tengahnya. Bungkus dan kemaskan biar jadi bulat seperti dalam gambar di atas. Ulang langkah ini sehingga habis 4 bahagian doh tadi.



Ambil 1 bahagian doh yang dah disatukan tadi, canai dengan ketebalan sederhana kemudian gulung membentuk seperti silinder (seperti dalam gambar). Kemudian canai lagi dengan ketebalan sederhana juga dan gulung lagi seperti dalam gambar. Ulang langkah ini sehingga habis 4 doh. Rehatkan doh selama 10-15 minit untuk sebatikan ia.



Ambil 1 bahagian doh yang berbentuk silinder tadi, potong kepada 6 bahagian. Ambil sekeping doh yang dah dipotong tadi, canaikan tetapi jangan terlampau nipis jangan terlalu tebal. Kalau nipis susah nak kendalikan doh waktu nak masukkan inti dan kelim dan jika tebal sangat tajut tak masak tenagh pula nanti. Masukkan inti dan tutup kemudian kelim tepinya dengan kemas. Ulang lah proses ini sehingga habis doh anda.

Panaskan minyak, pastikan minyak betul-betul panas dan api jangan terlampau besar. Jika api besar dikuatiri karipap cepat sangat hangit kulitnya tetapi bahagian dalam belum masak. Jika api terlalu kecil dan minyak belum panas, karipap akan 'makan minyak' pula nanti. Bila dah keperangan warnanya, angkat dan toskan minyaknya.

Inilah hasilnya..


Jika tidak mahu digoreng lagi, masukkan ke dalam bekas susun karipap anda. Lapiskan dengan plastik dan susun sehingga habis. Boleh simpan terus dalam peti sejuk, keluarkan esoknya dan terus goreng.

Karipap ini sangat rangup dan sedap walau ketika dah sejuk. Anda mesti cuba buat, anak-anak saya sangat sukakannya. Semoga perkongsian resepi ini bermanfaat untuk puan-puan. Selamat mencuba ya! Jumpa lagi..





Friday, 21 August 2015

Majlis Tahnik Sempena MABIC 2015

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk menulis lagi di ruangan ini.

Pada Ahad lepas, telah diadakan Majlis Mahabbah Aidilfitri Bintulu Iqra Centre (MABIC) di Masjid Darul Hidayah, Kidurong, Bintulu. Ia diadakan setiap tahun bagi mendekatkan masyarakat dengan aktiviti BIC, sebuah NGO yang menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan keagamaan. Pelbagai jenis makanan disediakan oleh para AJK untuk dihidangkan kepada para pengunjung.

Pada majlis itu juga, para pelajar Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Bintulu (SRIITIZ) telah membuat beberapa persembahan untuk para tetamu yang hadir. Antaranya persembahan hafazan dan nasyid. Turut mengadakan persembahan ialah para pelajar Institut Tahfiz Bintulu (ITB) yang menyampai qasidah.

Dalam kesempatan itu juga, pihak AJK MABIC turut mengadakan Majlis Tahnik terbuka kepada semua anak-anak kecil yang berminat. Ia diadakan sempena kehadiran Dato' Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Rosli Jabar (Mudir Maahad Tahfiz di Pahang) yang kebetulan mempunyai aturcara dan program di Bintulu. Tahnik juga disebut sebagai 'belah mulut', "basahkan mulut" @ "maniskan mulut" disunatkan dibuat pada hari ke7 anak itu lahir. Ia dijalankan dengan menggunakan kurma dan air zam zam yang disuap sedikit ke mulut bayi. Mudah-mudahan anak-anak yang telibat akan menjadi seorang insan yang soleh dan solehah suatu hari nanti.

Berikut adalah gambar-gambar sewaktu Huda ditahnik oleh Tuan Guru TITM untuk dikongsikan dengan anda semua.



Sekian dulu coretan ringkas dari saya. Sehingga berjumpa lagi..

Wednesday, 19 August 2015

Resepi Cucur Makaroni Dengan Bebola Ayam

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Didoakan semoga anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Kadang-kadang sebagai ibu pasti kita sering terfikir apakah menu yang akan kita masak untuk suami dan anak setiap hari kan? Risau kalau-kalau orang-orang yang kita sayangi ni merasa bosan pula asyik makan masakan yang sama je..macam tu juga dengan saya. Hari-hari otak mesti berfikir nak masak apa. Sebab tu orang cakap ibu ni kena kreatif waktu di dapur. Kreatif mengolah resepi sedia ada menjadi sesuatu yang berlainan tapi sedap.

Pada suatu petang, disebabkan ligatnya otak berfikir pasal menu untuk minum petang, maka terhasillah cucur makaroni dengan bebola ayam ini. Kebetulan baki makaroni yang siap direbus hari sebelumnya masih elok tersimpan dalam peti sejuk dan bila dibelek-belek, ada pula bebola ayam dalam deep freezer. Bila dah digoreng, sedap pula rasanya. Ok, jom saya kongsikan resepinya.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
2 cawan makaroni (siap rebus)
Air secukupnya (boleh dimasukkan sedikit demi sedikit)
1 biji telur
Sayur kuchai/carrot/daun bawang (apa-apa sayur ikut kegemaran anda)
Beberapa ketul bebola ayam (dipotong dadu @ mengikut kesukaan anda.
Garam secukup rasa.

Cara membuatnya:
1) Campurkan kesemua bahan tadi, gaul hingga sebati. Anggaran adunan seperti nak buat cucur udang/jemput pisang. Jangan terlampau lembik ya.
2) Dengan menggunakan sudu, gorengkan cucur dalam minyak yang panas sehingga masak.
3) Hidangkan ketika panas dan boleh dimakan bersama sos cili.

Nampak macam tak ada beza dengan cucur udangkan? Senang je nak buat..puan-puan semua mesti cuba untuk nampakkan kelainan. Bukan apa, kadang-kadang ada baki makaroni atau seumpamanya tu jangan dibuang pula. Rasanya memang umphh la! Selamat mencuba ya.

Ok jumpa lagi..


Thursday, 13 August 2015

Resepi dan Langkah Demi Langkah Membuat Home-Made Kuey Teow

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam bahagia buat semua. Didoakan semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dalam menjalani kehidupan seharian.

Kali ni saya nak kongsikan resepi dan cara langkah demi langkah membuat kuey teow sendiri di rumah. Saya pun sebenarnya dah lama terfikir nak buat kuey teow sendiri kat rumah sebab anak-anak suka makan masakan berasaskan kuey teow terutamanya kuey teow sup. Kalau balik kampung mesti saya beli kuey teow dan buatkan untuk anak-anak kuey teow sup. Tapi di Bintulu ni saya tak pernah beli kuey teow yang dijual di supermaket sebab kurang yakin dengan kehalalannya. Cuma baru-baru ni ada la akak yang saya kenal kat sini mula buat home-made kuey teow dan menjualnya di kedai runcit yang agak jauh dari rumah saya. Rasanya baru sekali saya pernah beli kuey teow akak tu, itu pun suami yang tempah terusnya dengannya.

Nak dijadikan cerita, malam kelmarin asyik terbayang pula kesedapan kuey teow sup bebola daging memandangkan saya ada beli bebola daging hujung minggu baru-baru ni. Jadi pagi kelmarin lepas dah hantar anak-anak, Hakim dan Hanis ke sekolah saya terus google resepi kuey teow dan terjumpalah resepi ni di blog Dapur Mamasya. Bila tengok bahan-bahannya, semua ada di dapur saya, saya pun bertekad untuk cuba buat keuy teow sendiri. Dan alhamdulillah menjadi pula percubaan pertama saya ni. Kalau anda semua nak tahu, kelmarin dua kali saya buat. Pagi tu 1 adunan, habis anak-anak makan. Suami minta buatkan char kuey teow pula sarapan pagi tadi, jadi petang kelmarin saya buat lagi 1 setengah adunan. Dan inilah hasilnya kuey teow sup dan char kuey teow saya.
Kuey Teow Sup Resepi Sendiri.

Char Kuey Teow Resepi Sendiri Juga..bahan tak cukup..
Ok, tanpa membuang masa jom kita tengok bahan-bahan untuk membuat home-made kuey teow ini. Untuk satu adunan ni, menurut Mamasya boleh dapat lebih kurang 1 setengah kg kuey teow tapi saya tak sempat nak timbang pula kelmarin.

Bahan-Bahannya: 

2  3/4 cawan tepung gandum (340gm)

1 cawan tepung pulut (125gm)

1/2 cawan tepung beras (60gm)

1/2 cawan tepung ubi (saya guna tepung ubi kentang - untuk ditabur atas doh supaya tidak melekat)

1 biji telur putih

1 cawan air (tambah 1-2 sudu besar jika perlu) - (250 ml)

1 sudu kecil garam

Sedikit minyak


Cara Membuatnya Langkah Demi Langkah:

Langkah 1: 

Campurkan 3 jenis tepung tadi (gandum, pulut & beras) dalam bekas yang sesuai untuk menguli. Satukan telur putih, air dan garam, kacau sedikit. Kemudian tuangkan air sedikit demi sedikit ke dalam bekas berisi tepung tadi sambil menguli adunan hingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan. Jika terlalu keras, boleh tambah air 1-2 sudu besar sedikit demi sedikit. Adunan tidak boleh terlampau lembut nanti kuey teow mungkin lembut dan susah untuk digelek.

Uli doh sampai jadi macam ni.

Langkah 2:

Ambil doh agak-agak dalam segenggam, tabur tepung ubi tadi pada doh tadi supaya tidak melekat pada mesin pasta. Pertama kali gelek gunakan ketebalan mata 2 pada mesin tadi. Kemudian gelek pula menggunakan mata ketebalan no. 5. Kalau ikut resepi Mamasya, dia gunakan ketebalan no. 6 tapi saya buat no 6 agak nipis. Risau kalau goreng jadi hancur, jadi saya gunakan mata no 5. Setiap mata tu boleh gelek 2 kali. Dan gelekan terakhir gunakan mata untuk membuat kuey teow. Pastikan sebelum di gelek, tabur tepung ubi pada doh supaya tidak melekat. Gunakan dulang yang berasingan untuk setiap gelekan sebab ia boleh jadi melekat. Atas dulang juga elok tabur tepung ubi.

Ni mesin pasta saya.
Tabur tepung ubi pada doh supaya tidak melekat.
Gelekan terakhir guna mata untuk kuey teow.
Satu dulang kuey teow yang siap digelek.
Langkah 3:

Sementara itu, panaskan air dalam periuk agak dalam separuh periuk. Masukkan sedikit minyak. Setelah mendidih, masukkan sedulang kuey teow yang siap digelek tadi. Masak hingga kuey teow timbul, angkat dan tapis. Setelah itu, alirkan @ rendam dengan air sejuk / paip atas kuey teow tadi kemudian toskan. Bila dah abis airnya, tuangkan sedikit minyak dan kaup balikkan kuey teow itu supaya tak melekat dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Ulang semula step tadi sehingga habis doh anda.

Setelah diangkat, alirkan air paip dan toskan.

Tuang sedikit minyak dan gaulkan supaya kuey teow tidak melekat.
Amacam? Boleh buat tak? Mudah je kan. Tapi untuk resepi ni mesti ada mesin pasta. Saya ada dapat resepi untuk buat kuey teow tanpa guna mesin. Nanti kena cuba dulu kalau menjadi boleh share dengan anda semua ya. Cubalah buat kuey teow guna resepi ni, kalau menjadi mesti best sebab air tangan sendiri kan. Cuba tau, nanti share ler kat sini.

Ok setakat ini dulu. Sehingga berjumpa lagi dan selamat mencuba!


Sunday, 9 August 2015

Resepi Puding Roti Karamel Yang Mudah dan Sedap

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib



Assalamualaikum.

Seperti dijanjikan, kali ni saya nak share resepi Puding Roti Karamel yang sangat mudah untuk dibuat dan sedap pula rasanya. Dah lama saya teringin nak cuba buat Puding Roti Karamel ni tapi selalu je terlepas. Malam tadi kebetulan saya tengok roti kat rumah ni dah nak tamat tempoh, jadi terpaksa la saya buat juga sebab sayang pula tengok roti tu.

Saya pun mula lah google resepi. Alhamdulillah terjumpa resepi ni kat blog Azie's Kitchen. Bila saya tengok bahan-bahan dia amat mudah dan semua dah ada didapur saya, jadi saya pun cubalah membuatnya malam tadi. Memang menjadilah walau pertama kali buat dan rasanya juga sangat sedap. Macam puding karamel biasa tu. Ok tanpa membuang masa jom lita tengok bahan-bahannya.

Bahan Untuk Karamel dan Cara Membuatnya:

4 sudu besar gula pasir
2 sudu besar air suam


Panaskan gula hingga keperangan, kemudian masukkan air suam. Kacau seketika sehingga sebati, tiada ketulan. Kemudian tuangkan ke dalam loyang, ketepikan.

Bahan Untuk Puding dan Cara Membuatnya:

4 Keping Roti
1 cawan air suam
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
3 biji telur
1 sudu esen vanilla



Pertama sekali carik-carikkan roti kemudian masukkan ke dalam blender. Masukkan air suam, susu cair dan susu pekat. Mesin bahan-bahan tadi sehingga sebati selama 2-3 minit.
Seterusnya, pecahkan telur ke dalam mangkuk. Kacau sedikit kemudian masukkan esen vanilla. Masukkan campuran telur dan esen vanilla ni ke dalam blender yang ada bahan-bahan roti tadi dan kisar lagi selama 1-2 minit.

Sementara itu, panaskan periuk kukusan. Tuang bahan-bahan tadi ke dalam loyang yang berisi air gula perang/karamel tadi. Seterusnya kukus selama 20-30 minit. Saya kukus malam tadi selama 30 minit. Angkat dan biarkan sejuk seketika. Malam tadi saya masukkan ke dalam peti sejuk sebab nak cepat tapi tak lama, sekejab je. Bila dah agak sejuk, terbalikkan puding tadi dan siap sedia untuk dipotong dan dihidangkan.

Selamat mencuba ya!

Sambil menunggu masa untuk makan puding roti tu, apa kata kita tengok video ini dulu. Jangan lupa like dan share ya. Terima kasih!


Saturday, 1 August 2015

Resepi Kek Marble Gebu

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum. Didoakan anda berada dalam rahmat Allah SWT.

Saya nak kongsikan dengan anda semua resepi kek marble yang baru saya buat malam tadi. Kek ni adalah untuk jamuan raya di sekolah anak-anak saya. Mudah sikit saya kongsikan di sini, boleh juga saya jadikan rujukan di kemudian hari.

Bahan-Bahannya:

• 250 gram mentega
• 190 gram gula halus/castor
• 290 gram tepung gandum
• 1 sudu kecil baking powder
• 2 sudu kecil soda bikarbonat
• 4 biji telur ayam
• 4 sudu susu cair / susu segar
• 1 sudu esen vanilla
• Pewarna mengikut kegemaran anda

Cara Membuatnya:

1) Putar mentega dan gula kastor sehingga gebu.
2) Masukkan esen vanilla dan putar lagi.
3) Masukkan telur satu persatu sambil adunan diputar.
4) Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking soda dan baking powder kemudian putar lagi.
5) Kemudian masukkan susu cair dan putar hingga sebati.
6) Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan mengikut kegemaran anda.
7) Sementara itu, panaskan oven pada suhu 175-180 darjah selsius selama 10 minit.
8) Sendukkan 3 adunan tadi berselang selikan warna-warnanya ke dalam loyang yang telah dialas dengan kertas minyak dan lorekkan mengikut kegemaran anda menggunakan lidi.
9) Akhir sekali bakar dengan suhu 180 selama 45 minit atau hingga masak.

Selamat mencuba!