Sunday, 23 February 2014

Salam Ukhuwwah Dari Bintulu, Sarawak.

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Bismillah ar-Rahman ar-Rahim. Salam perkenalan untuk semua. Saya Dr. Najihah Abdul Mutalib bertugas sebagai seorang Pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, Sarawak. Anak kelahiran Negeri 'Jelapang Padi' Malaysia, Kedah Darul Aman, merupakan puteri keenam daripada lapan orang adik beradik kepada pasangan Tuan Haji Abdul Mutalib bin Haji Husain dan Puan Hajjah Latifah binti Haji Yahya. Saya memulakan persekolah di Sekolah Kebangsaan Singkir dan seterusnya melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Alor Setar, Kedah. Berkelana beberapa tahun di Nilam Puri, Kelantan dan juga Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi menamatkan pengajian Pra-Akademi Islam, Sarjana Muda Syariah dan juga Sarjana Pengajian Peradaban. 

Setelah tamat pengajian peringkat Sarjana, saya telah ditawarkan bekerja sebagai Pensyarah di UPM Kampus Bintulu pada tahun 2001. Setelah itu, saya menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah pada tahun 2006 dan memakan masa hampir 7 tahun. Syukur ke hadrat Allah swt, perit jerih saya memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu, anak, pekerja, peniaga dan juga pelajar baru-baru ini telah berbayar dengan tamatnya pengajian saya dalam bidang Doktor Falsafah (Pengajian Islam) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Alhamdulillah. Terima kasih tidak terhingga kepada suami yang banyak memberi sokongan, anak-anak yang amat memahami keadaan ummi, ibubapa, sahabat dan mereka yang banyak memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih sekali lagi.

Dikurniakan 3 orang putera dan 3 puteri comel termasuk pasangan kembar bersama suami tercinta Tuan Rosman Mat Taib, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bintulu. Saya juga berpeluang memenuhi jemputan ceramah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan keibubapaan, motivasi dan juga keagamaan. Selain itu, saya juga sering melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan di sekitar Bintulu dan juga mempunyai kumpulan usrah bersama-sama kaum muslimat di sini untuk berkongsi ilmu dan peringatan. Saya turut aktif dalam perniagaan produk kesihatan Shaklee sejak mendaftar keahliannya pada 4 September 2012 dan kini telah berada pada rank Senior Coordinator. Selain itu, saya turut berkongsi hobi dibidang masakan bersama suami yang pakar dalam membuat produk berasaskan soya, manakala saya gemar beraksi di dapur melayan permintaan anak-anak. 

Melalui laman blog ini, saya harapkan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada pada saya ini dapat saya tebarkan dengan lebih meluas. InsyaAllah saya  akan cuba sedaya mungkin berkongsi rahsia kejayaan suri dalam melayari bahtera keluarga dan kerjaya dalam masa yang sama.

Didoakan ada manfaatnya untuk diri penulis dan juga pembaca sekalian.

Wassalam.