Friday, 21 August 2015

Majlis Tahnik Sempena MABIC 2015

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk menulis lagi di ruangan ini.

Pada Ahad lepas, telah diadakan Majlis Mahabbah Aidilfitri Bintulu Iqra Centre (MABIC) di Masjid Darul Hidayah, Kidurong, Bintulu. Ia diadakan setiap tahun bagi mendekatkan masyarakat dengan aktiviti BIC, sebuah NGO yang menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan keagamaan. Pelbagai jenis makanan disediakan oleh para AJK untuk dihidangkan kepada para pengunjung.

Pada majlis itu juga, para pelajar Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Bintulu (SRIITIZ) telah membuat beberapa persembahan untuk para tetamu yang hadir. Antaranya persembahan hafazan dan nasyid. Turut mengadakan persembahan ialah para pelajar Institut Tahfiz Bintulu (ITB) yang menyampai qasidah.

Dalam kesempatan itu juga, pihak AJK MABIC turut mengadakan Majlis Tahnik terbuka kepada semua anak-anak kecil yang berminat. Ia diadakan sempena kehadiran Dato' Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Rosli Jabar (Mudir Maahad Tahfiz di Pahang) yang kebetulan mempunyai aturcara dan program di Bintulu. Tahnik juga disebut sebagai 'belah mulut', "basahkan mulut" @ "maniskan mulut" disunatkan dibuat pada hari ke7 anak itu lahir. Ia dijalankan dengan menggunakan kurma dan air zam zam yang disuap sedikit ke mulut bayi. Mudah-mudahan anak-anak yang telibat akan menjadi seorang insan yang soleh dan solehah suatu hari nanti.

Berikut adalah gambar-gambar sewaktu Huda ditahnik oleh Tuan Guru TITM untuk dikongsikan dengan anda semua.



Sekian dulu coretan ringkas dari saya. Sehingga berjumpa lagi..

Wednesday, 19 August 2015

Resepi Cucur Makaroni Dengan Bebola Ayam

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Didoakan semoga anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Kadang-kadang sebagai ibu pasti kita sering terfikir apakah menu yang akan kita masak untuk suami dan anak setiap hari kan? Risau kalau-kalau orang-orang yang kita sayangi ni merasa bosan pula asyik makan masakan yang sama je..macam tu juga dengan saya. Hari-hari otak mesti berfikir nak masak apa. Sebab tu orang cakap ibu ni kena kreatif waktu di dapur. Kreatif mengolah resepi sedia ada menjadi sesuatu yang berlainan tapi sedap.

Pada suatu petang, disebabkan ligatnya otak berfikir pasal menu untuk minum petang, maka terhasillah cucur makaroni dengan bebola ayam ini. Kebetulan baki makaroni yang siap direbus hari sebelumnya masih elok tersimpan dalam peti sejuk dan bila dibelek-belek, ada pula bebola ayam dalam deep freezer. Bila dah digoreng, sedap pula rasanya. Ok, jom saya kongsikan resepinya.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung gandum
2 cawan makaroni (siap rebus)
Air secukupnya (boleh dimasukkan sedikit demi sedikit)
1 biji telur
Sayur kuchai/carrot/daun bawang (apa-apa sayur ikut kegemaran anda)
Beberapa ketul bebola ayam (dipotong dadu @ mengikut kesukaan anda.
Garam secukup rasa.

Cara membuatnya:
1) Campurkan kesemua bahan tadi, gaul hingga sebati. Anggaran adunan seperti nak buat cucur udang/jemput pisang. Jangan terlampau lembik ya.
2) Dengan menggunakan sudu, gorengkan cucur dalam minyak yang panas sehingga masak.
3) Hidangkan ketika panas dan boleh dimakan bersama sos cili.

Nampak macam tak ada beza dengan cucur udangkan? Senang je nak buat..puan-puan semua mesti cuba untuk nampakkan kelainan. Bukan apa, kadang-kadang ada baki makaroni atau seumpamanya tu jangan dibuang pula. Rasanya memang umphh la! Selamat mencuba ya.

Ok jumpa lagi..


Thursday, 13 August 2015

Resepi dan Langkah Demi Langkah Membuat Home-Made Kuey Teow

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam bahagia buat semua. Didoakan semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dalam menjalani kehidupan seharian.

Kali ni saya nak kongsikan resepi dan cara langkah demi langkah membuat kuey teow sendiri di rumah. Saya pun sebenarnya dah lama terfikir nak buat kuey teow sendiri kat rumah sebab anak-anak suka makan masakan berasaskan kuey teow terutamanya kuey teow sup. Kalau balik kampung mesti saya beli kuey teow dan buatkan untuk anak-anak kuey teow sup. Tapi di Bintulu ni saya tak pernah beli kuey teow yang dijual di supermaket sebab kurang yakin dengan kehalalannya. Cuma baru-baru ni ada la akak yang saya kenal kat sini mula buat home-made kuey teow dan menjualnya di kedai runcit yang agak jauh dari rumah saya. Rasanya baru sekali saya pernah beli kuey teow akak tu, itu pun suami yang tempah terusnya dengannya.

Nak dijadikan cerita, malam kelmarin asyik terbayang pula kesedapan kuey teow sup bebola daging memandangkan saya ada beli bebola daging hujung minggu baru-baru ni. Jadi pagi kelmarin lepas dah hantar anak-anak, Hakim dan Hanis ke sekolah saya terus google resepi kuey teow dan terjumpalah resepi ni di blog Dapur Mamasya. Bila tengok bahan-bahannya, semua ada di dapur saya, saya pun bertekad untuk cuba buat keuy teow sendiri. Dan alhamdulillah menjadi pula percubaan pertama saya ni. Kalau anda semua nak tahu, kelmarin dua kali saya buat. Pagi tu 1 adunan, habis anak-anak makan. Suami minta buatkan char kuey teow pula sarapan pagi tadi, jadi petang kelmarin saya buat lagi 1 setengah adunan. Dan inilah hasilnya kuey teow sup dan char kuey teow saya.
Kuey Teow Sup Resepi Sendiri.

Char Kuey Teow Resepi Sendiri Juga..bahan tak cukup..
Ok, tanpa membuang masa jom kita tengok bahan-bahan untuk membuat home-made kuey teow ini. Untuk satu adunan ni, menurut Mamasya boleh dapat lebih kurang 1 setengah kg kuey teow tapi saya tak sempat nak timbang pula kelmarin.

Bahan-Bahannya: 

2  3/4 cawan tepung gandum (340gm)

1 cawan tepung pulut (125gm)

1/2 cawan tepung beras (60gm)

1/2 cawan tepung ubi (saya guna tepung ubi kentang - untuk ditabur atas doh supaya tidak melekat)

1 biji telur putih

1 cawan air (tambah 1-2 sudu besar jika perlu) - (250 ml)

1 sudu kecil garam

Sedikit minyak


Cara Membuatnya Langkah Demi Langkah:

Langkah 1: 

Campurkan 3 jenis tepung tadi (gandum, pulut & beras) dalam bekas yang sesuai untuk menguli. Satukan telur putih, air dan garam, kacau sedikit. Kemudian tuangkan air sedikit demi sedikit ke dalam bekas berisi tepung tadi sambil menguli adunan hingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan. Jika terlalu keras, boleh tambah air 1-2 sudu besar sedikit demi sedikit. Adunan tidak boleh terlampau lembut nanti kuey teow mungkin lembut dan susah untuk digelek.

Uli doh sampai jadi macam ni.

Langkah 2:

Ambil doh agak-agak dalam segenggam, tabur tepung ubi tadi pada doh tadi supaya tidak melekat pada mesin pasta. Pertama kali gelek gunakan ketebalan mata 2 pada mesin tadi. Kemudian gelek pula menggunakan mata ketebalan no. 5. Kalau ikut resepi Mamasya, dia gunakan ketebalan no. 6 tapi saya buat no 6 agak nipis. Risau kalau goreng jadi hancur, jadi saya gunakan mata no 5. Setiap mata tu boleh gelek 2 kali. Dan gelekan terakhir gunakan mata untuk membuat kuey teow. Pastikan sebelum di gelek, tabur tepung ubi pada doh supaya tidak melekat. Gunakan dulang yang berasingan untuk setiap gelekan sebab ia boleh jadi melekat. Atas dulang juga elok tabur tepung ubi.

Ni mesin pasta saya.
Tabur tepung ubi pada doh supaya tidak melekat.
Gelekan terakhir guna mata untuk kuey teow.
Satu dulang kuey teow yang siap digelek.
Langkah 3:

Sementara itu, panaskan air dalam periuk agak dalam separuh periuk. Masukkan sedikit minyak. Setelah mendidih, masukkan sedulang kuey teow yang siap digelek tadi. Masak hingga kuey teow timbul, angkat dan tapis. Setelah itu, alirkan @ rendam dengan air sejuk / paip atas kuey teow tadi kemudian toskan. Bila dah abis airnya, tuangkan sedikit minyak dan kaup balikkan kuey teow itu supaya tak melekat dan masukkan dalam bekas yang sesuai. Ulang semula step tadi sehingga habis doh anda.

Setelah diangkat, alirkan air paip dan toskan.

Tuang sedikit minyak dan gaulkan supaya kuey teow tidak melekat.
Amacam? Boleh buat tak? Mudah je kan. Tapi untuk resepi ni mesti ada mesin pasta. Saya ada dapat resepi untuk buat kuey teow tanpa guna mesin. Nanti kena cuba dulu kalau menjadi boleh share dengan anda semua ya. Cubalah buat kuey teow guna resepi ni, kalau menjadi mesti best sebab air tangan sendiri kan. Cuba tau, nanti share ler kat sini.

Ok setakat ini dulu. Sehingga berjumpa lagi dan selamat mencuba!


Sunday, 9 August 2015

Resepi Puding Roti Karamel Yang Mudah dan Sedap

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib



Assalamualaikum.

Seperti dijanjikan, kali ni saya nak share resepi Puding Roti Karamel yang sangat mudah untuk dibuat dan sedap pula rasanya. Dah lama saya teringin nak cuba buat Puding Roti Karamel ni tapi selalu je terlepas. Malam tadi kebetulan saya tengok roti kat rumah ni dah nak tamat tempoh, jadi terpaksa la saya buat juga sebab sayang pula tengok roti tu.

Saya pun mula lah google resepi. Alhamdulillah terjumpa resepi ni kat blog Azie's Kitchen. Bila saya tengok bahan-bahan dia amat mudah dan semua dah ada didapur saya, jadi saya pun cubalah membuatnya malam tadi. Memang menjadilah walau pertama kali buat dan rasanya juga sangat sedap. Macam puding karamel biasa tu. Ok tanpa membuang masa jom lita tengok bahan-bahannya.

Bahan Untuk Karamel dan Cara Membuatnya:

4 sudu besar gula pasir
2 sudu besar air suam


Panaskan gula hingga keperangan, kemudian masukkan air suam. Kacau seketika sehingga sebati, tiada ketulan. Kemudian tuangkan ke dalam loyang, ketepikan.

Bahan Untuk Puding dan Cara Membuatnya:

4 Keping Roti
1 cawan air suam
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
3 biji telur
1 sudu esen vanilla



Pertama sekali carik-carikkan roti kemudian masukkan ke dalam blender. Masukkan air suam, susu cair dan susu pekat. Mesin bahan-bahan tadi sehingga sebati selama 2-3 minit.
Seterusnya, pecahkan telur ke dalam mangkuk. Kacau sedikit kemudian masukkan esen vanilla. Masukkan campuran telur dan esen vanilla ni ke dalam blender yang ada bahan-bahan roti tadi dan kisar lagi selama 1-2 minit.

Sementara itu, panaskan periuk kukusan. Tuang bahan-bahan tadi ke dalam loyang yang berisi air gula perang/karamel tadi. Seterusnya kukus selama 20-30 minit. Saya kukus malam tadi selama 30 minit. Angkat dan biarkan sejuk seketika. Malam tadi saya masukkan ke dalam peti sejuk sebab nak cepat tapi tak lama, sekejab je. Bila dah agak sejuk, terbalikkan puding tadi dan siap sedia untuk dipotong dan dihidangkan.

Selamat mencuba ya!

Sambil menunggu masa untuk makan puding roti tu, apa kata kita tengok video ini dulu. Jangan lupa like dan share ya. Terima kasih!


Saturday, 1 August 2015

Resepi Kek Marble Gebu

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum. Didoakan anda berada dalam rahmat Allah SWT.

Saya nak kongsikan dengan anda semua resepi kek marble yang baru saya buat malam tadi. Kek ni adalah untuk jamuan raya di sekolah anak-anak saya. Mudah sikit saya kongsikan di sini, boleh juga saya jadikan rujukan di kemudian hari.

Bahan-Bahannya:

• 250 gram mentega
• 190 gram gula halus/castor
• 290 gram tepung gandum
• 1 sudu kecil baking powder
• 2 sudu kecil soda bikarbonat
• 4 biji telur ayam
• 4 sudu susu cair / susu segar
• 1 sudu esen vanilla
• Pewarna mengikut kegemaran anda

Cara Membuatnya:

1) Putar mentega dan gula kastor sehingga gebu.
2) Masukkan esen vanilla dan putar lagi.
3) Masukkan telur satu persatu sambil adunan diputar.
4) Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking soda dan baking powder kemudian putar lagi.
5) Kemudian masukkan susu cair dan putar hingga sebati.
6) Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan mengikut kegemaran anda.
7) Sementara itu, panaskan oven pada suhu 175-180 darjah selsius selama 10 minit.
8) Sendukkan 3 adunan tadi berselang selikan warna-warnanya ke dalam loyang yang telah dialas dengan kertas minyak dan lorekkan mengikut kegemaran anda menggunakan lidi.
9) Akhir sekali bakar dengan suhu 180 selama 45 minit atau hingga masak.

Selamat mencuba!

Friday, 31 July 2015

Resepi Bebola Ayam Bersos Lazat

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib
Assalamualaikum dan salam bahagia buat semua.
Selamat bertemu kembali di alam maya ini. Memang sudah agak lama saya tak berkongsi cerita di sini. Alhamdulillah, malam ni saya berkesempatan untuk kongsikan satu lagi resepi ringkas dan mudah untuk para ibu sediakan. Saya yakin anak-anak pasti sukakan menu ini seperti anak-anak saya juga.
Resepi mudah ini saya namakan Bebola Ayam Bersos. Walaupun bahan-bahannya amat mudah, tetapi rasanya pasti menjadi kegemaran anak-anak. Kalau tiada stok ikan atau ayam di rumah, bolehlah anda mencuba resepi ini.
Bahan-Bahannya:
• Bebola Ayam Bersalut(Jenama Ayamas)
• 2 sudu besar sos cili
• 3 sudi besar sos cili thai
• 1/2 cawan air
• 1 sudu besar minyak masak
• Gula dan garam secukup rasa.
Cara Membuatnya:
• Goreng bebola ayam sehingga masak, angkat dan ketepikan.
• Masukkan minyak masak dalam kuali dan panaskan.
• Campurkan air dan sos, kacau biar sebati.
• Masukkan campuran sos dan air tadi ke dalam kuali yang telah panas tadi.
• Masukkan gula dan garam secukup rasa.
• Akhir sekali masukkan bebola ayam tadi, kacau dan biarkan mendidih seketika.
• Angkat dan sediakan untuk dihidang bersama nasi panas.
Resepi ini amat mudah dan boleh disediakan dalam masa yang amat singkat. Cubalah menu ini untuk anak-anak anda. Mereka pasti sukakannya. Selamat mencuba ya!

Monday, 15 June 2015

National Conference Shaklee: Majlis Mengiktiraf Usaha Gigih Para Pengedar Shaklee


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua rakan alam maya saya. Didoakan semoga kalian semua sihat bahagia hendaknya.

Terasa begitu lama saya tak berkongsi cerita di ruangan ini. Sebetulnya saya baru sahaja melahirkan cahaya mata ke-6, seorang bayi perempuan dan sekarang sedang berpantang hari ke-18. Jadi memang agak kalut sedikit menyambut ahli baru dalam keluarga kami, sementelaah pula saya berpantang sendirian dan terpaksa menguruskan anak-anak dan rumahtangga dengan bantuan suami. Dan alhamdulillah juga anak-anak yang berada di tahun 5 & tahun 3 sekolah rendah, sudah boleh diharap. 

Oh ya, kali ni saya nak kongsikan cerita tentang Persidangan Kebangsaan Shaklee atau lebih dikenali dengan nama National Conference Shaklee (NC) dalam kalangan para pengedar Shaklee. Kebetulan NC untuk tahun ini baru je berlangsung dari 5-7 Jun yang lalu dengan penuh gilang gemilang. Saya yang sedang berpantang ni pun teruja tengok gambar-gambar yang di tunjukkan oleh ahli keluarga Shaklee saya dan para pengedar Shaklee yang lain. Ha..kalau tak percaya, cubalah anda semua tengok video ni.



National Conference Shaklee 2014/2015 Highlight from iReach HD on Vimeo.

Setiap tahun Shaklee akan anjurkan majlis gilang gemilang ini bagi meraikan para pengedarnya yang berusaha gigih sepanjang tahun. Tahun lepas, pertama kali saya menghadiri NC yang berlangsung di Sunway Pyramid dan menerima 5 award termasuk car bonus. Cumanya pada masa itu saya tak dapat menginap di hotel mewah sebab saya telah memilih untuk mengikuti percutian ke Long Beach, USA. Tapi pengalaman pertama kali hadir ke NC tahun lepas bersama-sama ahli keluarga Shaklee yang lain sememangnya amat manis dan indah untuk dikenang. Dua gambar berikut adalah gambar kenangan sewaktu NC tahun lepas.

Saya bersama ahli keluarga Shaklee yang menerima award tahun lepas


Award yang saya terima pada National Conference tahun lepas

Kebiasaannya, bersempena dengan National Conference Shaklee satu program atau agenda khas kepada para pengedar Shaklee yang layak untuk menyertai percutian mewah dalam negara. Para qualifiers ini akan dapat penginapan percuma dan pelbagai lagi  keistimewaan dan hadiah yang disediakan oleh pihak syarikat. Dan tahun ini, pihak syarikat telah memilih hotel Palace of the Golden Horses sebagai hotel tempat penginapan para pengedar Shaklee yang layak. Dan untuk tahun ini juga, saya dan suami layak mendapat tiket percuma masing-masing dan sepatutnya layak untuk mendapat satu bilik penginapan di hotel tersebut. Namun, sayang seribu kali sayang tahun ni kami tak dapat turut serta kerana saya baru saja bersalin dan mula berpantang.

Bilik penginapan mewah di hotel POTGH

Sebelum NC bermula lagi, pihak Shaklee telah berikan beg dan tshirt yang sangat cantik ini kepada para qualifiers. Memang teruja sangat bila dapat semua ini. Dan hati jadi meluap-luap cemburu bila mengingatkan suasana yang pastinya amat seronok bila dapat bercuti di hotel mewah dengan PERCUMA dan pelbagai lagi hadiah yang bakal diperolehi nanti. Ini mengingatkan saya suasana percutian mewah yang Shaklee sediakan untul kami sewaktu berada di Long Beach, California tahun lepas.

Beg dan tshirt percuma untuk pengedar Shaklee yang layak mendapat penginapan di Palace Of The Golden Horses tahun ini

Daripada cerita dan gambar yang di kirim oleh ahli keluarga Shaklee yang dapat hadir ke NC tahun ini, sesampai saja mereka di hotel POTGH mereka telah disambut dengan kalungan bunga dan hidangan makanan yang amat lazat. Setelah itu, mereka juga dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur seperti Muzeum Diraja dan Aquaria. Bagi mereka yang tak pernah melawat ke tempat ini, pasti ia merupakan satu pengalaman yang tak akan dilupakan. Sementelaah pula ia adalah percutian PERCUMA! Selain daripada dinner hebat yang disajikan, hadiah misteri juga menanti mereka di bilik hotel yang serba mewah itu. Memang amat teruja ibu berpantang ini melihat dari jauh.

Antara hadiah misteri daripada Shaklee

Sewaktu berlangsung NC pula, para qualifiers juga diberikan goodie bag yang sangat istimewa. Pelbagai program diatur sepanjang NC berlangsung. Selain mendengar perkongsian hebat daripada para leaders Shaklee yang telah berjaya, terdapat aktiviti lain yang berjalan di luar dewan dalam suasana yang meriah seperti booth pameran, demo, kuiz dan bermacam-macam lagi. Dan yang bestnya, pihak Shaklee telah sediakan bilil dan aktiviti khas kepada anak-anak kecil supaya masa mereka terisi dengan perkara yang menyeronokkan sementara para ibubapa berada dalam dewan. Gambar-gambar berikut adalah suasana di luar dewan persidangan.






Dan apa yang amat best juga tentang NC ini ialah dapat berjumpa dengan ahli keluarga Shaklee yang kadang kala hanya kenal di alam maya sahaja sebelum ini. Selain itu, dapat menyerap sebanyak mungkin semangat dan aura positif mereka yang telah berjaya dalam bisnes Shaklee ini.

Antara ahli keluarga Shaklee saya yang hadir menerima award pada NC tahun in

Sememangnya, masa saya mula menyertai Shaklee..langsung saya tak sangka bahawa saya akan dapat merasai semua ini. Percutian mewah dalam dan luar negara yang ditaja! Bukan itu saja, saya juga tak terfikir langsung bahawa saya akan dapat cash bonus sehingga mencecah 5 angka, selain insentif-insentif lain yang ditawarkan oleh pihak Shaklee seperti bonus kereta, insentif naik pangkat dan bermacam-macam lagi.

Dan hingga saat ini, saya amat bersyukur kerana Allah telah lorongkan hati saya untuk sertai Shaklee dan aktif berkongsi kebaikan Shaklee dengan semua orang. Saya bukan saja dapat membantu menambah pendapatan keluarga tetapi sedikit demi sedikit impian saya telah tercapai berkat usaha dan kesabaran dalam menjalankan bisnes Shaklee ini.

Jika anda semua ingin menikmati pelbagai keistimewaan seperti yang saya dan para pengedar Shaklee yang lain perolehi, jom sama-sama sertai kami berkongsi kebaikan Shaklee. Tambahan pula mulai bulan Mei sehingga Oktober ini pihak Shaklee telah perkenalkan satu program yang amat best untuk mereka yang baru nak sertai Shaklee. Program yang dikenali sebagai Young Entrepreneur System menyediakan pelbagai ganjaran buat mereka yang memenuhi kriteria tertentu, yang mana para pengedar sebelum ini (seperti saya dan yang lainnya) tidak pernah menerimanya.

Jadi, jangan berlengah lagi. Sekiranya anda ingin menjana pendapatan atau inginkan info lanjut mengenai bisnes Shaklee, jangan segan silu untuk hubungi saya melalui sms @ wassap ke no 013-4517098 (Pn. Najihah) atau suami saya 019-5257618 (Ust. Rosman). InsyaAllah kami akan cuba membantu anda dengan syarat anda mempunyai semangat, keinginan dan semangat juang yang tinggi.

Setakat ini dulu coretan saya kali ini. Sehingga bertemu lagi..