Sunday 30 September 2018

Kisah Ibrah di Arafah: Pengalaman Menginsafkan Ketika Ribut Pasir Melanda Arafah Pada Malam 9 Zulhijjah 1439H

Alhamdulillah, saya dan suami telah selesai mengerjakan Rukun Islam ke-5 dan telah selamat tiba di tanahair tercinta pada 2 September 2018 yang lalu. Kami sangat-sangat bersyukur telah dipilih oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya pada musim haji yang baru berlalu ini.


Bergambar dengan latar belakang Masjidil Haram


Sebenarnya, pelbagai cerita suka duka yang saya dan suami lalui sejak dari kami menerima surat tawaran haji pada bulan November 2017 (yang membuatkan kami nyaris menolak tawaran haji tersebut) sehinggalah selesainya urusan penting ibadah haji kami pada 12 Zulhijjah 1439H yang lalu. Namun, kali ini saya ingin kongsikan dengan anda semua peristiwa getir ketika kami dilanda ribut pasir ketika berada di Arafah. InsyaAllah jika berkesempatan, ingin sekali saya kongsikan pengalaman-pengalaman lain yang mungkin boleh dijadikan panduan dan teladan buat semua.

Arafah ketika saya sampai pada tengahari
8 Zulhijjah


Wuquf di Arafah merupakan ibadah kemuncak bagi jemaah yang menunaikan haji setiap tahun. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Haji itu adalah Arafah (wuquf di Arafah". Tanpa wuquf di Arafah, ibadah haji seseorang itu seolah-olah tiada maknanya.

Sewaktu berada di Arafah, para jemaah haji dari seluruh dunia, tanpa mengira perbezaan warna kulit, latar belakang negara dan bangsa, dalam berpakaian ihram yang sama, masing-masing memohon keampunan daripada Allah SWT dengan sepenuh perhambaan diri kepada-Nya. Secara simboliknya, ia menggambarkan seolah-olah seluruh manusia berada di padang Mahsyar pada hari perhitungan kelak.


Bergambar di luar khemah
pd petang 8 Zulhijjah


Berbalik kepada pengalaman yang ingin saya kongsikan ini, sebenarnya sejak mengikut kursus-kursus haji lagi jemaah diingatkan tentang ujian-ujian dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh para jemaah sejak mula mereka menerima tawaran haji hinggalah tiba hari kemuncak iaitu ketika berada di Masyair (Arafah, Muzdalifah dan Mina). Jadi, para jemaah mestilah bersedia fizikal dan mental sepanjang melakukan ibadah haji ini.


Menunggu di lobi hotel
sebelum berangkat ke Arafah

Dah lama berdiri, duduk berehat
pula tunggu bas tak sampai-sampai..

Keadaan jemaah ketika menunggu bas
di lobi hotel


Nak dipendekkan cerita, kami diarahkan untuk bertolak ke Arafah dari hotel penginapan pada pagi 8 Zulhijjah iaitu kira-kira jam 7 pagi. Saya dan suami ditempatkan di hotel Land Premium (Maktab 84) dan kami adalah kumpulan jemaah paling awal dalam maktab 84 yang akan bertolak ke Arafah menaiki bas.


ARAFAH MEDAN UJIAN
 

Kami berhadapan dengan ujian kecil apabila bas yang sepatutnya tiba jam 7 am tidak kunjung tiba sehinggalah jam 9.30 am. Jemaah yang menunggu di lobi hotel ada yang dah mula merungut disebabkan kelewatan bas tadi. Maklumlah..ada jemaah yang dah berusia dan tidak kurang juga yang sudah letih berbaris menunggu bas tiba.

Haa..ni baru je ujian kecil tau. Dan bila bas tiba, saya dan suami dapat bas no. 4..kiranya antara bas yang terawal juga la.

Bas mula bergerak

Perjalanan ke Arafah, bas kami sesat!


Boleh tersenyum lagi abang aji..

Sesat 3 kali di laluan yang sama..


Ujian kecil kedua ialah ketika menaiki bas dan berada dalam bas. Bas kami tak ada tempat letak beg..masing-masing kena pangku sendiri beg yang agak berat tu atas riba. Dengan keadaan bas yang penuh sesak dan ada beberapa jemaah yang terpaksa berdiri. Alhamdulillah, walau sempit dan dihimpit beg yang berat, saya dan jemaah lain masih lagi dapat duduk dengan baik sambil bas mula bergerak.

Perjalanan asal dari hotel ke Arafah lebih kurang 30 minit je..tapi macam-macam perkara boleh berlaku sepanjang perjalanan yang menjadikan tempoh perjalanan mungkin mengambil masa lebih lama.

Tanpa disangka, bas kami telah tersesat dan berpusing 3 kali di laluan yang sama. Disebabkan masalah komunikasi antara penunjuk arah dengan driver dan juga banyak laluan yang di tutup, dah 2 jam perjalanan kami masih belum tiba ke Arafah.


Suami ke depan untuk bantu
tunjuk arah pada driver

Alhamdulillah..akhirnya
sampai juga Arafah..


Saya memberi isyarat kepada suami yang boleh berbahasa Arab, supaya bangun dan pergi ke depan untuk berkomunikasi dengan driver dan menunjukkan arah yang betul kepadanya. Kebetulan minggu sebelumnya kami ada buat ziarah ke Arafah dan Mina dan suami masih ingat sikit-sikit jalan nak ke sana. Suami juga menggunakan aplikasi waze untuk mencari jalan yang betul.

Alhamdulillah, tak berapa lama lepas tu bas kami tiba juga ke Arafah. Hampir 3 jam juga bas kami sesat. Kawan-kawan yang menaiki bas lewat daripada kami ada yang dah sampai awal. Ya..saya terfikir..inilah sebahagian kecil ujian yang diceritakan oleh ustaz ustazah penceramah kursus haji sebelum ini.


Kad Bas saya


Pada masa kami tiba di Arafah, rasanya dalam jam 1 lebih hampir jam 2..cuaca di Arafah sangat panas. Memang tiada tanda-tanda langsung hari nak hujan atau gelap. Suhu masa tu memang mencecah hampir 39-41°c. Nak celik mata pun rasa tak dapat sebab terlampau berbahang.


Setelah masuk ke khemah (sebenarnya saya pun tersesat agak lama waktu nak cari khemah sendiri..haha), terasa agak dingin dan tak panas sangat sebab pihak muassasah menyediakan aircond di setiap khemah penginapan. Rakan sebilik saya yang tiba awal dulu memaklumkan, masa mereka tiba khemah masih panas sebab aircond belum dibuka.

Aircond


"Ada hikmah tu bas Jie tersesat..tengok Jie masuk khemah, sekarang dah terasa sejuk. Kami sampai awal tadi memang panas sangat dalam ni.." kata kawan bilik bila saya ceritakan bas kami tersesat hampir 3 jam, sepatutnya sampai awal lagi.


Hikmah tersesat cari khemah 
sendiri, terjumpa jemaah Terengganu
 Siti Khadijah..anak kami sama sekolah
Di Pasti Bestari Gong Badak 


Alhamdulillah..saya hanya mengiyakan kata-kata rakan sebilik tadi. Memang sesuatu yang Allah jadikan pasti ada hikmahnya. Dan waktu saya tersesat sendirian mencari khemah saya, Allah temukan saya dengan rakan yang saya kenal sebab anak kami sama-sama belajar di Pasti Gong Badak, KTganu. Kalau bukan sebab tersesat cari khemah tu, mungkin saya takkan berjumpa beliau.

Tong ais untuk menyejukkan air



Pada saya, kehidupan di Arafah rasanya masih dapat saya hadapi lagi berbanding Mina. Ruang dalam khemah masih cukup untuk semua jemaah duduk, tidur dan makan. Sebabnya, saya memang dah pernah menghadiri kem, kursus dan tamrin yang berkeadaan sedikit susah seumpama ini.

Suasana dalam khemah di Arafah


Tapi, bagi mereka yang tak pernah merasa susah, memang akan tertekan sedikit dengan suasana di Arafah itu. Dengan tandas yang sentiasa penuh, ruang tempat duduk/tidur yang sempit, jika tidak bersedia dengan mental yang kuat akan menyebabkan seseorang 'naik angin', tak sabar, pentingkan diri dan sebagainya lagi.


Jemaah dalam khemah


Memang sewaktu di Arafah, dah nampak sikap-sikap yang kurang elok, yang mungkin sebelum ini dapat disembunyikan lagi. Tapi, disebabkan suasana persekitaran yang sedikit susah dan kekurangan di Arafah menyebabkan ada jemaah yang hampir berperang mulut sesama sendiri.


Tong Ais untuk kegunaan jemaah

Alhamdulillah, pada petangnya, saya keluar khemah meninjau-ninjau suasana persekitaran. Air sejuk disediakan di luar khemah, air panas pun boleh diambil berdekatan dapur. Saya perhatikan, ada juga khemah jemaah haji yang datang dengan pakej berada berdekatan khemah kami. Cuaca pada masa tu masih panas dan berangin.



Makcik sebelah saya.. baru kenal kat Arafah


Dalam khemah



Ruangan tempat tidur saya


Suasana dalam khemah

Kenalan baru di Arafah



Satu lagi situasi yang boleh buatkan jemaah tak tahan sabar ialah ketika proses edaran makanan. Disebabkan jumlah jemaah yang ramai, semua jemaah perlu menunggu giliran untuk makanan masing-masing tiba. Jadi memang perlukan kesabaran yang tinggi.

Jemaah yang kat depan tu sedang berbaris untuk ambik air panas

Macam di khemah kami, kebanyakan jemaah adalah dari bas yang bertolak awal dari hotel penginapan di Mekah..jadinya tak sempat makan tengahari. Semua pakat terasa lapar dan kelewatan makanan memang sangat menguji kesabaran masing-masing sebab perut dah berkeroncong.


MENJELANG MALAM 9 ZULHIJJAH
 

Ketika hari hampir senja, cuaca dah bertukar gelap macam hujan nak turun. Kebetulan saya ke tandas untuk berwudhu dan memang nampak suasana di luar pada masa tu.

Hujan mula turun ketika jemaah sedang solat Maghrib. Pada masa tu saya rasa syukur sangat hujan rahmat turun membasahi bumi Arafah..kerana sepanjang berada di Mekah sebelum tu, memang hujan tak pernah turun lagi.

Namun, tak lama lepas tu, angin kuar mula kedengaran di luar khemah. Rupanya ribut pasir berlaku. Awalnya jemaah lain dalam khemah kami masih relax dan ok lagi. Masing-masing masih melakukan pelbagai ibadat selepas solat jama' tamam maghrib dan isyak.

Tapi..apabila ribut berlarutan dan terus-terusan melanda dengan kuat, masing-masing mula panik. Bunyi bising dalam khemah mula kedengaran. Ada yang menangis, ada yang terus berzikir.. berdoa..membaca ayat-ayat suci al-Quran dan bermacam-macam lagi.

Kebetulan dalam khemah kami, tiada petugas TH bersama kami..yang ada hanyalah Shabat Maktab yang sama-sama kurang pengalaman seperti yang lain juga. Jadi pada masa tu memang takde siapa yang bagi arahan kepada jemaah untuk buat apa dan apa.

Saya masa tu sempat mesej suami..suami minta saya azan, takbir dan baca ayat Quran serta doa-doa tertentu. Jadi saya dengan sekuat hati terus bertakbir dan bertalbiah. Ramai juga jemaah berdekatan saya yang turut sama-sama bertalbiah.

Ribut kuat terus-terusan. Pada masa tu saya berdoa jika Allah nak ambil nyawa kami, matikanlah kami dalam husnul khatimah. Bergegar tiang khemah yang nampak sangat kukuh itu. Khemah kami agak besar sebab jemaah ramai berbanding ada khemah lain yang kecik sedikit.

Saya pada masa tu memang tempat duduk berdekatan dengan tiang utama khemah dan tinggal di tepi dinding khemah. Memang terasa debu-debu pasir masuk melalui bawah kanvas khemah kami. Setiap kali ribut kuat, saya pegang tiang kuat-kuat dengan harapan tiang tu janganlah tercabut.. huhu

Dan dalam keadaan kelam kabut itu, lampu dan letrik semua terpadam. Kami berada dalam gelap. Alhamdulillah juga saya dan jemaah lain ada yang bawah lampu suluh, maka masing-masing keluarkan lampu dan onkan lampur tersebut.

Ribut pasir ni berlarutan sehingga hampir 2 jam. Dalam tempoh ni, macam-macam ragam jemaah yang ada dapat dilihat. Ada yang menangis, ada jemaah yang siap-siap pegang beg nak lari ke luar khemah, ada yang berpegangan tangan serta ada yang teruskan beribadat dan berdoa..memang perasaan yg tak dapat digambarkan pada masa ini.

Pengadang tandas yang roboh ditiup ribut

Suasana di luar khemah selepas ribut berhenti

Suasana di luar khemah selepas ribut

Ada kawan saya bercerita masa kami dah selesai mengerjakan urusan ibadah haji, ketika ribut tu berlaku, dalam kekalutan terus google doa-doa untuk menghindari musibah dan terus baca kuat-kuat sambil makcik-makcik sebelah mengaminkanya..

Memang terasa sangat suasana ketakutan dan kelam kabut dalam khemah pada masa tu. Automatik terbayang di wajah saya saat manusia berada dalam keadaan di mana dunia bakal berakhir..terus terbayang saat kematian dan sebagainya lagi.


RIBUT BERHENTI SETELAH HAMPIR 2 JAM 

Alhamdulillah..setelah hampir 2 jam ribut semakin reda. Para jemaah pula ada yang mula ke luar khemah untuk meninjau apa yang berlaku. Rupa-rupanya pengadang tandas khemah roboh diterbangkan angin. Syukur juga tiada kemalangan jiwa berlaku dalam khemah kami.

Antara hikmah dan pengajaran yang saya dapat dari peristiwa ribut pasir tersebut ialah:

1) Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Jika DIA berkata "jadilah!" Maka sesuatu itu pasti akan berlaku. Walaupun cuaca sangat elok pada petang itu di Arafah tapi dengan kuasa Allah ribut pasir tiba-tiba melanda Arafah sejurus masuk waktu Maghrib.

2) Kita semua kena ingat Allah pada setiap waktu sama ada ketika senang mahupun susah. Jangan bila ditimpa musibah barulah kita nak ingat Allah.

3) Peristiwa ribut pasir itu juga dapat memperlihatkan situasi sebenar manusia jika berlaku sesuatu musibah atau masyaqqah. Ada sebahagian jemaah yang terus-terusan menangis, ada yang ambik beg nak lari selamatkan diri dan tak kurang juga jemaah yang terus berdoa dan melakukan ibadah lain.

4) Hikmah di sebalik peristiwa ribut pasir tersebut telah meningkat kebergantungan semua jemaah kepada Allah SWT menjelang hari Wuquf pada keesokan hari.

5) Ujian dari Allah tanda Allah sayang kepada hamba-hambaNya. Ia juga salah satu proses penyucian jiwa kami semua sebelum tiba hari Wuquf keesokan harinya.

Benarlah seperti kata-kata ustaz ustazah pembimbing ibadah haji, jemaah akan diuji hebat sewaktu berada di Arafah dan Mina. Selain ujian ribut pasir, pelbagai ujian lagi telah ditempuhi oleh para jemaah.. yang mungkin berbeza antara setiap seorang.

Ujian-ujian ini mungkin berbentuk kesenangan dan kesusahan. Dan kesemua ini adalah untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan hamba-hambaNya kepada Allah SWT.

Sesungguhnya semua peristiwa yang berlaku sepanjang saya mengerjakan ibadah haji tahun ini khususnya ketika berada di Arafah dan Mina, telah memberi didikan mendalam buat diri saya sendiri khususnya. Semuanya itu pasti menjadi kenangan manis dan terindah dalam hidup saya.

Mudah-mudahan semua amal ibadah kami diterima Allah dan semua jemaah haji tahun ini dikurniakan haji yang mabrur.

Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsikan pada anda semua berkaitan peristiwa ribut pasir di Arafah. Dan saya juga amat terkejut betapa cepat sekali peristiwa itu tersebar di Malaysia sedangkan kami sendiri belum tahu suasana sebenar walau kami berada di sana.. haha

Oklah setakat ini dulu cerita saya. InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan kongsikan lagi pengalaman saya sewaktu mengerjakan haji pada tahun ini. Moga jadi iktibar dan panduan buat semua.




--------------------

Untuk sebarang pertanyaan mengenai produk Shaklee, pembelian, keahlian, tips dan harga istimewa, boleh berhubung dengan saya melalui medium berikut: 
✎ PM di FB: Najihah Abdul Mutalib
 ✒ Blog: http://najihahabdulmutalib.blogspot.my/
✉ Emel: najihah.abdul.mutalib@gmail.com
 ðŸ“  Sms/whatsApp: 016-8867098 | 013-4517098 COD: Kawasan Sekitar Gong Badak, Kuala Terengganu

 * Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnosis, merawat, menyembuhkan atau mencegah sebarang penyakit.