Thursday, 6 October 2016

Resepi Doh Pizza Lembut Yang Menggunakan Bahan-Bahan Asas Sahaja

Assalamualaikum.

Beberapa hari lepas akak ada buatkan pizza untuk santapan anak-anak di rumah. Rasa macam dah lama sangat tak buat pizza untuk dia orang. Bila ummi sebut je nak buat pizza, terus bersorak sakan anak-anak. Memang kegemaran anak-anak kat rumah ni.

Masa keluar jalan-jalan Sabtu lepas, terus akak ajak suami yang kebetulan datang untuk singgah beli barang-barang dapur, jadi boleh la mencelah beli cheese untuk buat pizza yang dah akak plan tu. Bahan-bahan lain semua dah ada dalam gobok kat rumah tu..hehe



Jadi kali ni akak nak kongsikan dengan korang resepi membuat doh pizza yang akak hanya gunakan bahan-bahan asas sahaja. Alhamdulillah, memang menjadi dan lembut je dohnya. Ok dah ready semua? Jom kita tengok bahan-bahannya.

Bahan Untuk Inti Pizza

Daging cincang atau sosej

Bawang Besar di potong dadu

Sos prego atau seumpamanya

Garam gula secukup rasa

Jika nak pedas, boleh tambah cili kering kisar

Cheese mozarella @ cheddar @ pizza plus..mana yang anda gemar

Lain-lain bahan atau sayuran yang anda suka

Sedikit minyak


Cara Membuat Inti

Tumis bawang besar menggunakan sedikit minyak, sekejab je kemudian masukkan daging cincang, sos prego, bahan perasa gula garam secukup rasa.

Biarkan inti mendidih dan masak seketika, kemudian padamkan api.

Bahan-Bahan Untuk Doh

1 peket yis (akak biasa guna mauripan atau bunga raya)

1/2 kg @ 500 gram tepung gandum

1 hingga 1 1/2 cawan air suam

2 hingga 3 sudu gula (ikut rasa masing-masing)

1/2 sudu kecil garam (ikut rasa masing-masing)

1/3 hingga 1/2 cawan minyak masak


Cara Membuat Doh Pizza

1) Masukkan sepeket yis ke dalam mangkuk yang bersaiz sederhana (jangan terlalu kecil mangkuk tu ya sebab risau yis melimpah).

2) Masukkan gula dan garam serta 1 cawan air suam ke dalam mangkuk berisi yis tadi.

3) Kacau kesemua bahan tadi menggunakan sudu sampai gula sebati dan yis tidak berketul sangat.

4) Tutup mangkuk tadi selama 5-8 minit atau sehingga yis tu mengembang dan naik.

5) Dalam bekas yang lebih besar, masukkan tepung gandum, minyak dan bancuhan yis yang dah mengembang tadi.

6) Uli doh menggunakan tangan, jika doh terasa agak keras, boleh tambah baki air suam td. Boleh tuang lebihan air suam ke dalam bekas yis yang masih mempunyai sisa-sisa yis dan gunakan untuk menguli tepung tadi jika doh nampak keras.

7) Sebaliknya jika doh terlalu lembik, boleh tambah tepung gandum. Uli lah sampai doh tidak melekat lagi pada tangan.

8) Tempoh masa untuk menguli doh bergantung kepada cara anda menguli, biasanya akak uli antara 15-30 minit. Dan akak gunakan bekas tupperware yang ada biji untuk mudahkan proses menguli.

9) Lepas dah selesai menguli, rehatkan doh selama 10 minit.

10) Bahagikan doh kepada 4-5 bahagian, ikut besar loyang pizza korang. Macam akak biasa buat 1/2 kg tepung boleh dapat 5 biji pizza saiz regular, atau 3 biji saiz regular + 1 biji saiz L. Ikut ketebalan doh juga ya.

11) Canaikan sedikit doh pizza yang dibulatkan terlebih dahulu. Canai agak sebesar loyang, sapukan loyang dengan margerin, masukkan doh dan tekan-tekankan untuk samakan kedudukannya dalam loyang.

12) Sapukan atas doh dengan lebihan baki sos prego, letak dan ratakan inti atasnya. Kemudian taburlah cheese sebanyak mana mengikut kesukaan korang.

13) Buatlah sehingga habis doh tadi kemudian rehatkan sekejab doh bersama inti tadi selama 10 minit.

14) Sementara itu, panaskan oven pada suhu 180 darjah selama 10 minit. Bila dah ready, masukkan pizza tadi.

15) Boleh bakar menggunakan api atas bawah selama 10-12 minit atau sehingga masak. Jangan terlalu lama masak kerana boleh menyebabkan doh dan cheese jadi keras.

16) Boleh juga masak menggunakan api bawah dahulu selama 6-8 minit dan kemudian api atas sahaja selama 5-6 minit atau sehingga masak.

Ohh..ya kalau sape-sape ada periuk noxxa lagi mudah, masukkan je doh pizza dalam periuk nozza. Ikut step seperti di atas. Guna function steam, tekan 5 minit.

Bolehlah korang cuba buat pizza ni ikut kreativiti korang. Yang penting nak doh lembut dan cheese bertali je bila potong, jangan masak terlalu lama ya. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Selamat mencuba dan sehingga bertemu lagi.