Thursday 13 April 2017

Resepi Akok Kedut Gula Melaka Sedap: Menggamit Memori Ketika Belajar Di Nilam Puri

Akok adalah antara makanan Pantai Timur yang akak sangat suka, itu pun kalau kena yang sedap la kan. Mula-mula akak boleh jatuh cinta dengan masakan Pantai Timur ni sejak akak belajar di Pra Akademi Islam Universiti Malaya sekitar tahun 1993-1994 dulu.

Akok Kedut Gula Melaka

Dua tahun belajar di Kelantan, sudah cukup membuatkan akak jatuh cinta dengan beberapa jenis masakan dan makanannya, termasuklah Akok Kedut. Akak masih ingat dulu-dulu kalau hari minggu kami keluar ke Pasar Tani pagi kat Wakaf Che Yeh kalau.tak silap la..haa..Akok kat situ memang sedap. Penjual memang bakar terus kat situ. Fuhh, sampai terbayang-bayang lagi kesedapannya.

Tapi, sejak keluar dari Pra AIUM Nilam Puri, memang susah dah nak jumpa Akok sesedap yang akak pernah rasa dulu. Beli, balik makan kecewa sebab rasa tak sedap.

Nak dijadikan cerita, kelmarin waktu dok layan wall kawan kawan fb, ada ternampak resepi Akok Kedut Terengganu lalu lalang kat wall akak. Apa lagi, terus akak copy dan print resepi tu terdetik nak cuba. So malam tadi, bertukanglah akak di dapur untuk menyiapkan resepi akok tersebut. Tapi nak bagitau, resepi ni memang mudah sangat. Kacang je lah kiranya. Bahan-bahan dia pun simple je. Jom akak kongsikan resepinya.

Bahan-Bahan:
(Boleh dapat lebih kurang 24 biji Akok saiz loyang cupcakes ni)

2-3 helai daun pandan

100ml air

140 gm gula melaka (boleh nak tambah atau kurangkan gula ikut citarasa). Kalau takde gula melaka, gula putih pun ok.

35 gm tepung gandum

200 ml santan (akak guna santan kotak je)

5 biji telur saiz A


Cara membuatnya:

1. Potong daun pandan, masukkan ke dalam blender bersama 100ml air tadi dan blend hingga hancur.

2. Tapiskan air daun pandan dan masukkan ke dalam periuk bersama-sama gula melaka/gula pasir tadi. Masak keduanya sehingga hancur, tutup api, ketepikan dan biarkan sejuk.

3) Pecahkan 5 biji telur dan masukkan ke dalam blender, masukkan tepung gandum, santan dan air gula tadi. Blender sehingga halus dan sebati tidak berketul.

4) Sementara itu, panaskan oven dengan api atas bawah, suhu 220 darjah celsius selama 10 minit.

Loyang cupcakes je akak guna. 

5) Adunan tadi masukkan ke dalam loyang akok @ loyang cupcakes yang telah disapu marjerin macam akak ni. Tinggalkan sedikit ruang supaya adunan tak melimpah. (Pesanan: buangkan buih-buih yang terdapat di atas adunan supaya Akok kita nanti jadi elok)

6) Masukkan ke dalam oven, bakar selama +- 12 minit, suhu 220 api atas bawah. Selalunya ia mengikut jenis oven yang anda gunakan.

Ini bau dikeluarkan dari oven, bahagian atas dia dah mula menguncup


7) Ketika proses pembakaran, Akok nampak naik mengembung sedikit, bila dah masak dan dikeluarkan dari oven, bahagian atas Akok akan menguncup ke bawah dan nampak berkedut-kedut.

Biarkan sejuk sebelum dikeluarkan menggunakan sudu


8) Biarkan sejuk seketika dan bolehlah dikeluarkan dari acuan dan dihidangkan bersama minuman kegemaran anda.

Kejadian Akok Kedut yang akak buat malam tadi, korang nampak ok tak??


Amacam, senang je kan bahan dan prosesnya. Korang cubalah, insyaAllah sedap, lemak dan lembut je. Tak sangka betul dapat buat kuih Akok yang sedap macam ni di rumah..haha.

Ok, sehingga berjumpa lagi. Selamat mencuba ya.