Foto: Najihah Abdul Mutalib
Assalamualaikum dan salam bahagia buat semua pengunjung blog ini. Didoakan semoga kalian sentiasa berada di bawah payungan Rahmat dan Rahim Allah SWT.
Di hari Jumaat yang indah ini, tergerak hati untuk kongsikan saat-saat manis meraikan kejayaan saya menyelesaikan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah walaupun hari konvokesyennya telah lebih sebulan berlalu. Sesungguhnya setiap kejayaan itu pasti akan terasa amat manis kerana jalan untuk sampai ke destinasi itu penuh dengan cabaran, liku, pengorbanan dan perjuangan serta linangan air mata duka dan gembira.
Bak kata pepatah Melayu, "Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian". Begitulah kita dalam menempuh apa jua kejayaan dan kebahagiaan. Pasti akan melalui pelbagai episod pahit, duka, ujian dan cabaran yang mendatang. Sekiranya kita tak dapat menempuhnya dengan sabar dan semangat, pasti kita akan kecundang sebelum tiba ke garisan penamat.
Seperti saya suatu ketika dahulu, dalam tempoh menyiapkan pengajian PHD saya yang mengambil masa lebih 7 tahun sehingga hari konvokesyen pada 1 November 2014 yang lalu, pernah terdetik di hati bahawa saya mungkin tidak dapat meraikan kejayaan seperti kawan-kawan yang lain setiap kali melihat mereka bergembira pada hari konvekesyen masing-masing. Saya pernah mengalami zaman 'kejatuhan' dalam tempoh tersebut dek kerana penat dan lelah nak menyiapkan tesis dalam masa yang sama bertugas sebagai pensyarah dan menguruskan anak-anak seramai 5 orang.
Untuk pengetahuan semua, saya mendapat cuti belajar selama 3 tahun 9 bulan, tetapi saya tidak dapat menyiapakan pengajian saya dalam tempoh tersebut. Mungkin juga atas kelemahan saya dan pelbagai masalah, cabaran dan dugaan yang mendatang. InsyaAllah jika berkelapangan, saya akan kongsikan kisah liku perjalanan saya selama lebih 7 tahun menyiapkan pengajian ini. Bukan untuk berbangga atau menunjuk-nunjuk tetapi sebagai satu semangat buat semua dalam menempuh apa jua cabaran dalam hidup.
Dan alhamdulillah, setelah mendapat kekuatan selepas fasa-fasa 'kejatuhan' itu, saya terus bangkit hasil doa yang tak putus-putus daripada kedua ibu bapa saya, suami, ahli keluarga dan atas semangat saya sendiri, akhirnya saya berjaya mendapat Ijazah Doktor Falsafah pada Januari 2014. Indahnya kejayaan ini apabila dapat saya raikannya bersama kedua ibu bapa tercinta, suami dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain pada hari Konvokesyen UKM yang ke-42, pada 1 November 2014 yang lepas.
Di sini saya ingin kongsikan beberapa foto sewaktu meraikan hari bahagia yang amat bermakna buat saya ini. Semoga ada manfaatnya buat anda semua yang membaca coretan saya ini. Sehingga bertemu di coretan lain. Jumpa lagi!
Gambar Keluarga di Studio |
Sewaktu menerima ijazah |
Bersama rakan dalam dewan |
Bersama keluarga yang datang meraikan |
Bersama abah dan mak |
Suami dan anak-anak |