Friday, 28 November 2014

RESEPI MEE JAWA UMMI

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Baru-baru ini saya ada mencuba resepi mee jawa yang saya olah kembali cara pembuatannya. Saya ni memang biasa dan memandai-mandai mengolah resepi-resepi ikut rasa hati saya. Apa yang penting rasanya sedap dan anak-anak dan suami suka apa yang saya masak.

Setelah bertangguh beberapa minggu, hari ini saya nak kongsikan resepi Mee Jawa Ummi yang telah saya olah sendiri resepinya. Bolehlah para pengunjung semua mencuba resepi saya ini.

BAHAN-BAHANNYA:

Untuk menumis:
3-4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
(dihiris nipis @ ditumbuk)
Kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2-3 kuntum bunga cengkih
1-2 biji buah pelaga
Minyak untuk menumis

3 sudu besar cili kering kisar (boleh tambah atau kurang ikut selera pedas @ tidak)
1-2 sudu besar rempah kari daging
1-2 sudu besar sos cili @ sos tomato
2 sudu besar udang kering ditumbuk halus
3 biji kentang
1 biji keledek
Daging yang direbus (air rebusan jangan dibuang)
Air, gula, garam dan kiub ayam knorr (jika suka)
Bawang goreng (tambahan-jika suka, kisar bersama keledek & kentang)
Mee kuning

Bahan hiasan / tabur
Sayur sawi
Daun sup
Bawang goreng
Hirisan cili besar
Hirisan limau kasturi @ limau nipis
Telur rebus

CARA MEMBUATNYA:

1. Sediakan semua bahan untuk menumis.
2. Rebus kentang dan keledek hingga empuk, toskan dan kisar menggunakan 'blender' dengan memasukkan sedikit air dan bawang goreng tambahan tadi. Kisar sehingga halus.
3. Sementara itu, rebuskan daging, toskan airnya. Jangan dibuang air rebusan daging. Hiris daging mengikut citarasa anda.
4. Tumiskan bahan-bahan tumisan sehingga naik baunya.
5. Masukkan cili kisar, kacau sebentar dan kemudian masukkan udang kering yang ditumbuk halus. Kacau sebentar.
6. Masukkan rempah kari yang di bancuh dengan sedikit air panas, sos cili @ tomato tadi dan kacau lagi.
7. Masukkan daging dan air rebusan daging serta ubi yang dikisar tadi. Kacau lagi sehingga ubi larut. Jika pekat, tambah air mengikut kepekatan yang anda suka.
8. Akhir sekali masukkan bahan-bahan perasa seperti gula, garam dan kiub ayam knorr. Perasakan kuah mee mengikut citarasa anda.
9. Masak kuah dengan api sederhana sehingga mendidih.
10. Setelah masak, sediak mee kuning yang telah direbus, tabur bahan-bahan hiasan, masukkan kuah dan...

...sedia untuk dihidangkan..elok dimakan segera selepas dimasukkan kuah.

Selamat mencuba ya cik puan semua. Peminat mee berkuah, pasti anda akan terpikat!