Tuesday, 25 July 2017

Resepi Nasi Dagang Terengganu

Nasi Dagang adalah antara makanan kesukaan akak sejak dulu. Akak ni kalau masakan berasaskan pulut pasti akan suka. Kan Nasi Dagang ni rasa dia sikit-sikit macam pulut kan? So, memang dari dulu akak suka makan Nasi Dagang ni. Tapi sesekali je lah dapat makan masa kat Bintulu, kalau ada kawan-kawan buat dan ada orang Kelantan jual, dapatlah makan.



Alhamdulillah, setelah pindah ke Terengganu ni kalau nak makan hari-hari pun boleh. Tapi kalau sesekali keluar makan kat luar, pasti akak akan order Nasi Dagang. Dan kebetulan suami akak pun suka Nasi Dagang. Cumanya ada beza sikit la Nasi Dagang Kelantan dan Nasi Dagang Terengganu. Apa pun, kedua-duanya akak suka. haha..

Sebelum ni akak tak pernah lak terdetik nak buat sendiri Nasi dagang ni..tak tahulah kenapa, tengok resepi atau acari resepinya pun tak. Mungkin dalam kepala dok fikir mungkin sedikit renyah nak buat Nasi Dagang ni. Tapi rupa-rupanya taklah susah mana seperti yang disangkakan sebelum ni.. Kebetulan baru-baru ni akak terjumpa resepi Nasi Dagang Terengganu, bila baca resepinya rasa macam mudah je nak buat Nasi Dagang ni.



Jadi apa lagi, akak pun g la beli ikan tongkol dan beberapa bahan lain yang takde kat rumah. Terus bertekad nak buat hari tu jugak. Maka, jadilah Nasi Dagang Terengganu seperti dalam gambar ni. Ok jom akak kongsikan resepi yang akak ambil dari fb Nasi Dagang Terengganu ni.

Resepi Nasi Dagang:
Bahan-bahan untuk Nasi: 
4 cawan beras Jati
1 cawan beras pulut
3 cawan santan cair + sedikit gula dan garam
1 – 1 1/2 cawan santan pekat + sedikit garam
1 sudu halba
2 ulas bawang merah
1/2 in halia

Cara cara :
1. Beras dicampur dengan beras pulut di rendam 8 jam atau semalaman (kalau tak sempat 2-4 jam pun ok)
2. Kukus beras dan pulut tadi selama 20 minit
3. Angkat dan kaut semua nasi ke dalam bekas yang agak besar dan digaulkan dengan separuh santan cair sehingga rata. Biar seketika hingga semua santan meresap. Masukkan lagi santan sehingga meresa. Elok habiskan semua santan cair. Biar sekejap
4. Kukus semula selama 20 minit lagi.
5. Sementara itu hiris bawang dan halia halus2. Masukkan di atas nasi dlm kukusan dan juga buah halba.
6. Angkat nasi utk kali kedua dan adunkan dengan santan pekat hingga rata. Tak perlu habiskan jika nasi nampak sudah elok lembutnya.
7. Boleh dihidangkan

Resepi Gulai Ikan Aya :
Rebus Ikan Aya Hitam bersama beberapa asam keping dan juga garam..
Jangan buang air rebusan
* boleh tambah telur rebus juga.. Ada yang suka makan Nasi Dagang dengan gulai telur rebus
* lebih sedap guna Ikan Aya Hitam dari Ikan Aya Kurik

Bahan-bahan gulai :
1 sudu serbuk ketumbar
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk jintan putih
2 hiris lengkuas (dikisar)
1 hiris halia (dikisar)
1 biji bawang besar (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
3 sudu cili mesin
1 paket rempah gulai cap bunga Ros 15 gram (nak sedap tambah lebih)
1 1/2 liter santan
1 batang kulit kayu manis
1 sudu kerisik
4 keping asam keping
1/2 buku kecil gula melaka.
Sedikit Belacan
10 biji cili padi
sedikit garam

Cara-cara :
1. Masak Santan sehingga naik minyak.
2. Masukkan semua bahan-bahan yang dikisar, serbuk, rempah gulai cap bunga ros, cili mesin, kulit kayu manis, kerisik, asam keping, dan gula melaka
3. Masak lama, biarkan mendidih. Masukkan sedikit garam sesuai dengan rasa.
4. Masukkan air rebusan ikan tadi dan juga ikan yang di rebus. jangan masukkan asam keping rebusan ikan nanti masam.
5. Biar beberapa minit. Masukkan cili padi dan juga belacan.
6. Masak sebentar dan boleh dihidang. Pilihan sendiri mahu pekat atau pun tidak.. Kalau mahu pekat masak lama.. Siap!

Resepi Acar Timun:-
Timun
Carrot
Cili Merah dan Bawang

- SEMUA dihiris memanjang
1 sudu gula
1 sudu garam
1 sudu cuka.

Cara-cara:

1. Gaul sebati dan dihidang.

Ok itu sahaja resepinya. Bolehlah korang cuba di rumah nanti ya.

Sehingga berjumpa lagi.