Thursday 21 January 2016

5 Perkara Wajib Patuh Sebelum Memilih Pakaian

Assalamualaikum wrt wbt.

Didoakan semoga anda semua berada dalam Rahmat dan Rahim Allah SWT. 

Isu tentang pemilihan pakaian ni memang tak dapat lari daripada hidup kita sehari-hari. Apa taknya, kita memang memerlukan pakaian untuk menutup aurat dan ia merupakan perkara asas yang perlu penuhi. Dan dalam Islam sendiri, antara nafkah yang wajib diberikan oleh seorang suami terhadap anak isterinya ialah dari segi pakaian.



Namun begitu, dalam keghairahan kita memilih dan membeli pakaian, terkadang kita lupa bahawa adanya had tertentu yang digariskan oleh Islam terutamanya buat para penganutnya yang mengakui beragama Islam. Biasalah kita ni terutamanya wanita, kadang-kadang tengok baju cantik je terus nak beli, sehinggakan terlupa nak pastikan ianya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Islam atau tidak.

Jom sama-sama kita tengok, apakah 5 kriteria yang Islam gariskan dalam memilih pakaian supaya kita tidak terpesong jauh daripada tuntutan agama.

1. Adakah pakaian itu menutup aurat. 

Sebelum kita mengambil keputusan untuk membeli sebarang jenis pakaian, perkara yang paling utama perlu diberi perhatian ialah adakah ianya mampu menutup aurat kita dengan sempurna? Menutup aurat bukan bermaksud "membungkus" aurat. Kadang-kadang kita merasakan baju kita dah menutup seluruh aurat kita akan tetapi kita terlupa bahawa baju itu ketat, sendat, mengikut bentuk tubuh, jarang dan seumpamanya lagi.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A'raf, ayat 27 yang bermaksud: "Wahai anak Adam. janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapamu dari syurga, ia menanggalkan daripada keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.."


2. Adakah pakaian itu menyerupai pakaian berlawanan jantina dengan kita.

Dewasa ini, kita lihat telah ramai daripada kalangan wanita mahupun lelaki yang berpakaian menyerupai pakaian awan sejenis masing-masing. Perkara ini amat perlu kita ambil berat terutamanya para ibubapa supaya anak-anak kita tidak terjebak dengan situasi sebegini. 

Rasulullah saw bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: "Allah melaknat lelaki yang bergaya seperti perempuan dan perempuan yang bergaya seperti lelaki."


3. Adakah pakaian itu menunjukkan kesombongan kita.

Elakkan daripada membeli pakaian yang dengannya kita terasa sombong dan bongkak serta lupa diri. 

Dalam satu hadis yang diriwayatkan leh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang menyeret pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan memandangnya pada Hari Kiamat."


4. Adakah pakaian itu diperbuat daripada bahan yang tidak halal.

Sebelum membeli pakaian, mesti dipastikan bahawa ianya diperbuat daripada bahan-bahan yang halal dan dibenarkan dalam Islam. Berkenaan ini, Rasulullah saw pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud: "Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum perempuan daripada umatku, dan diharamkan bagi kaum lelaki daripada umatku."


5. Adakah pakaian itu meniru pakaian penganut agama lain.

Islam juga melarang kita memakai pakaian yang menyerupai pakaian penganut agama lain. Sabda Rasululah saw yang bermaksud: "Sesiapa menyerupai sesuatu kaum, ia sebahagian kaum itu."

Demikianlah 5 kriteria yang perlu kita fikirkan sebelum membeli pakaian untuk kegunaan diri sendiri mahupun ahli keluarga. Sama-sama kita ingat mengingat agar kita semua tak tersilap langkah dalam keghairahan kita memilih dan membeli pakaian.

Semoga entri kali ini dapat memberi manfaat buat kita semua dalam memilih pakaian seharian. Setakat ini dulu perkongsian saya kali ini, semoga bertemu lai. Bye..