Friday 1 May 2015

Resepi Gulai Ketam Bersama Nenas

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Dah agak lama saya tak berkongsi resepi di ruangan maya ini. Walaupun banyak sebenarnya resepi yang bersusun menanti giliran untuk di kongsi tapi dek kerana kekangan masa, tak sempat saya nak menaip di sini. Alhamdulillah, pagi saya cuba curi masa untuk kongsikan resepi yang saya dah buat dengan anda semua.

Masa sedang hamil ni memang macam-macam menu terasa nak makan. Baru-baru ni teringin nak makan gulai ketam bersama nenas. Kebetulan suami beli ketam masa pergi market, apa lagi saya pun terus beli nenas untuk buat gulai. Jadi, kali ni saya nak share resepi gulai ketam bersama nenas yang saya buat tu. Resepi ni saya olah-olah sendiri je. Buat ikut bahan yang ada kat rumah..

Bahan-bahannya:
4-5 ekor ketam (cuci apa yang perlu dan toskan).
1/2 biji nenas.
1 peket kecil rempah kari ikan.
1-2 sudu kecil jintan manis (ditumbuk halus).
1/2 inci halia.
4 ulas bawang merah (2 ulas untuk menumis, 2 ulas tumbuk masukkan dalam rempah).
2 ulas bawang putih.
Daun kari jika suka.
Santan secukupnya (saya guna santan kotak).
Garam & gula secukup rasa.
Sedikit minyak untuk menumis.

Cara Membuatnya:

1. Masukkan 1 peket rempah dalam bekas, tambah sedikit air panas untuk jadikan pes.

2. Masukkan sedikit halia yang dipotong nipis dan memanjang, 2 ulas bawang merah dan jintan manis yang ditumbuk dalam pes tadi.

3. Sediakan bahan-bahan untuk menumis (bawang merah, bawang putih, dan halia yang di hiris nipis dan halus) serta daun kari.

4. Panaskan minyak, tumis bahan tumisan hingga berbau harum, masukkan pes rempah tadi. Tambahlan sedikit air.

5. Masak rempah sehingga naik minyak, kemudian masukkan ketam yang telah dipotong dua dan dah dibersihkan.

6. Kacau sebentar, kemudian masukkan santan. Jika pekat, tambah sedikit air. Masak seketika.

7. Kemudian masukkan nenas yang dihiris nipis atau dihiris mengikut kesukaan anda.

8. Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa.

9. Biarkan mendidih seketika.

10. Sedia untuk dihidang.

Mudah je resepi ni. Anda juga boleh gunakan rempah kari daging dan tak perlu masukkan jintan manis jika guna rempah kari daging.

Selamat mencuba ya. Jumpa lagi.