Tuesday 25 November 2014

CUBALAH MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DENGAN SEBAIKNYA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Sumber Google dan Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, bertemu lagi kita di ruangan ini. Sementelaah ketika ini saya hanya tinggal bersendirian, maka masa terluang yang ada ini dapat saya isi dengan menulis entri blog dan berkongsi cerita dengan rakan-rakan maya semua.


Sebagaimana semua telah sedia maklum, mulai minggu ini bermulalah cuti persekolahan yang agak panjang bagi anak-anak yang telah bersekolah. Kepada ibu bapa yang mempunyai kerjaya sebagai guru, mungkin tidak menjadi masalah untuk menguruskan percutian mereka bersama anak-anak. Namun, bagi ibu bapa yang bekerja pejabat, cuti sekolah sebegini kadang-kadang boleh mendatangkan kebingungan buat mereka. Kerana memikirkan bagaimanakah mereka boleh mengisi percutian anak-anak dengan sesuatu yang bermanfaat.

Sebagai ibu bapa, semua ini perlu difikirkan dengan baik supaya masa terluang anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini dapat diisi dengan perkara berfaedah. Jika sebaliknya, dikhuatiri akan menimbulkan rasa bosan dalam diri anak-anak. Dan sekiranya anak-anak telah berada pada peringkat rendah atas dan menengah, mungkin mereka akan mencari rakan-rakan sendiri bagi mengisi masa mereka. Situasi sebegini sekiranya tidak dipantau, terutamanya bagi ibu bapa yang hanya asyik bekerja, ia mungkin akan menjerumuskan anak-anak yang mentah ini dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Nauzubillah.

Bagi saya sendiri, yang bertugas sebagai pensyarah manakala suami pula seorang guru, cuti kami sememangnya tidak sama. Kebiasaannya, bila bermulanya cuti persekolahan maka semester baru bagi pelajar diploma pun membuka tirainya. Jadi, kelihatannya agak susah untuk saya memohon cuti yang panjang untuk dihabiskan bersama anak-anak. Dan untuk kesekian kalinya, cuti sekolah kali ini juga, saya dan suami mengambil keputusan untuk mengajar mereka berdikari di kampung halaman atok dan nenek.

Keterujaan anak-anak sebelum menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung

Walaupun saya agak berat hati untuk tinggal berseorangan di Bintulu kerana memang telah biasa hidup dikelilingi riuh rendah anak-anak seramai 5 orang itu, tetapi saya pasrah untuk melepaskan suami dan anak-anak pulang ke kampung halaman kami di Kedah. Sememangnya anak-anak begitu teruja setiap kali hendak pulang ke kampung. Maklumlah setahun biasanya hanya dua kali kami dapat pulang ke Kedah.

Seronok mandi kolam di rumah atok

Selain dapat berjumpa dengan atok, nenek, sepupu dan saudara mara di kampung, saya dan suami juga telah merancang untuk menghantar 3 orang anakanda yang sulung (10 tahun) dan anak kembar saya (8 tahun) ke kelas hafazan di sebuah Pondok Pengajian kelolaan sepupu saya di Kedah, kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah ibu bapa saya di kampung.

Saya mengharapkan agar masa mereka terisi dengan perkara yang berfaedah sepanjang cuti sekolah ini. Mereka akan mula ke kelas hafazan tersebut mulai 1 Disember ini selama satu bulan. Walaupun amat terasa kesunyian tanpa suami dan anak-anak di sisi selama hampir satu bulan ini, saya redha dengan keadaan ini demi kebaikan anak-anak, supaya masa percutian mereka dapat di manfaatkan sebaiknya.

Sekian dulu coretan saya kali ini. Semoga kita berjumpa lagi di lain waktu!