Sunday 19 October 2014

BENGKEL PENULISAN KREATIF ANJURAN DBP SARAWAK

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Selamat bertemu kembali. Alhamdulillah, kelmarin saya sempat mengikuti Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak bertempat di Perpustakaan Awam BDA Bintulu. Bengkel yang diadakan selama satu hari ini diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak, yang mana Bintulu terpilih sebagai tempat penganjurannya.

Lebih 25 orang peserta menyertai bengkel kali ini yang lebih menumpukan kepada penulisan sajak, puisi dan cerpen. Slot pertama berkenaan Penulisan Kreatif di sampaikan oleh Pengarah DBP Negeri Sarawak sendiri iaitu Dr. Hazamin. Beliau byk menerangkan tentang bagaimana tatacara penulisan kreatif. Di akhir slotnya, semua peserta dikehendaki menulis sajak masing-masing sebagai tugasan.
Pada sebelah petang pula bermula jam 2, slot tatabahasa disampaikan oleh Timbalan Pengarah DBP Negeri Sarawak. Slot ini lebih kepada mengingatkan kembali peraturan-peraturan tatabahasa ketika penulisan.

Slot terakhir pula disampaikan oleh dua orang staf DBP Sarawak yang juga aktif menulis sajak dan puisi iaiti saudara Mohd Faizal dan Saifulidzwan. Cara penyampaian yang santai oleh penceramah menyebabkan kami para peserta tidak bosan sepanjang bengkel berlangsung. Kami diberi tugasan untuk menyiapkan 2 buah sajak yang akan diterbitkan dalam sebuah antologi khas sempena bengkel kali ini. Pada akhir bengkel, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing.

Saya berasa amat bertuah kerana menyertai bengkel penulisan ini. Sepanjang bengkel berlangsung, saya telah belajar banyak ilmu tentang penulisan kreatif terutamanya Puisi dan Sajak. Saya berharap dapat menyertai bengkel-bengkel lain yang dianjurkan oleh DBP pada masa akan datang kerana saya mempunyai minat dalam arena penulisan sebegini. Lagi pula apa salahnya menambah ilmu yang dapat membantu tugas dan kerjaya seharian saya.

Sekian dulu coretan saya kali ini. Semoga bertemu lagi.

Pengarah DBP Sarawak sewaktu menyampaikan ceramah
Saudara Mohamad Faizal(MOFA)
Sijil Penyertaan