Wednesday 26 February 2014

Kek Cheese Salju

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Setelah beberapa kali tertangguh, alhamdulillah malam tadi saya sempat buatkan Kek Cheese Salju untuk santapan keluarga. Sebenarnya sejak sebulan lepas lagi saya mendapat salinan resepi daripada kak Kasumawati Kasim yang bertugas di Jabatan Agama Islam Perlis tetapi disebabkan beberapa kekangan, niat untuk mencuba resepi tersebut masih belum tertunai. Kebetulan dua hari lepas anakanda saya Nurul Husna membuat permintaan supaya umminya buatkan Kek Cheese Salju seperti rakan sekelasnya bawa ke sekolah. Memang satu kebetulan yang tidak disengajakan, saya pun terfikir hendak sediakan kek ini dan anakanda Husna pula mempunyai niat yang sama dengan ummi.

Syukur dalam kekalutan dan kesuntukan masa uruskan bisnes Shaklee dan anak-anak malam tadi, Allah beri kelapangan kepada saya untuk mencuba resepi ini. Memandangkan ramai daripada rakan-rakan facebook yang meminta saya kongsikan resepinya, jadi saya akan kongsikannya di blog ini khas untuk rakan-rakan semua. Kepada semua penggemar cheese, mesti cuba buat kek ini. Pasti anda akan teruja dengan kelazatannya!


BAHAN-BAHANNYA:

1) Bahan untuk kek ~
- 6 biji telur ayam (2 biji buang putih, 4 biji lagi guna semuanya).
- 100 gm gula halus / castor.
- 100 gm tepung Hong Kong/superfine (saya guna tepung high protein lebihan meroti).
- 60 gm tepung jagung (jenama maizena - tak pasti kalau guna jenama lain jadi elok tak, saya kebetulan memang ada tepung jagung jenama maizena kat rumah).
- 50 gm air sejuk dari perti ais.
- 1 sudu teh baking powder.
- 2 sudu makan ovallete (boleh beli kat kedai bahan kek).
- 1 sudu teh esen vanilla.
- 75 gm mentega dicairkan (cair atas api sederhana dan biarkan sejuk seketika).

2) Bahan untuk creamcheese (topping). - yang ni sukatan ikut macam saya buat kek lapis cheese.
- 350 gm Cream Cheese Philadelphia @ Tatura.
- 1 tin susu pekat manis saiz paling kecil. (Jangan tersilap guna tin tinggi ya).
- 1/2 kotak Cheddar Cheese.

CARA-CARA MEMBUATNYA

1) Putar menggunakan mixer telur, gula halus, esen vanilla, ovallete sehingga kembang, gebu dan berkrim.
2) Satukan dan ayak tepung dan baking powder, kemudian masukkan semua bahan lain kecuali mentega cair, putar lagi dengan kelajuan sederhana sehingga betul-betul kembang dan berkrim.
3) Akhir sekali masukkan mentega cair dan putar lagi sehingga sebati.
4) Panaskan oven seketika, sementara itu alas loyang kek yang disapu dengan mentega menggunakan kertas minyak dan masukkan adunan kek tadi. (Rasanya memadai dengan menggunakan loyang saiz 7x7 @ 7.5x7.5).
5) Bakar dengan suhu 150 darjah celcius selama 45 minit hingga 1 jam (bergantung jenis oven), boleh juga dibakar secara double boil.
6) Setelah masak, biarkan kek sejuk seketika, keluarkan dari loyang. Potong di tengah-tengah kek supaya menjadi dua lapisan (boleh menggunakan pisau pemotong kek @ benang).
7) Sebelum itu, sementara menunggu kek masak tadi, sediakan creamcheese terlebih dahulu. Putar cream cheese sehingga berkrim dan tidak berketul, kemudian masukkan susu pekat manis, putar lagi hingga sebati.
8) Sapukan creamcheese atas lapisan kek yang pertama, kemudian letakkan lapisan kek yang satu lagi di atasnya. Seterusnya sapukan creamcheese pada keseluruhan permukaan atas dan tepi kek. Akhir sekali taburkan cheddar cheese yang diparut halus di atas dan kelilingnya (jika mahu).
9) Simpan kek di dalam peti sejuk selama 1 hingga 2 jam sebelum dimakan. Sangat lazat dimakan ketika sejuk.

SELAMAT MENCUBA SEMUA!



6 comments:

  1. Wow...kak najihah..must try ni..untung anak2..umi rajin masak....

    ReplyDelete
    Replies
    1. ziela, meti cuba buat kek ni..anak2 pasti suka.. :)

      Delete
  2. kak. kalau pakai cawan cam ne nak agak ngek...

    ReplyDelete
    Replies
    1. azalin, kalau semua ukuran pakai cawan senang, kalau macam ni kena sukat dulu 100gm guna cawan banyak mana. tapi kena tengok cwn besar mana lak..berbeza-beza takut tak jadi nanti..

      Delete
  3. Emmm...dh lm nk try resepi ni kak...xterbuat huhu...saya selalu tgk akn meroti...mcm best je!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. cuba la buat wan norasiah. sekali menjadi mesti nak buat lagi..

      Delete