Tuesday 22 March 2016

Projek DIY I: Cara Membuat Playdoh Menggunakan Tepung Yang Selamat Untuk Anak-Anak

Foto: Najihah Abdul Mutalib
Teks: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum wrt. wbt.

Salam kerinduan buat semua pengunjung blog ini. Sudah lebih sebulan blog akak ni sunyi daripada sebarang entri dan perkongsian. Hati ini membuak-buak ingin menulis tapi akibat kekangan masa, niat murni tu terbengkalai jua akhirnya. Maklumlah dah jadi ibu tinggal ni dan nak kena uruskan 6 orang anak-anak, memang kalut jadinya..orang kata dah jadi macam tangan sotong. Alhamdulillah, hari ni akak cuba curi sedikit masa untuk mencoret cerita akak dan anak-anak masa cuti sekolah minggu lepas.

Kali ni akak nak kongsikan cara membuat playdoh yang amat mudah, jimat dan selamat untuk anak-anak menggunakan tepung gandum. Anak-anak akak ni memang suka sangat main playdoh terutama Hanis yang bakal berusia 4 tahun bulan 7 nanti. Kalau pergi supermarket mesti dia minta belikan playdoh. Kadang-kadang beli yang berjenama sikit memang mahal lah dan kadangkala yang kurang berjenama pun harganya memang tak tahan lah. Bukannya apa, balik rumah main sekejab je dah bercampur, bersepah sana sini. Akhir sekali jadi keras terus dia tak nak main.

Playdoh buatan sendiri lebih jimat dan selamat


Sebenarnya dah lama akak plan nak buat playdoh sendiri tapi bagai dikata lah, asyik bertangguh dan tak jadi. Tapi akhir-akhir ni asyik tengok beberapa orang kawan yang buat projek DIY playdoh untuk anak diorang, akak pun ajak anak kedua akak Husna untuk sama-sama buat playdoh ni. Apa lagi, 'bagai orang disorongkan bantal' je, melompat sakan dia. Teruja sangat sebab Husna ni memang suka sangat aktiviti DIY dan eksperimen ni. Kejab-kejab asyik tanya bila nak buat. Al-kisahnya, petang Jumaat lepas, dengan dikepalai oleh Husna maka jadilah projek DIY Playdoh kami.

Bahan-bahan yang diperlukan


Ok, jom akak kongsikan bahan dan cara membuatnya.

Bahan-Bahannya:


  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 cawan garam halus
  • 1 sudu besar cream of tartar
  • 2 sudu besar minyak masak
  • Pewarna makanan (ikut kesukaan anda)


Cara membuatnya:


  • Campur kesemua bahan dalam kuali atau periuk (kecuali pewarna). Kacau hingga sebati dan tidak berketul.
  • Masak atas api sederhana dan kacau lagi sehingga adunan menjadi kenyal.
  • Apabila adunan dah kenyal, matikan api dan biarkan doh sejuk seketika.
  • Bahagikan doh kepada beberapa bahagian mengikut warna-warna yang akan anda campurkan.
  • Titiskan beberapa titik pewarna makanan dan uli doh sehingga sebati semua pewarna tadi.
  • Ulang teknik di atas sehingga habis doh yang ingin diwarnakan.


**Lebih elok sekiranya anda menggunakan sarung tangan untuk mengelakkan pewarna makanan melekat di tangan anda.

Doh dibahagikan kepada bbrp bahagian mengikut warna kesukaan anda

Tadda..dah siap playdoh kami!

Hanis paling teruja nak main


Macamna, senang kan nak buat playdoh sendiri? Playdoh ni boleh disimpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama. Dah 3 - 4 hari buat masih elok lagi playdoh tu. Haa..untuk lebih jelas lagi, korang boleh tengok video DIY Playdoh ni yang dihasilkan oleh anak akak Nurul Husna, yang berusia 10 tahun. Selamat mencuba ya.



Setakat ini dulu coretan kali ini. Sehingga berjumpa lagi..bye..