Thursday 24 September 2015

Cara Membuat Popcorn Menggunakan Periuk Noxxa

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Assalamualaikum..
Pagi tadi tergerak hati nak cuba buat popcorn guna periuk noxxa. Alhamdulillah caranya senang dan mudah. Lepas ni boleh la buat lagi..maklumlah anak-anak ramai syok la masak sebab ada orang nak makan.

Jom saya kongsikan resepinya. Bahan-bahannya:

2 cawan jagung
Mentega
Madu 
2 sudu gula (optional)


Caranya senang saja. Tekan butang stir fry, cair mentega 1 1/2 senduk (anggaran). Lepas tu masukkan jagung, kacau biar semua terkena mentega. Kemudian tekan butang off, tutup periuk. Laraskan tombol ke pressure, tekan HP 1 kali dan tekan butang onn.

Lepas dah cukup masa, buka penutup dan alihkan popcorn ke dalam bekas lain. Tekan butang stir fry, cairkan mentega anggaran 1 senduk, masukkan madu anggaran 1 cawan (boleh lebihkan ikut kesukaan anda) & saya tambah 2 sudu gula. Kacau biar sebati dan gula hancur. Kemudian masukkan popcorn dan gaul sebati. Tekan butang off dan sedia untuk dimakan..

Senang kan..anggaran masa dari mula.sampai siap lebih kurang 5 ke 8 minit. Selamat mencuba!

Sunday 20 September 2015

Aktiviti Anak-Anak di Pesta Gudi Sarawak 2015

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Assalamualaikum..

Setiap tahun pasti akan berlangsung Pesta Gudi atau Pesta Layang-Layang peringkat negeri Sarawak di Bintulu. Dan selalunya akan diikuti dengan Borneo International Kite Festival pada minggu berikutnya. Ia merupakan acara tahunan yang mendapat sambutan masyarakat tempatan dan juga antarabangsa.

Pada tahun ini, Pesta Gudi Sarawak berlangsung selama 2 hari iaitu pada 19-20 September 2015 (Sabtu & Ahad). Selain daripada pertunjukan layang-layang, pelbagai acara lain diatur sepanjang pesta ini berlangsung. Antaranya pameran badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, jualan oleh pengusaha tempatan, aktiviti untuk kanak-kanak, pertandingan sukan dan lain-lain lagi.

Pada tahun ini, anak saya Haziq dan Husna turut menyertai pertandingan mewarna yang berlangsung kelmarin (Sabtu). Seramai hampir 250 orang kanak-kanak telah menyertai pertandingan tersebut. Walaupun tidak memenangi sebarang tempat tapi sekurang-kurangnya dapat mengasah bakat dan mendedahkan anak-anak dengan suasana pertandingan. Lagi pula, anak-anak memang suka menyertai pertandingan mewarna yang dianjurkan di Bintulu. Dan setiap penyertaan pula telah diberikan goody bag oleh pihak penganjur.

Berikut saya kongsikan gambar-gambar sewaktu kami berada di sana kelmarin.
Peserta yang mengambil bahagian
Suasana sewaktu pertandingan mewarna
Bang Long Haziq tekun mewarna
Kak Ngah Husna (Kiri) bersama rakan sekolah yang turut sertai pertandingan mewarna
Bergambar dengan maskot Pesta Gudi
Minion & Tiger

Resepi Roti Titab Yang Sangat Mudah

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum.

Anda pernah dengar tak pasal Roti Titab? Saya pun sebenarnya baru je tahu pasal Roti Titab ni. Kawan-kawan dalam group Shaklee dah lama dok kongsi gambar roti titab hang dia orang buat tapi masa tu tak berapa ambik kisah sangat.

Tapi beberapa hari lepas terdetik lak nak buat roti titab ni sebab ada roti kat rumah. Jadi saya pun google la kalau-kalau ada resepi kat internet. Rupanya memang ada, asalnya Roti Titab ni amat terkenal kat Kopitiam Kita kat Kelantan. Menurut maklumat yang saya baca lah.

Bila dah buat dan makan, memang sedap juga rasa roti ni. Anak-anak saya pun suka. Anda nak cuba buat? Jom saya kongsikan resepinya.

Bahan-Bahannya:

Roti potong
(kalau beli roti benggali dan potong sendiri tebal sikit lagi sedap)

Margerin

Telur separuh masak

Kaya

Lada sulah (jika suka)

Cara Membuatnya:

1) Sapu margerin pada roti dan bakar.

2) Sapukan kaya di setiap penjuru roti.

3) Pecahkan telur separuh masak dan tuang di atas bahagian tengah roti tadi.

4) Tabur lada sulah jika suka.

5) Sedia untuk dimakan.

Mudah kan? Boleh la kita pelbagaikan menu untuk anak-anak. Apalagi macam saya yang beranak ramai ni.

Setakat ini dulu perkongsian kali ini. Sehingga berjumpa lagi. Selamat memasak dari hati ya semua..

Saturday 19 September 2015

Bercuti Ke Bangkok Dengan Layanan 6 Bintang Secara Percuma

Teks: Najihah Abdul Mutalib


Assalamuaikum..

Jika anda ditaja percutian mewah secara percuma pasti anda teruja kan? Inilah yang Shaklee tawarkan kepada para pengedarnya dalam promosi hebat kali ini. Tawaran ini sah kepada para pengedar lama dan baru..dan secara otomatiknya anda yang ingin atau baru nak mendaftar pun layak merebut peluang keemasan ini. Pengalaman mengenai percutian saya ke USA tajaan Shaklee ada saya kongsikan di sini.

Trip tajaan Shaklee memang sangat best dan penuh dengan kejutan. Saya sendiri pernah join trip percuma Shaklee tahun lepas ke USA. Memang best sangat percutian mewah tau! Dah la tinggal di hotel mewah, makanan sedap, kami diberi duit poket lagi dan juga diberi hadiah-hadiah kejutan setiap kali balik ke bilik hotel.

Sama juga trip percuma dalam negara, tahun ni saya sepatutnya join trip percuma dalam negara tapi disebabkan saya sedang menunggu masa untuk bersalin pada masa tu, jadi saya tak dapat nak sertai para pengedar Shaklee yang lain. Tapi walaupun tak dapat join, saya dapat tengok dari jauh betapa meriahnya layanan yang mereka terima.

Kalau anda nak tahu, trip percuma dalam dan luar negara yang saya ceritakan ini ada kriteria tertentu yang perlu kami penuhi. Para pengedar Shaklee perlu kumpul point untuk membolehkan kami layak menyertainya. Walaupun dah berada di pangkat tertentu kalau tak cukup point memang tak dapat join lah. Tapi untuk Percutian Percuma ke Bangkok ni lain pula kriterianya. Disebabkan ia adalah intensif khas yang ditawarkan kepada para pengedar baru dan lama yang belum naik pangkat atau yang berada pada pangkat pertama dalam Shaklee iaitu Supervisor, ia tidak memerlukan sebarang point terkumpul. Memang mudah sangat! Alangkah bagusnya kalau Shaklee buat insentif ni sejak dulu lagi kan?!



Untuk Percutian Mewah 4 hari 3 malam ke Bangkok kali ini, anda yang belum join ahli tetapi berhajat untuk mendaftar pun layak untuk merebut peluang ini setelah anda mendaftar ahli. Tempoh kelayakan ialah daripada bulan September 2015 hingga April 2016. Syaratnya anda hanya perlu naik rank pertama dalam Shaklee iaitu Supervisor dan efektif selama 4 bulan dalam tempoh kelayakan ini iaitu mulai bulan anda mendaftar (antara bulan September - Disember) hinggalah bulan April 2016.

Jadi langkah pertama anda sekarang ialah mendaftar sebagai ahli Shaklee di bawah kumpulan saya. Caranya mudah sahaja, anda boleh hubungi saya melalui sms @ whatsApp ke no 013-4517098 (Puan Najihah). InsyaAllah saya akan terangkan maklumat lanjut mengenai bisnes Shaklee kepada anda. Selain daripada itu, pelbagai keistimewaan lain yang anda akan dapat sekiranya anda ingin serius menjana pendapatan dengan Shaklee. 3 C yang Shaklee tawarkan iaitu "cash, car, convention" perlu anda rebut! Memang sangat menarik dan mengujakan! Jadi tugas anda sekarang hanyalah hubungi saya SEGERA sebelum anda kempunan di kemudian hari.

Akhirnya, saya sajikan video menarik mengenai Percutian Percuma Shaklee ke Bangkok ini. Selamat menonton dan buatlah keputusan anda hari ini..


Wednesday 16 September 2015

Resepi Kek Red Velvet Kegemaran Anak-Anak

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum.

Dah agak lama saya tak mem'baking' kek kat rumah ni. Rasanya sejak balik dari kampung lepas Raya Puasa baru-baru ni, tak pernah lagi saya buat kek untuk anak-anak. Asyik masak menu lain je. Jadi terdetik di hati nak buat kek, ada lah saya sebut depan anak-anak saya nak buat kek.

Dengar je saya sebut macam tu, anak sulung saya terus cakap; "ummi, dah lama ummi tak buat kek Red Velvet..ummi buatlah kek tu..bang long suka sangat makan kek Red Velvet..". Kebetulan bahan-bahan untuk buat kek Red Velvet ada, jadi saya ambil keputusan untuk buat kek RV atas permintaan anak sulung tadi.

Sebenarnya resepi kek RV ni dah bertahun juga saya simpan. Saya pun ambil dari internet juga tapi memang dah lama la..kertasnya pun dah bertukar warna. Kiranya dah banyak kali juga saya buat guna resepi ini. Ok jom saya kongsikan resepinya.

Bahan-Bahannya:

Bahan A (diayak bersama)
250gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat /baking soda
2 sudu besar serbuk koko

Bahan B (dicampur bersama)
240ml susu cair
1 sudu teh cuka makan
(Campur keduanya dan biarkan selama 10 min)
2 sudu besar pewarna merah (dicampur dalam adunan susu + cuka)

Bahan C
113 gm mentega / butter
240 gm gula kastor
1 sudu teh esen vanilla
2 biji telur

Bahan C
1 sudu teh cuka makan
1 sudu teh baking soda/soda bikarbonat

Cara membuatnya:

1) Pukul mentega hingga kembang, masukkan gula kastor dan pukul lagi hingga betul-betul kembang.

2) Masukkan telur sebiji sebiji sambil terus pukul bahan tadi, kemudian masukkan esen vanilla dan pukul lagi biar sebati.

3) Masukkan bahan A (tepung) berselang seli dengan bahan B (susu cair), mula dengan tepung dan akhir dengan tepung juga. Sambil itu terus pukul hingga sebati.

4) Dalam bekas lain, satukan bahan D. Habis je buih, terus masukkan dalam adunan kek tadi.

5) Sapukan mentega pada loyang berukuran 7 inci, alas dengan kertas minyak. Sementara itu panaskan oven dahulu selama 10 minit.

6) Masukkan adunan kek dalam loyang dan bakar selama 1 jam dengan suhu 175°C @ sehingga masak.

Bahan-Bahan Cream Cheese:

1/2 cawan topping cream (fresh cream)
100gm cream cheese
2 sudu besar gula aising - jika suka manis. Saya tak letak gula ni.


Adunan kek sebelum dimasukkan dalam oven


Cara membuatnya:

1) Putar cream cheese hingga adunan lembut.

2) Ayak gula aising dan masukkan dalam bekas cream cheese tadi dan putar lagi sehingga lembut.

3) Dalam bekas lain, putar topping cream hingga sedikit pekat. Masukkan cream cheese dan putar lagi hingga membukit (tuang tak jatuh). Itu tandanya cream dah boleh untuk di sapukan pada kek.

4) Biarkan kek sedikit sejuk, potong dua untuk sapukan krim pada bahagian tengah. Sapukan juga cream pada bahagian atas kek. Bileh taburkan isi kek pada bahagian atas krim sebagai hiasan.

5) Sedia untuk dimakan!

Hiasan ala kadar je..


Memang seronok kalau dapat masak sendiri untuk suami dan anak-anak kan? Dan lagi seronok kalau anak-anak makan dengan berselera sekali. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda memasak untuk keluarga anda.

Selamat mencuba dan jumpa lagi!

Monday 14 September 2015

Cara Membuat Bubur Pulut Hitam Versi Periuk Noxxa

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum..

Syukur atas kesempatan yang Allah berikan untuk saya kongsikan resepi di ruangan ini buat kesekian kalinya. Kali ini saya nak kongsikan resepi memasak Bubur Pulut Hitam menggunakan periuk Noxxa. Tujuan saya kongsi kat sini juga sebenarnya sebagai rujukan saya sendiri pada masa depan.
Kebelakangan ni ramai pula yang membeli dan menggunakan periuk tekanan Noxxa ni kan..saya pun tak terkecuali..saya beli masa bulan puasa hari tu tapi lepas raya baru saya mula menggunakannya. Sebelum nak guna tu saya survey la cara-cara penggunaan dan resepinya. Siap saya beli buku resepi lagi.

Alhamdulillah dah banyak resepi juga saya dah masak menggunakan periuk Noxxa ni. Dan kelmarin saya cuba masak  Bubur Pulut Hitam pula. Ok jom saya kongsikan cara membuatnya.

Bahan-bahannya
1 1/2 cawan pulut hitam (direndam selama setengah jam)
1 ketul gula melaka
2 sudu gula pasir (jika perlu)
1/2 kotak santan
1/3 tin susu cair
1 helai daun pandan
Secubit garam
Air secukupnya

Cara membuatnya

Air paras 1/5 sukatan yang tertera teping dinding periuk (bhgn dalam)

1) Toskan beras pulut hitam yang dah direndam selama setengah jam tadi dan masukkan ke dalam periuk Noxxa.
2) Masukkan air sehingga paras 1/5 (mengikut sukatan dalam periuk) bersama daun pandan.
3) Tutup periuk, putar picu ke arah "pressure".
4) Tekan HP 30 kali (HP30) kemudian tekan on.
5) Setelah 30 minit dengar bunyi "bip", selaraskan picu pada "steam" dan biarkan udara tekanan keluar sehingga habis dan selepas itu buka penutupnya.

Selepas 30 minit. Pulut dah lembut elok.



6) Tekan butang stir fry, masukkan 2 cawan air & gula melaka..didihkan.
7) Kemudian masukkan santan, susu cair, gula pasir (jika kurang manis) dan secubit garam. Kepekatan dan kemanisan bubur adalah mengikut selera masing-masing.

Bubur dah mendidih.


8) Masak sehingga mendidih dan tekan butang off.
9) Sedia untuk dihidangkan secara panas ataupun sejuk.

Siap!
Sekian dulu untuk kali ini. Lain kali boleh saya kongsikan resepi menggunakan periuk Noxxa yang lain pula. Bye..

Friday 11 September 2015

Resepi Kuah Durian Lemak Manis

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum..

Dah agak lama saya teringin nak buat kuah durian ni..terbayang-bayang kesedapan kuah durian yang mak buat dulu-dulu. Ditambah lagi kalau dapat makan dengan apam serabai atau pulut kukus pun sedap. Rasanya sejak beranak pinak ni tak pernah lagi saya buat kuah durian ni..apam serabai saya dah pernah buat sekali tapi hanya cicah dengan kuah lemak biasa tanpa durian.

Kuah Durian Lemak Manis

Kebetulan ada baki durian yang suami beli hujung minggu lepas. Saya kalau durian dah beberapa hari, tak berapa syok nak makan sebab rasanya dah lain. Jadi saya pun kopek dan ambil isi durian simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti. Esoknya baru saya buat kuah durian ni. Mulanya saya kukus pulut dan kami sekeluarga makan pulut dengan kuah durian. Dan baki kuah saya simpan dalam peti sejuk dan esoknya lagi saya buat apam serabai pula. Alhamdulillah..tercapai juga hasrat nak makan kuah durian ni. Jom saya kongsikan resepinya..

Kuah Durian & Apam Serabai


Resepi Kuah Durian Lemak Manis.

Bahan-bahannya:

4-5 ulas durian. (saya letak agak banyak sebab nak habiskan)
1 ketul Gula Melaka
1-2 sudu gula pasir (jika kurang manis)
3 cawan air
1 kotak santan segera (1/2 cwn santan segar)
1 sudu kecil garam halus
4 sudu makan tepung gandum
1 helai daun pandan

Cara Membuatnya:

1) Masukkan air, garam, isi durian dan gula melaka dalam periuk dan masak sehingga gula hancur.

2) Kemudian masukkan santan dan daun pandan, kacau seketika.

3) Bancuh tepung gandum dengan sedikit air dan masukkan adunan tepung itu ke dalam periuk tadi.

4) Jika kurang manis, tambahkan gula pasir dan kacau lagi.

5) Bila dah mendidih, tutup api dan sedia untuk dihidangkan. 

Kuah Durian & Pulut

Selain dimakan dengan pulut dan apam serabai, kuah durian ini juga boleh di makan dengan roti atau apa-apa sahaja yang anda suka. Kalau nak simpan, hanya masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk. Waktu nak makan, keluarkan daripada peti sejuk dan panaskan sebelum dihidang. Sesiapa peminat durian, bolehlah cuba resepi ini. 

Selamat mencuba dan jumpa lagi!




Monday 7 September 2015

Lawatan Penilai Luar Program Diploma Perniagaantani ke Jabatan Sains Sosial, UPM Kampus Bintulu Sarawak

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali.

Sepanjang minggu ini, Jabatan Sains Sosial UPM Kampus Bintulu Sarawak tempat saya berkhidmat sekarang, menerima lawatan kerja penilai luar untuk program Diploma Perniagaantani, iaitu Prof. Dr. Jacqueline R. Rowath dari University of Waikato New Zealand. Tujuan kedatangan beliau adalah atas jemputan pihak jabatan untuk membuat penilaian terhadap program Diploma Perniagaantani yang ditawarkan oleh jabatan kami yang mesti dinilai semula setiap 5 tahun.

Bermula Selasa hingga Khamis, beberapa aktiviti telah diatur oleh pihak jabatan yang turut melibatkan staf dan pelajar. Antaranya seperti mesyuarat, perbincangan, program perkongsian ilmu bersama pelajar dan staf dan beberapa agenda lain. Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan sepanjang keberadaan beliau di sini.

Taklimat bersama ahli jabatan
Ahli Jabatan Sains Sosial bersama Prof. Jac
Perjumpaan Prof Jac bersama pelajar
Farewell Dinner
Taklimat bersama staf akademik UPMKB
Cenderakenangan daripada kami