Friday 28 November 2014

RESEPI MEE JAWA UMMI

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Baru-baru ini saya ada mencuba resepi mee jawa yang saya olah kembali cara pembuatannya. Saya ni memang biasa dan memandai-mandai mengolah resepi-resepi ikut rasa hati saya. Apa yang penting rasanya sedap dan anak-anak dan suami suka apa yang saya masak.

Setelah bertangguh beberapa minggu, hari ini saya nak kongsikan resepi Mee Jawa Ummi yang telah saya olah sendiri resepinya. Bolehlah para pengunjung semua mencuba resepi saya ini.

BAHAN-BAHANNYA:

Untuk menumis:
3-4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
(dihiris nipis @ ditumbuk)
Kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2-3 kuntum bunga cengkih
1-2 biji buah pelaga
Minyak untuk menumis

3 sudu besar cili kering kisar (boleh tambah atau kurang ikut selera pedas @ tidak)
1-2 sudu besar rempah kari daging
1-2 sudu besar sos cili @ sos tomato
2 sudu besar udang kering ditumbuk halus
3 biji kentang
1 biji keledek
Daging yang direbus (air rebusan jangan dibuang)
Air, gula, garam dan kiub ayam knorr (jika suka)
Bawang goreng (tambahan-jika suka, kisar bersama keledek & kentang)
Mee kuning

Bahan hiasan / tabur
Sayur sawi
Daun sup
Bawang goreng
Hirisan cili besar
Hirisan limau kasturi @ limau nipis
Telur rebus

CARA MEMBUATNYA:

1. Sediakan semua bahan untuk menumis.
2. Rebus kentang dan keledek hingga empuk, toskan dan kisar menggunakan 'blender' dengan memasukkan sedikit air dan bawang goreng tambahan tadi. Kisar sehingga halus.
3. Sementara itu, rebuskan daging, toskan airnya. Jangan dibuang air rebusan daging. Hiris daging mengikut citarasa anda.
4. Tumiskan bahan-bahan tumisan sehingga naik baunya.
5. Masukkan cili kisar, kacau sebentar dan kemudian masukkan udang kering yang ditumbuk halus. Kacau sebentar.
6. Masukkan rempah kari yang di bancuh dengan sedikit air panas, sos cili @ tomato tadi dan kacau lagi.
7. Masukkan daging dan air rebusan daging serta ubi yang dikisar tadi. Kacau lagi sehingga ubi larut. Jika pekat, tambah air mengikut kepekatan yang anda suka.
8. Akhir sekali masukkan bahan-bahan perasa seperti gula, garam dan kiub ayam knorr. Perasakan kuah mee mengikut citarasa anda.
9. Masak kuah dengan api sederhana sehingga mendidih.
10. Setelah masak, sediak mee kuning yang telah direbus, tabur bahan-bahan hiasan, masukkan kuah dan...

...sedia untuk dihidangkan..elok dimakan segera selepas dimasukkan kuah.

Selamat mencuba ya cik puan semua. Peminat mee berkuah, pasti anda akan terpikat!

Tuesday 25 November 2014

CUBALAH MANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN ANAK-ANAK DENGAN SEBAIKNYA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Sumber Google dan Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, bertemu lagi kita di ruangan ini. Sementelaah ketika ini saya hanya tinggal bersendirian, maka masa terluang yang ada ini dapat saya isi dengan menulis entri blog dan berkongsi cerita dengan rakan-rakan maya semua.


Sebagaimana semua telah sedia maklum, mulai minggu ini bermulalah cuti persekolahan yang agak panjang bagi anak-anak yang telah bersekolah. Kepada ibu bapa yang mempunyai kerjaya sebagai guru, mungkin tidak menjadi masalah untuk menguruskan percutian mereka bersama anak-anak. Namun, bagi ibu bapa yang bekerja pejabat, cuti sekolah sebegini kadang-kadang boleh mendatangkan kebingungan buat mereka. Kerana memikirkan bagaimanakah mereka boleh mengisi percutian anak-anak dengan sesuatu yang bermanfaat.

Sebagai ibu bapa, semua ini perlu difikirkan dengan baik supaya masa terluang anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini dapat diisi dengan perkara berfaedah. Jika sebaliknya, dikhuatiri akan menimbulkan rasa bosan dalam diri anak-anak. Dan sekiranya anak-anak telah berada pada peringkat rendah atas dan menengah, mungkin mereka akan mencari rakan-rakan sendiri bagi mengisi masa mereka. Situasi sebegini sekiranya tidak dipantau, terutamanya bagi ibu bapa yang hanya asyik bekerja, ia mungkin akan menjerumuskan anak-anak yang mentah ini dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Nauzubillah.

Bagi saya sendiri, yang bertugas sebagai pensyarah manakala suami pula seorang guru, cuti kami sememangnya tidak sama. Kebiasaannya, bila bermulanya cuti persekolahan maka semester baru bagi pelajar diploma pun membuka tirainya. Jadi, kelihatannya agak susah untuk saya memohon cuti yang panjang untuk dihabiskan bersama anak-anak. Dan untuk kesekian kalinya, cuti sekolah kali ini juga, saya dan suami mengambil keputusan untuk mengajar mereka berdikari di kampung halaman atok dan nenek.

Keterujaan anak-anak sebelum menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung

Walaupun saya agak berat hati untuk tinggal berseorangan di Bintulu kerana memang telah biasa hidup dikelilingi riuh rendah anak-anak seramai 5 orang itu, tetapi saya pasrah untuk melepaskan suami dan anak-anak pulang ke kampung halaman kami di Kedah. Sememangnya anak-anak begitu teruja setiap kali hendak pulang ke kampung. Maklumlah setahun biasanya hanya dua kali kami dapat pulang ke Kedah.

Seronok mandi kolam di rumah atok

Selain dapat berjumpa dengan atok, nenek, sepupu dan saudara mara di kampung, saya dan suami juga telah merancang untuk menghantar 3 orang anakanda yang sulung (10 tahun) dan anak kembar saya (8 tahun) ke kelas hafazan di sebuah Pondok Pengajian kelolaan sepupu saya di Kedah, kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah ibu bapa saya di kampung.

Saya mengharapkan agar masa mereka terisi dengan perkara yang berfaedah sepanjang cuti sekolah ini. Mereka akan mula ke kelas hafazan tersebut mulai 1 Disember ini selama satu bulan. Walaupun amat terasa kesunyian tanpa suami dan anak-anak di sisi selama hampir satu bulan ini, saya redha dengan keadaan ini demi kebaikan anak-anak, supaya masa percutian mereka dapat di manfaatkan sebaiknya.

Sekian dulu coretan saya kali ini. Semoga kita berjumpa lagi di lain waktu!




MERAIKAN KEJAYAAN ANAK-ANAK

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi saya berkesempatan menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SK Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu seperti tahun-tahun sebelum ini. Ketiga-tiga orang anak saya yang bersekolah rendah belajar di sekolah ini.

Apa yang sedikit istimewa tentang sekolah ini ialah, kemasukan murid-muridnya adalah melalui ujian bertulis dan hanya pelajar yang berjaya dalam sesi ujian tersebut sahaja yang terpilih untuk belajar di sini. SK Agama MIS Bintulu juga merupakan salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 7.
Tahun ini, anak kembar saya Nurul Husna telah berjaya menerima 4 anugerah iaitu Tempat Pertama dalam kelas dan 3 hadiah terbaik dalam mata pelajaran. Saya berharap anugerah ini akan menjadi pendorong kepada Husna untuk terus berusaha dan berjaya serta memberikan semangat kepada anak-anak yang lain untuk lebih berusaha dalam pelajaran.

Sebagai ibu bapa, sudah tentunya kita mahukan anak kita berjaya dalam hidup. Namun jika anak-anak tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran, jangan terus menghukum mereka dan mengeluarlan kata-kata yang tidak baik kepada mereka. Semua itu hanya akan menjatuh serta melemahkan semangat mereka. Tugas kita adalah memberi tunjuk ajar kepada anak-anak sehingga mereka berjaya menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Sekian dulu perkongsian saya kali ini. Sehingga bertemu lagi di lain waktu.

Husna dengan trofi yang diterima
Ketika di pentas
Anak-anak kembar saya Husna & Husni