Saturday 27 September 2014

GEMBIRAKAN ANAK-ANAK DI TAMAN BUAYA MIRI, SARAWAK

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Salam ceria buat semua. Pada Sabtu lepas, dua hari terakhir percutian sekolah anak-anak, saya dan suami mengambil keputusan untuk membawa mereka berjalan-jalan ke Miri, Sarawak. Memandang sepanjang cuti persekolahan anak-anak kali ini mereka hanya terperap di rumah sahaja kerana saya terpaksa bekerja saat pelajar diploma UPM Kampus Bintulu sedang berada dalam minggu-minggu terakhir semester sebelum bermulanya peperiksaan akhir. Jadi, cadangan untuk ke Miri disambut dengan sorakan gembira daripada anak-anak.

Gelagat anak-anak dalam kereta menuju ke Miri.

Kami tiba di Miri kira-kira jam 2 petang hari Sabtu dan terus mendaftar masuk di Meritz Hotel yang telah saya 'book' awal. Meritz Hotel dipilih, salah satu sebabnya ialah kerana kedudukannya yang bersambung dengan Parkson Miri dan shopping complex yang lain serta memudahkan kami sekeluarga mencari makanan dan membeli belah. Rasanya ini adalah kali ketiga kami menginap di sini dan anak-anak juga gemar tinggal di Meritz Hote kerana ia mempunyai 'swimming pool'.

Sukanya anak-anak mandi kolam di Meritz Hotel

Kami bertolak ke Taman Buaya Miri atau juga dikenali sebagai mini zoo Miri pada hari Ahad, kira-kira jam 10.30 pagi. Taman ini terletak di KM24, Jalan Miri-Kuala Baram, kira-kira 30 minit dari bandaraya Miri. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang, 7 hari seminggu. Yuran masuk bagi dewasa ialah RM18 dan kanak-kanak RM10 dan sebelum masuk anda akan dipakaikan tag di tangan.

Tag 
Anakanda Haziq dan Husni bergambar di pintu masuk
Anakanda Husna juga nak bergambar kenangan.
 Walaupun namanya Taman Buaya Miri, terdapat pelbagai jenis binatang lain dalam taman ini. Ia amat sesuai untuk anak-anak yang gemar kepada haiwan dan mereka juga dapat belajar sesuatu dalam taman ini. Memandangkan anak-anak saya memang suka menonton channel Animal Planet, peluang untuk melawat Taman Buaya Miri ini digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk bertanya pelbagai soalan tentang haiwan yang dilihat.

Buaya-buaya sedang berehat..

Buaya menyambar ayam yang diberi.

Anak-anak ambil peluang bergambar dengan beruang sambil menyusukannya. Bayaran untuk bergambar RM10.

Hanis beri makan arnab..
Ikan besar..

Sempat selfie dengan buaya..haha

Husna dan replika orang utan..

Kambing..

Husna dan Hanis menunggang kuda. Sekali tunggangan dikenakan bayaran RM10

Husni, Hakim dan Haziq bergambar dengan ular sawa albino..juga dikenakan caj RM10.

Makanan dijual untuk diberi makan kepada haiwan-haiwan yang ada di taman ini.

Hakim kurang sihat hari itu tapi nak juga jalan-jalan di sini..

Selain daripada haiwan-haiwan yang sempat saya rakamkan gambarnya di atas, ada lagi haiwan-haiwan lain seperti monyet, kera, musang, burung unta, lembu, kerbau dan bermacam-macam lagi. Makanan dan minuman juga ada di jual di dalam taman ini.

Sebelum pulang, anak-anak sempat menunggang kuda di luar taman buaya ini..setiap tunggangan dikenakan bayaran RM10. Kami terus pulang ke Bintulu selepas hampir 3 jam berjalan-jalan dalam Taman Buaya Miri dan anak-anak cukup gembira dengan kunjungan kali ini.

Setakat ini sahaja coretan saya untuk kali ini. Semoga berjumpa lagi! Bye..

RESEPI PAU INTI KRIM MENTEGA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum semua. Didoakan semoga anda semua sentiasa berada dalam rahmat Allah. Kali ini saya ingin kongsikan resepi pau yang saya sering sediakan untuk anak-anak. Resepi ini hasil olahan dan 'try and error' daripada pelbagai resepi yang sedia ada.

Sebelum ini saya selalu juga sediakan pau untuk anak-anak, kadang-kadang saya menggunakan resepi yang berbeza-beza untuk melihat hasil mana yang terbaik. Malam kelmarin saya dah buat satu adunan dan malam tadi pula, anak-anak minta saya sediakan pau macam malam kelmarin lagi. Anak sulung saya yang paling beria-ia minta ummi buatkan. Selalunya saya bila masak sesuatu, saya kerap main agak-agak je sukatannya..kecuali kalau buat kek memang kena ikut sukatan yang betul. Jadi, untuk resepi pau ini, saya cuba ikut sukatan cawan. Harap anda semua akan dapat idea dari resepi pau saya ini.


BAHAN-BAHAN DOH


  • 500gm Tepung Pau (jika inginkan pau yang putih). Boleh juga gunakan tepung gandum @ tepung serbaguna. Malam tadi saya hanya gunakan tepung gandum. Sebab itu warnanya kurang cantik.
  • 200ml air suam-suam sejuk (lebihkan 50 ml untuk ditambah dalam adunan jika adunan agak keras)
  • 3 sudu besar gula pasir.
  • Secubit garam.
  • 2 sudu besar yis Mauripan (atau jenama lain pun boleh). Jika anda membeli tepung pau dalam kotak, memang dah disertakan 1 peket yis.
  • 1/3 cawan minyak sayuran atau minyak masak.
  • 25 gram shortening
  • 2 sudu besar double action baking powder @ baking powder biasa. (Jika tak nak masukkan baking power pun boleh, malam tadi saya tak masukkan baking powder ni)
  • Sedikit tepung untuk menguli.
  • Kertas minyak atau daun pisang untuk alas pau.

Antara jenama yis yang biasa saya guna selain Mauripan

BAHAN-BAHAN INTI KRIM MENTEGA


  • 4 sudu besar gula pasir @ gula kastor lagi bagus.
  • 2 1/2 sudu besar mentega (saya guna mentega dalam tin).
  • 2 1/2 sudu besar tepung gandum (tepung ini anda boleh kurangkan atau tambah ikut kepekatan inti yang anda kehendaki. 


Langkah Demi Langkah Penyediaan Pau

CARA CARA MEMBUATNYA


  • Masukkan air suam-suam sejuk (jangan suam-suam panas) dalam bekas yang ada ruang untuk yis mengembang. Masukkan gula dan kacau sebati.
  • Masukkan yis dan kacau lagi. Tutup bekas dan biarkan seketika (5-10 minit). Masa ni lepas 5 minit cuba tengok yis dah naik atau belum. Jika dah naik, buka menutup bekas dan boleh mulakan langkah seterusnya.
  • Satukan tepung, garam dan baking powder (jika ada) dalam bekas untuk menguli. Petua untuk mudah menguli doh jika guna tangan, jika anda mempunyai tupperware "serving serve" seperti dalam gambar 1 di atas, lagi memudahkan kerja-kerja menguli anda kerana ia mempunyai biji-biji pada bahagian bawah yang membantu mempercepatkan kerja menguli.
  • Tuangkan adunan air, gula dan yis (cara 1 di atas) ke dalam bekas berisi tepung tadi. Masukkan minyak dan uli doh sehingga sebati, akhir sekali masukkan shortening dan uli lagi sehingga menjadi seperti dalam langkah 1 dalam gambar. Jika lembut atau keras adunan tu, boleh tambah air atau tepung. Biarkan seketika. Sementara itu, potong kertas minyak @ daun pisang untuk alas pau.
  • Bulat-bulatkan doh seperti langkah kedua dalam gambar sehingga habis. Sementara itu, bahan-bahan untuk inti krim mentega tadi, masukkan dalam bekas dan adun menggunakan sudu sahaja hingga sebati. Anda juga boleh gunakan lain-lain inti seperti kaya atau kacang.
  • Leperkan doh yang dibulatkan tadi, masukkan inti dan tutup serta bulatkan kembali doh itu. Alaskan dengan kertas minyak atau daun pisang. Terus masukkan dalam loyang pengukus. Dah penuh satu loyang, tutup loyang untuk rehatkan doh  selama lebih kurang 10 minit atau sehingga doh mengembang agak besar.
  • Sementara itu air kukusan dipanaskan. Masukkan doh pau yang sudah mengembang tadi dan kukuslah selama 12-15 minit. Tips untuk elakkan air kukusan menitis atas pau yang sudah masak, balut penutup periuk kukus dengan kain. 
Pau ini sedap dimakan ketika panas. Untuk resepi yang saya sediakan malam tadi, walaupun sejuk, paunya masih lembut. Semoga perkongsian resepi ini dapat membantu ibu-ibu semuanya menyediakan menu air tangan sendiri untuk suami dan anak-anak. 

Sehingga bertemu lagi..SELAMAT MENCUBA!