Sunday 25 May 2014

RESEPI FLORENTINE

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum dan salam bahagia. Ingin saya kongsikan dengan rakan-rakan semua resepi Florentine yang saya ambil dari sebuah majalah baru-baru ini. Sebelum ini saya memang suka makan florentine ni tapi saya tempah dari seorang kenalan di sini. Tapi lepas beberapa kali saya buat tempahan, terfikir pula hendak mencuba sendiri buat kuih ni. Sebab bila tengok resepinya mudah sangat. Jadi hari Sabtu lepas terus saya pergi ke kedai menjual bahan-bahan bakeri dan bertekad untuk mencuba buat kuih ini. Alhamdulillah menjadi percubaan pertama saya. Di sini saya ingin kongsikan resepi dan cara membuatnya.

BAHAN-BAHANNYA:

100 gm serbuk Florentine
180 gm hirisan badam 
10 gm kuaci hijau
10 gm kuaci putih
Sedikit bijan hitam
Sedikit bijan putih

Langkah demi langkah.

CARA-CARA MEMBUATNYA:

1. Campur semua bahan kekacang.
2. Masukkan serbuk florentine dan gaul (tinggalkan sedikit serbuk florentine untuk tabur atas kekacang).
3. Ratakan atas dulang 'non-stick'.
4. Tabur dan ratakan lebihan serbuk florentine atas campuran kekacang yang telah diratakan tadi.
5. Panaskan oven dengan suhu 160 darjah celcius selama 10 minit. Bakar florentine selama lebih kurang 15 minit atau sehingga masak (bergantung jenis oven).
6. Setelah masak,  potong bentuk segi empat tepat ketika masih panas. 

Siap dipotong.


Sedia untuk di makan. Selamat mencuba!

Saturday 24 May 2014

RESEPI SEMPERIT UMMI

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib


Assalamualaikum dan salam ceria buat semua. Kali ini saya nak kongsikan resepi biskut samperit yang saya selalu buat untuk anak-anak. Satu keluarga kami memang suka makan biskut semperit ni. Anak-anak pun pasti akan ringan tulang untuk membantu saya buatkan biskut kegemaran mereka ini. Resepi ini saya ambil dari kakak ipar saya di kampung.

Ramai pembantu


Bahan-bahan:

1 buku butter @ 250gm margerin
1 cawan gula ising
1 sd kecil esen vanilla
1 bj kuning telur
1 cawan tepung kastad
1 cawan tepung gandum (jika adunan lembut, tmbhkan tepung gandum sedikit lg)
2 cwn tepung jagung
Buah ceri / coklat cip untuk hiasan

Cara membuatnya:

1. Putar mentega & gula ising sehingga kembang.
2. Masukkan esen vanilla dan kuning telur, putar lagi hingga sebati.
3. Ayak semua jenis tepung, satukan dan masukkan dalam adunan, gaul sebati.
4. Terap menggunakan acuan semperit, letakkan ceri @ coklat cip sebagai hiasan.
5. Panaskan 10 minit pada suhu 175 darjah celcius, bakar adunan selama 15 minit @ hingga masak.



Selamat mencuba!


Friday 16 May 2014

GURU PROFESION MULIA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Carian Google

Assalamualaikum..

Tiap kali tiba tarikh 16 Mei, sambutan Hari Guru diadakan bagi meraikan para guru di Malaysia. Sesungguhnya, profesion perguruan merupakan salah satu profesion yang mulia di sisi agama dan masyarakat.

Guru yang paling utama bagi kita ialah ibu bapa kita. Kerana apabila kita dilahirkan, mereka lah insan yang bertanggungjawab mengajar kita sejak kecil. Bahkan, sejak dlm kandungan lagi, si ibu dan ayah di sarankan agar sentiasa bercakap-cakap perkara baik kerana anak dalam kandungan turut merasai dan mendengar kata-kata ibu bapanya. Sebab itu dikatakan, sikap anak-anak adalah cerminan sikap ibu bapanya. Betapa pengaruh ajaran dan didikan ibu bapa di rumah sangat dominan terhadap diri anak-anak mereka.

Bila anak-anak mula melangkah ke alam persekolahan, orang yang turut memainkan peranan penting kepada anak-anak ialah guru. Guru sangat banyak baktinya kepada kita. Dengan didikan daripada gurulah maka kita semua dapat berjaya seperti sekarang. Oleh sebab itu, jasa dan pengorbanan seorang guru akan diingat oleh anak-anak muridnya sehingga dewasa. Dan profesion perguruan itu sendiri sangat besar pahalanya kerana ilmu yang diajarkan, sekiranya terus memberi manfaat dan dimanfaatkan oleh murid terbabit, sentiasa akan mengalir pahalanya selama mana ia memberi kebaikan kepada orang lain.

Jadi, bersempena dengan Sambutan Hari Guru pada hari ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat kedua ibu bapa saya, yang telah mendidik saya sejak kecil sehingga sekarang dan kepada adik beradik saya yang kebanyakannya bertugas sebagai guru, juga kepada para guru saya sejak di Tadika Kemas Singkir Darat, Sekolah Kebangsaan Singkir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Mergong. Juga buat para pensyarah saya di Pra Akademi Islam UM Nilam Puri, Akademi Pengajian Islam UMKL, Pusat Pengajian Peradaban UMKL dan Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi. Juga buat semua individu yang bertanggungjawab memberi ilmu kepada saya sehingga saya berjaya seperti hari ini. Juga kepada para mentor saya dalam Shaklee.

Friday 9 May 2014

RESEPI BREAD LASAGNA YANG MUDAH

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Add caption

Assalamualaikum. Malam ni saya nak kongsikan resepi Bread Lasagna yang saya olah semula daripada resepi asal yang diambil daripada kawan lama saya Puan Rosdiana Rashid. Resepi ini saya olah berdasarkan kepada bahan-bahan sedia ada dan mudah diperolehi oleh saya untuk membuatnya. Kadang-kadang untuk melakukan aktiviti memasak ni, kita mestilah kreatif dan berani untuk 'try and error' apa saja menu baru yang kita akan masak. Saya memang biasa menggunakan kaedah ini. 

BAHAN-BAHANNYA:

-untuk kuah merah
Daging @ ayam cincang (boleh juga gunakan daging burger @sosej jika terdesak)
Sos spageti Prego atau apa-apa jenama.
Tomato puri (jika tiada boleh je guna sos cili @ sos tomato.
Bawang besar dipotong dadu (jika suka, anak-anak saya tak suka jadi saya tak letak ini).
Carrot/Cendawan (jika suka).
Buah tomato dipotong dadu.
Serbuk lada hitam/mixed herb.
Gula/garam/perasa secukupnya.

-untuk kuah putih
Bawang putih dicincang halus
Susu cair 1 tin @ susu segar 1 L
3 sudu tepung gandum
Lada sulah/perasa secukupnya
Margerin/minyak masak

Roti putih
Telur
Susu Cair
Cheese untuk tabur (cheddar/mozarella dll)

CARA MEMBUATNYA:

-kuah merah
  • Panaskan sedikit minyak, masukkan daging kisar dan goreng beberapa ketika kemudian masukkan bawang besar dan carrot yang dipotong dadu dan kacau untuk beberapa ketika.
  • Masukkan kuah spageti Prego, tomato puri (sos tomato @ lain-lainnya) kacau sebati.
  • Masukkan tomato yang dipotong dadu, cendawan dan kacau sebati.
  • Kemudian masukkan mixed Herb, serbuk lada hitam, serbuk perasa, garam dan gula secukup rasa.
  • Masak beberapa ketika dan angkat.
-kuah putih

  • Panaskan margerin dan minyak, tumis bawang putih, masukkan 3 sudu tepung gandum dan kacau dengan api perlahan untuk beberapa ketika.
  • Kemudian masukkan susu cair, lada sulah dan garam @ serbuk perasa jika suka.
  • Kacau sehingga sedikit pekat dan angkat.

CARA SUSUNAN

  • Gelek roti keping (putih), susun dalam loyang sehingga memenuhi dasar loyang.
  • Tuangkan susu cair sehingga membasahi kesemua roti, kemudian tuang telur yang dipukul terlebih dahulu sehingga merata di atas roti.
  • Ratakan sos @ Kuah merah atas roti, tuangkan pula kuah putih.
  • Jika mahu, boleh susun cheese cheddar *cheesedale @ cheese lain di atasnya.
  • Ulang langkah pertama tadi (gelek roti dan susun, kuah merah & kuah putih). Saya hanya buat 2 lapisan roti. Anda boleh buat sehingga 3 lapisan jika suka.
  • Lapisan akhir pastikan yang atas sekali adalah kuah putih. 
  • Tabur cheese yang diparut (cheddar @ mozarella) di atas susunan tadi.
  • Sebelum itu, panaskan oven terlebih dahulu. Bakar Bread Lasagna sehingga masak. Saya gunakan api bawah terlebih dahulu dgn suhu 170 darjah celsius selama 10-12 min, kemudian api atas dengan suhu yang sama selama 8-10 min. *suhu dan masa bakar bergantung kepada jenis oven.
Selamat mencuba!

Sebelum masuk oven


Setelah masak



Wednesday 7 May 2014

BERANILAH UNTUK BERIMPIAN BESAR

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Carian Google



Imam Hassa al-Banna pernah menegaskan: " Kenyataan hari ni adalah hasil impian semalam dan kenyataan hari esok adalah hasil impian hari ini.."

Semua manusia berhak untuk mempunyai impian besar. Tiada siapa yang boleh menghalang seseorang itu memasang impiannya. Dan tidak menjadi kesalahan pun kalau kita hendak memasang impian. Tak perlukan duit pun. Hanya perlu berimpian dan usaha ke arah mencapai impian yang kita tanam itu. Impian ini sebenarnya merupakan satu ransangan kepada kita untuk terus berjaya. Impian hebat yang kita lakar dan ucapkan merupakan satu #self_talk yang positif utk diri kita. Merupakan satu doa jika sentiasa kita ucapkan setiap masa. Merupakan satu niat baik yang tertanam dalam hati dan minda kita. Dan insyaAllah sesuatu niat yang baik pasti Allah beri kesudahan yang baik juga jika disusuli dengan tindakan yang baik selepasnya.

Ada banyak kisah sebenarnya mengenai kesan impian besar yang sentiasa kita sebut dan niatkan. Satu kisah berkait dengan Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abdurrahman as-Sudaisi. Dikisahkan bahawa sejak kecil ibu Syeikh As-Sudais telah menanam impian besar supaya anaknya menjadi Imam Besar Masjidil Haram suatu hari nanti. Dan setiap kali bersama anaknya as-Sudais, pasti ibu ini akan menyebut: "Nak, belajar rajin2, suatu hari nanti kau akan menjadi Imam Besar Masjidil Haram", "Nak, hafallah al-Quran dengan baik kerana suatu hari nanti kau akan jadi Imam Besar Masjidil Haram".."Nak, suatu hari nanti kau pasti akan menjadi Imam Besar Masjidil Haram". Kerana impian besar ibunya yang sentiasa disebut-sebut dan diulang-ulan ini, akhirnya Syeikh Abdurrahman As-Sudaisi menjadi Imam Besar Masjidil Haram yang disegani di seluruh dunia.

Ada lagi satu kisah tentang seorang sahabat Rasulullah yang memasang impian untuk mati Syahid di medan perang dengan panah tertikam di lehernya. Beliau mengkhabarkan impian besar itu kepada Baginda Rasulullah. Dan apabila tiba saat peperangan berlaku, sahabat berkenaan betul-betul mati syahid dengan panah tertikam di leher tempat yang beliau khabarkan kepada Rasulullah. Lihatlah betapa hebatnya penangan kita mempunyai IMPIAN BESAR! Impian kita adalah niat dan doa kita. Jom sama-sama kita melakar impian dan menyebutnya sentiasa..mudah-mudahanan kita semua BERANI UNTUK BERIMPIAN BESAR!

Salam kasih sayang daripada saya, semoga bertemu di coretan lain.